Hampir 19 tahun selepas sepakan percuma Roberto Carlos (vs Perancis) dan 2 bulan selepas sepakan percuma Faiz Subri (vs Pahang FC), seorang lagi pemain mengulangi pencapaian mereka.
Pemain tersebut adalah Anderson Pico, wing back kelahiran Brazil dari Flamengo yang kini dipinjamkan ke Dnipro di Liga Perdana Ukraine.
Berbeza dengan gol sepakan percuma Roberto Carlos yang melencong ke sebelah kiri (kerana disepak dengan kaki kiri), gol Anderson Pico melencong ke sebelah kanan – sama seperti sepakan percuma Faiz Subri – dengan kelajuan yang mampu menakutkan mana-mana penjaga gol.
Teknik sepakan percuma ini dianggap teknik paling sukar diulang tetapi paling diagung-agungkan kerana trajektori bola yang seakan-akan melanggar hukum fizik.
Tetapi hukum fizik sendiri sudah menjelaskan bagaimana bola boleh bergerak mengikut trajektori tersebut sejak abad ke-18, menerusi cabang Prinsip Bernoulli – iaitu Kesan Magnus.
Gol Anderson Pico ini merupakan gol pembukaan Dnipro dalam kemenangan 4-0 ke atas Oleksandriya.
Baca juga: Teori Fizik Di Sebalik Sepakan Percuma Faiz Subri