Antara Stipe Plazibat, Dennis Buschening, Ronald Ngah & Sony Norde, Import Mana Kedah Akan ‘Angkut’?

Kedah Aidil Sharin import musim 2022 sasaran

Sebagaimana yang diketahui, Kedah telah melengkapkan senarai pemain tempatan dan menanti baki tiga lagi pemain import untuk melengkapkan senarai 30 pemain sebelum bermula saingan Liga Super musim depan.

Masih tiada khabar berita yang sahih daripada kem Kedah Darul Aman FC mengenai siapakah yang akan dibawa masuk melainkan khabar angin sahaja. Kouta import setakat ini telah diisi oleh dua pemain iaitu bek tengah, Jang Suk-won yang dibawa dari Melaka United dan pemain tengah Terengganu FC, Dechi Marcel.

Kehilangan saat akhir dua pemain, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche yang dipancing Terengganu menyaksikan urusan pencarian pemain import terpaksa diaktifkan semula. Adakah pemain yang bakal dibawa masuk nanti hanya sekadar tangkap muat ataupun bakal menepati kriteria gaya permainan yang diterapkan pasukan?

Stipe Plazibat, Dennis Buschening, Ronald Ngah dan Sony Norde adalah antara nama yang pernah atau sedang dikaitkan dengan mereka. Namun, selagi tiada pengesahan rasmi, ia boleh dianggap sekadar khabar angin.

Posisi mana yang ditinggalkan pemain import setakat ini? Jika dilihat, kouta pemain import Kedah musim lalu adalah seorang di posisi pertahanan, dua tengah dan dua penyerang. Dua pemain tengah itu adalah seorang pemain tengah box-to-box dan pemain sayap menyerang iaitu Anumanthan Mohan dan juga Rabih Ataya.

Kipre Tchetche pula merupakan pemain utiliti di jentera serangan – semua posisi mampu dimainkannya iaitu inside forward kanan dan kiri, penyerang kedua dan penyerang utama. Dan Kpah Sherman adalah targetman.

Adakah pengendali, Aidil Sharin akan mengikut kouta asal ini untuk diisi semula atau ada perubahan untuk musim depan? Jang Suk-won telah mengisi tempat Renan Alves, sementara Dechi Marcel adalah pengganti buat Anumanthan Mohan yang kembali semula ke Singapura. Berbaki tiga, menarik untuk kita bincangkan.

Kedah bakal bersaing di saingan AFC Cup musim depan dan mungkin pertimbangan khusus adalah mengisi jentera serangan. Posisi tengah telah dikukuhkan dengan kehadiran pemain seperti Khairu Azrin Khazali selain adanya Asnan Ahmad dan Fadzrul Danel selain Dechi Marcel. Tiada keperluan untuk menambah pemain.

Oleh itu, adakah ketiga-tiga pemain itu adalah pemain yang mampu gerakan jentera serangan? Dan menariknya, keempat-empat pemain iaitu Stipe Plazibat, Dennis Buschening, Ronald Ngah dan Sony Norde merupakan pemain penyerang. Siapakah yang akan menjadi pilihan Aidil Sharin Sahak untuk kukuhkan jentera depan?

Ronald Ngah penyerang kinikal di liga Asia Barat

Paling hampir pasti sehingga kini adalah bekas penyerang kelab Al-Salt di Jordanian Pro League, Ronald Ngah. Ini kerana, hasil semakan di laman Transfermarkt, pemain itu dikatakan telah pun sah menyertai kem Kedah.

Pemain yang pernah mewakili skuad kebangsaan Cameroon itu memiliki dua kaps dan satu gol antarabangsa serta mampu beraksi di tiga posisi – inside forward kanan, penyerang kedua dan penyerang utama. Beliau membantu Al-Salt mara ke peringkat separuh akhir Zon Asia Barat, AFC Cup 2021 hasil empat golnya.

Malah, beliau adalah penjaring terbanyak Jordanian Pro League musim lalu dengan 15 gol daripada 20 aksinya.

Dilabel penyerang yang kinikal oleh portal sportsworld2day, beliau dikhabarkan meledak lebih 10 gol saban tahun sepanjang empat tahun di liga Asia Barat dan ia dibuktikan dengan musim pertamanya bersama Al-Salt.

Dennis Buschening belum berhasil di Liga M

Penyerang berusia 30 tahun itu pernah beraksi bersama UiTM FC dan Sabah FC dalam dua musimnya di Liga Malaysia. Beliau telah dilepaskan Sabah dek kerana gagal mencapai prestasi memuaskan pada musim 2020. Begitupun, daripada tujuh penampilannya bersama The Rhinos, beliau tetap berhasil meledak empat gol.

Pemain kacukan Jerman-Thailand itu kemudian menyertai UiTM FC yang dalam fasa terburuk saingan musim 2021 pada jendela perpindahan kedua. Begitupun, beliau hanya sempat beraksi lima kali dan mencetak satu gol.

Dennis Buschening yang boleh bermain di posisi inside forward kiri, penyerang kedua dan penyerang utama itu masih tiada pasukan dan tidak menafikan setiap ‘percubaan nakal’ penyokong yang kaitkannya dengan Kedah.

Stipe Plazibat baru dilepaskan Lion City Sailors

Merupakan pemain terawal yang dikaitkan bakal menyertai Kedah, Stipe Plazibat telah mencetak 14 gol dalam musim keduanya bersama juara Singapore Premier League, Lion City Sailors. Saat dikaitkan, terlihat sangat mustahil pemain bagus sebegini, akan dilepaskan oleh kelab kaya raya Singapura itu, tetapi ia terjadi.

Penyerang berusia 32 tahun itu kini tanpa pasukan apabila kelabnya tidak menyambung kontraknya, malah telah membawa masuk penggantinya yang diumumkan semalam, Kim Shin-wook, penyerang dari Korea Selatan.

Malah dalam satu balasan ciapan di Twitternya, beliau berkata tidak akan kekal di Singapura selepas ini. Adakah Aidil Sharin yang masih berada di Singapura bersama keluarganya telah cuba memancingnya untuk Kedah?

Sony Norde sedang pertimbang sertai Kedah

Penyerang yang tidak lagi perlu diperkenalkan dalam kancah Liga Malaysia. Diketahui memiliki permainan yang agresif dan sangat ‘mobile’, beliau menepati gaya permainan Kipre Tchetche, namun tidak boleh beraksi di posisi penyerang utama. Posisi terbaiknya adalah di inside forward kanan dan kiri serta penyerang kedua.

Berusia 32 tahun, musim lalu adalah musim terbaiknya bersama Melaka United apabila beraksi dalam semua aksi liga dan meledak tiga gol, selain membawa skuad Hang Tuah mara ke separuh akhir Piala Malaysia sebelum tewas kepada juara edisi tersebut, KL City FC. Beliau meledak lima gol sepanjang perjalanan tersebut.

Menariknya, menurut wartawan The Star, T. Avineshwaran, beliau sedang mempertimbangkan tawaran Melaka United dan Kedah saat ini. Tentunya peluang beraksi di AFC Cup 2022 akan menjadi tarikan utama buatnya.

Penutup

Namun, harus diingat, Kedah hanya memiliki kouta untuk dua pemain import bebas dan satu kouta import Asean sahaja lagi. Jika benar Ronald Ngah sudah menyertai pasukan, jelas hanya berbaki satu posisi untuk import bebas, antara Sony Norde atau Stipe Plazibat. Untuk slot Asean, tampak seperti Dennis Buschening.

Import mana idaman kalbu penyokong Kedah? Kongsikan bersama kami dan pembaca lain di ruang komen.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN