Penjaring dua gol buat Atletico Madrid pada perlawanan akhir Liga Europa pagi tadi, Antoine Griezmann menegaskan beliau mahu meraih lebih banyak kejuaraan.
Kejayaan menumpaskan Marseille 3-0 di Lyon itu merupakan kejuaraan kedua peribadi buat pemain berusia 27 tahun itu.
Mahkota kejuaraan pertama yang dimenangi Griezmann adalah Supercopa De Espana sejak meninggalkan Real Sociedad pada tahun 2014.
Keadaan itu membuatkan pemain antarabangsa Perancis itu dahagakan untuk memenangi lebih kejuaraan selepas ini.
”Saya meninggalkan rumah pada usia 14 tahun kerana mahu memenangi gelaran juara.”
”Ini merupakan yang kedua selepas kejayaan di Supercopa De Espana dan diharapkan mampu meraih lebih banyak lagi kejuaraan,” Griezmann memberitahu beIN SPORTS.
”Marseille merupakan sebuah pasukan yang menyerang. Mereka bekerja dengan sangat keras. Kami berjaya melakukan tugasan kami, bertahan dengan baik dan mengambil kesempatan di atas kesilapan lawan.”
Dalam perkembangan lain, angin kencang sedang bertiup ketika ini apabila menurut sumber Goal bahawa Barcelona bersedia untuk mengaktifkan klausa perpindahan bernilai €100 juta bagi membawa Antoine Griezmann ke Nou Camp.
Pengurus Besar Atletico Madrid, Clemente Villaverde turut mengakui pasukan yang digelar Rojiblancos itu terdesak untuk mempertahankan pemain utamanya itu.
”Antoine (Griezmann) telah melakukan perkara yang hebat.”
”Dia masih mempunyai kontrak dan kami mahu dia untuk kekal di sini. Kami akan berusaha sehabis baik.”