“Anthony Martial sudah tidak layak bersama Manchester United.”
Demikian kritikan ‘pedas’ yang telah dilemparkan oleh Sam Allardyce kepada pemain sayap Manchester United, Anthony Martial.
Bekas pengurus Everton itu memberikan kritikan terhadap Martial dengan menyifatkan bahawa pemain kelahiran Perancis itu sudah tidak layak untuk berada di United.
Bercakap kepada beINSPORTS, Allardyce menjelaskan bahawa tindakan Louis van Gaal membeli Martial sebenarnya adalah satu perkara yang sia-sia.
Beliau bercakap selepas melihat aksi buruk yang dipamerkan Martial pada perlawanan menentang Brighton yang menyaksikan United tewas 3-1.
“Anda lihat sendiri, siapa pun pengurus pasukan, mahupun Louis van Gaal, Martial masih tidak cukup baik untuk Manchester United.”
“Jika anda mahu melihat masalah kritikal yang dihadapi para pemain, dia (Martial) ada. Dia bukan pemain yang sepatutnya mereka dapat.”
"Martial's not good enough for @ManUtd."#beINPL #MUFC pic.twitter.com/gb9HlSOPez
— beIN SPORTS (@beINSPORTS_EN) August 19, 2018
Pada masa yang sama, Allardyce tetap mempertahankan Mourinho yang sebelum ini dikritik sebagai punca menyebabkan prestasi Martial merudum sejak dua tahun kebelakangan ini.
“Banyak peluang yang dapat kita lihat menerusi penampilan bakat-bakat muda dengan harga £50 juta.”
“Tetapi, dia sudah berada tiga musim disini. Dia masih gagal menunjukkan aksi cemerlang sebagaimana beliau tampilkan pada kemunculan pertamanya bersama United.”
“Martial gagal menunjukkan perkembangannya. Dia sepatutnya seperti Leroy Sane dan pemain-pemain muda yang lain.”
“Itu bukan kesalahan Jose (Mourinho).”
Martial didatangkan dari AS Monaco pada tahun 2015 semasa pasukan itu dibimbing oleh Loius van Gaal.
Pemain berusia 22 tahun itu sebelum ini dilaporkan telah bertekad untuk meninggalkan Manchester United pada musim ini apabila kurang mendapat tempat bersama pasukan.