Industri sukan di negeri Kedah bakal kembali rancak apabila Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mengumumkan sebuah liga tempatan di peringkat negeri dengan diberi nama K-League.
Setelah suram akibat wabak Covid-19 yang melanda negara sejak 2020, inisiatif terbaharu diambil oleh KFA untuk menaikkan kembali mutu bola sepak Kedah kembali rancak.
Hasil persetujuan yang dicapai oleh ahli-ahli gabungan KFA dalam kongres KFA yang berlangsung di Wisma Darul Aman, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selaku Presiden KFA dan Menteri Besar Kedah mengumumkan akan mengadakan liga tempatan tersebut.
Jelas beliau, K-League ini akan kembali memeriahkan suasana sukan terutama sekali bola sepak di Kedah dengan beberapa kejohanan akan dirancang dan sekurangnya enam piala yang bakal dipertandingkan tahun depan.
Sanusi turut berkata bahawa pihak KFA sudah menerima sokongan dari beberapa syarikat korporat yang bersetuju untuk menaja perjalanan liga ini musim depan.
Penganjuran liga negeri pada tahun 2022 menjadi salah satu agenda utama yang dibincangkan KFA dalam Kongres KFA kali ke-46 baru-baru ini.
KFA kini yang melalui proses pemisahan dengan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sedang memberi fokus sepenuhnya kepada aspek pembangunan bola sepak di peringkat negeri Kedah.
Diharap dengan usaha ini akan menambah lagi keseronokan buat peminat bola sepak Kedah untuk mempamerkan bakat masing-masing sehingga berjaya melahirkan pemain profesional.