Ia mungkin adalah tempoh dua minggu yang menyeksakan buat Manchester United dan penyokongnya di seluruh dunia selepas dua kekalahan memalukan dari tiga perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim ini.
Jika anda adalah salah seorang penyokong Manchester United, ini mungkin sedikit perkhabaran gembira buat anda.
Menurut laporan daripada BBC, Manchester United sedang duduk berbincang dengan ejen Anthony Martial untuk menawarkan kontrak jangka masa panjang buat penyerang dari Perancis itu.
Pada musim panas yang lalu, ejen kepada Martial pernah berkata pemain tersebut mahukan perpindahan dari Old Trafford disebabkan kurangnya peluang untuk beraksi di bawah kendalian Jose Mourinho.
Tottenham Hotspur dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain tersebut, dan Mourinho juga dikatakan tiada halangan untuk pemain tesebut meninggalkan kem United.
Ini susulan Mourinho dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat Willian dari Chelsea dan Ivan Perisic dari Inter Milan.
Niat Mourinho itu bagaimanapun terkubur begiti sahaja selepas pegawai eksekutif, Ed Woodward berpendapat Mourinho sepatutnya menggunakan Martial lebih kerap untuk dan memenuhi potensi yang terdapat pada pemain itu.
ESPN dalam laporan berasingan turut melaporkan Martial sanggup untuk kekal di Old Trafford dan sedia untuk berbincang dengan kontrak selama lima tahun turut menjadi agenda perbincangan kedua-dua pihak.
Martial dibeli dari Monaco dengan tanda harga £36 juta pada 2015 ketika era Louis van Gaal, dan segera memberikan impak kepada pasukan dengan gol sulung dalam kemenangan menentang Liverpool pada penampilan pertamanya.
Martial menjaringkan 17 gol pada musim pertamanya bersama United dalam semua pertandingan, dan sering digunakan secara silih berganti dengan Marcus Rashford sebagai pemain sayap sejak ketibaan Mourinho.
Ketibaan Alexis Sanchez pada Januari lalu terus menghadkan penampilan pemain berusia 22 tahun ini, sebelum beliau didenda oleh Mourinho kerana meninggalkan kem pra musim pasukan tanpa pengetahuan Mourinho untuk menyambut kelahiran anaknya.
Adakah kesediaan Martial untuk duduk berbincang mengenai kontrak baharu bermakna beliau dengan Mourinho bersedia membuka lembaran baru di Old Trafford?