Pemain bergelar ‘The Dancing Shoes’, Petrus Shitembi yang pernah seketika bersama Terengganu FC pada pra-musim 2021 dikhabarkan akan kembali menyarung jersi skuad Peteh untuk saingan Liga Malaysia musim 2022.
Menurut pendedahan sebuah laman Facebook penyokong Terengganu, Terengganu 11, penyerang berusia 29 tahun itu dijangka akan kembali disenaraikan bersama pasukan menjelang tempoh akhir pendaftaran pemain untuk saingan Liga M di jendela perpindahan pertama yang bakal ditutup pada 22 Februari 2022 (hari ini).
“Angin bertiup kencang dikhabarkan Petrus Shitembi kembali menyertai Terengganu?” titip Terengganu 11 di Facebook mereka yang mendapat balasan hampir 70 komen para penyokong Sang Penyu.
Rata-rata tiada masalah menerima Petrus Shitembi ke dalam pasukan, namun ada yang risau pemain itu bakal ‘dicedok’ oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim hadapan. Ini kerana, sejarah ada membuktikan pemain di bawah kendalian agensi Kiko Insa iaitu agensi Ruiz & Gomez akan ‘angkat kaki’ ke JDT seperti Carli de Murga.
Selain Carli de Murga, pemain yang diuruskan agensi tersebut dan beraksi di Liga M adalah seorang lagi pemain baharu JDT, Bienvenido Maranon selain Fernando Rodriguez, Levy Madinda (Sabah FC) dan Petrus Shitembi.
Kapten skuad kebangsaan Namibia itu hanya bersama mereka ketika pra-musim 2021 sebelum mengalami kecederaan serius yang menyebabkan beliau tidak dapat didaftarkan disebabkan perlu berehat untuk setahun.
Setakat ini belum ada perkhabaran daripada pihak pengurusan mengenai status pemain tersebut sama ada akan didaftarkan atau tidak. Mengikut senarai pemain import yang ada bersama pasukan, mereka masih memiliki satu slot untuk diisi dan tiada masalah bagi pengurusan pasukan untuk membawanya masuk.
📷 l Selangor FC 0-2 Terengganu FC
⚽️ Jordan Mintah
⚽️ Faisal Halim#TerengganuFC#WeBleedBlackAndWhite pic.twitter.com/jNdEjrPn4d— Terengganu Football Club (@FCTerengganu) February 20, 2022
Namun, berdasarkan semakan senarai yang ada, Terengganu telah memiliki tiga penyerang import iaitu Jordan Mintah dan dua pemain yang diterbangkan dari Kedah Darul Aman FC, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.
Jika Petrus Shitembi turut dibawa masuk, Terengganu akan memiliki empat pilihan penyerang import yang boleh digilirkan antara skuad utama dan TFC II. Nampak benar kesungguhan untuk tajamkan jentera serangan!
Menurut Petrus Shitembi ketika bercakap kepada The Star pada Mac lalu, gelaran yang sangat popular di rantau Afrika tersebut didapatinya daripada seorang wartawan ‘otai’ di Namibia yang memberikannya panggilan itu.
“Ianya mungkin kerana saya dikatakan memiliki pergerakan yang pantas [gelaran ‘The Dancing Shoes’],” jawab calon kapten Terengganu musim lalu itu kepada persoalan mengenai gelaran tersebut.
Pada November lalu, beliau yang baru pulih daripada kecederaan dilihat kembali menyertai sesi latihan pasukan Dan tiada khabar berita yang beliau dilepaskan atau tidak. Adakah benar ‘The Dancing Shoes’ akan kembali mengukuhkan Terengganu? Jawapannya hanya dalam sekejap masa lagi sebelum jendela pendaftaran ditutup.