Pengurus Everton, Carlo Ancelotti menegaskan bahawa beliau tidak sesekali gusar dengan kekurangan dari aspek kepantasan serta fizikal yang dihadapi rekrut baharunya, James Rodriguez.
Pengendali kelahiran Itali itu sebaliknya amat berpuas hati dengan apa yang telah dijelmakan oleh James pada perlawanan sulungnya dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) di Tottenham Hotspur Stadium, malam tadi.
Lebih manis buat Ancelotti apabila skuad bimbingannya itu berjaya menumpaskan Tottenham Hotspur 1-0 menerusi jaringan tunggal pemain penyerang, Dominic Calvert-Lewin pada minit ke-55.
James dilihat tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri dengan ‘suhu’ bola sepak Inggeris dan turut beraksi dengan baik sebelum beliau digantikan dengan pemain muda, Tom Davies pada masa kecederaan.
Sehubungan dengan perkara tersebut, Ancelotti merasakan tiada apa yang perlu dirisaukannya terhadap pemain yang sebelum ini sudah dua kali berada di bawah kendaliannya itu.
”Pemain-pemain ini boleh bermain bola sepak, mereka tidak perlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri. James tahu apa yang dia perlu untuk lakukan, Allan dan [Abdoulaye] Doucoure juga sama.”
”Saya hanya mengatakan dengan menunjukkan kepada anda kualiti dan mereka melakukannya, Kami mempunyai kombinasi yang baik di jentera tengah.”
”Musim lalu kami bermain dengan kualiti ketika berada bersama bola tetapi anda perlu juga untuk bermain tanpa bola,” ujar Ancelotti menurut laporan Goal.
”James bukanlah pemain yang terpantas di dunia tetapi dia mempunyai banyak kualiti. Kami perlu menggunakannya untuk menunjukkan kualitinya. Dia bukan seorang pemain sayap, tetapi dia boleh masuk ke dalam dan menerima bola, dia sangat berbahaya.”
”Saya tidak risau tentang fizikalnya. Sekiranya saya bimbang, saya akan menandatangani Usain Bolt, bukannya James.”
”James Rodriguez membawa kemampuannya dalam mengawal bola, melakukan hantaran yang betul, untuk memastikan pasukan selesa dengan bola,” tambah Ancelotti lagi.
Kredit featured image: Alex Pantling/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai James Rodriguez: