Analisis: Transformasi Taktikal Bayern Munich Di Bawah Hansi Flick

Hansi Flick

Tidak ramai peminat bola sepak yang pernah mendengar nama Hansi Flick sebelum beliau dilantik sebagai pengurus interim Bayern Munich pada penghujung tahun lalu.

Pada awalnya banyak pihak yang tertanya-tanya siapakan gerangannya individu yang secara tiba-tiba menggantikan tempat Niko Kovac di kelab paling berjaya dalam sejarah bola sepak Jerman itu.

Flick mempunyai pengalaman sebagai penolong ketua jurulatih Jerman di bawah Joachim Low sejak 2007 sehingga pasukan itu menjulang kejuaraan Piala Dunia pada 2014 di Brazil. Beliau kemudian dilantik sebagai pengarah sukan untuk Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) sehingga Januari 2017 dan dilantik pula menjadi pembantu Kovac di Bayern pada 1 Julai 2019.

Hakikatnya keupayaan Flick sebagai pengurus pasukan selama ini belum pernah teruji sehinggalah beliau berjaya mengubah nasib The Bavaria yang jelas agak goyah di awal musim sehingga dilantik sebagai pengurus tetap pada April lalu.

Perubahan Taktikal

Di atas kertas, Flick lebih gemar menerapkan formasi 4-2-3-1 dengan Thiago, Leon Goretzka dan Joshua Kimmich bertindak sebagai ‘double pivot’ di bahagian tengah sementara Thomas Muller pula meneruskan peranan ‘Raumdeuter‘ yang bertindak dalam memanfaatkan ruang di belakang penggempur utama mereka, Robert Lewandowski.

Kingsley Coman dan Gnabry pula berperanan di bahagian sayap, posisi yang kadang kala juga diisi oleh Ivan Perisic. Untuk posisi pertahanan, bahagian kiri dan kanan diperkuatkan dengan pemain muda sensasi, Alphonso Davies dan pemenang Piala Dunia 2018, Benjamin Pavard.

Flick kemudian telah mengubah peranan David Alaba ke posisi pertahanan tengah dengan membentuk gandingan bersama Jerome Boateng dan turut disokong pula oleh pemain termahal Bundesliga, Lucas Hernandez.

Gaya permainan Flick boleh ditafsirkan dengan tekanan tinggi (high-pressing), pantas, penguasaan bola dan mencipta kedinamikan posisi dengan pemain sentiasa mencari ruang untuk mencipta garisan hantaran yang kemas dalam setiap gerakan serangan.

Sistem ‘pressing‘ yang ditetapkan dalam cara permainan Bayern boleh dilihat sama ada ketika menyerang, menguasai bola mahupun bertahan dan menjadikan pasukan itu adalah antara pasukan yang mempunyai statistik ‘pressing‘ terbaik di dunia dalam tempoh beberapa bulan ini.

Binaan Serangan

Antara kaedah yang diterapkan adalah dengan pemain sayap bertindak masuk ke tengah (cut inside) dan membolehkan pemain pertahanan sisi naik ke atas untuk menambah jumlah pemain ketika menyerang.

Sekalipun ianya adalah taktikal yang biasa digunakan oleh mana-mana pasukan. Kelebihan Bayern Munich adalah kepantasan yang dimiliki oleh pemain sayap dan pertahanan sisinya disamping kekerapan pemain yang sering bertukar-tukar posisi. Malah Thomas Muller juga sering dilihat mengambil tempat di bahagian sayap apabila keadaan memerlukan.

Selain itu, penyerang utama (target man) contohnya Lewandowski telah beberapa kali dilihat beraksi lebih rendah. Tujuannya adalah untuk menarik pemain pertahanan lawan terutamanya yang mengawalnya naik ke garisan lebih tinggi dan memberi ruang kepada raumdeuter seperti Muller atau Coutinho mencuri ruang untuk membuat serangan mengejut.

Kaedah lain adalah pertukaran posisi antara penyerang dengan pemain sayap. Sebagai contoh apabila Lewandowski bergerak dengan bola ke tepi, Coman atau Gnabry akan masuk ke bahagian tengah atau ke dalam bagi menambah jumlah pemain yang bersedia di dalam kotak penalti untuk membuat penyudah.

Pemain nombor 6 seperti Joshua Kimmich turut memainkan peranan penting sebagai ‘box-to-box‘ dalam membina serangan dari bawah dengan berada di posisi antara dua pemain pertahanan tengah.

Beliau dapat memecahkan garisan tengah dengan menarik pemain lawan ke atas sebelum membuat hantaran ke bahagian tepi kepada pertahanan sisi atau pemain sayap yang mempunyai ruang yang cukup untuk menyusun serangan.

Corak Bertahan

Secara asasnya, formasi Bayern sewaktu bertahan akan berubah kepada 4-1-4-1 dengan Lewandowski juga akan turun lebih rendah di kawasan sendiri. Coutinho atau Muller pula ditugaskan untuk mengawal ruang tengah dan meninggalkan kawasan tepi kepada pemain sayap.

Disipilin ini boleh dilihat setiap kali Bayern kehilangan penguasaan bola di mana Kimmich akan bersedia di hadapan dua pemain pertahanan tengah.

Apabila pemain pertahanan sisi naik ke atas untuk menyerang, pemain sayap akan turun lebih rendah untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan. Sekiranya mereka hilang penguasaan bola, pemain lain cukup masa untuk bersedia menghadapi serangan pantas pihak lawan.

Selain itu, Flick turut mengamalkan tekanan tinggi atau dipanggil ‘Gegenpressing‘ yang sentiasa menjadi ‘trademark‘ bola sepak Jerman di mana pemain di bahagian tengah dan serangan berperanan dalam memastikan pihak lawan gagal menguasai bola terlalu lama.

Kaedah ini dilakukan dengan menutup segala ruang yang dari pemain lawan bermain secara hantaran pendek dengan rakan sepasukan terdekat mereka.

Kesimpulan

Di bawah kendalian Flick sejak November lalu, Bayern telah menang 19 perlawanan, satu seri dan hanya mencatat dua kekalahan.

Dengan Real Madrid dan Barcelona agak bergelut untuk mencapai prestasi terbaik mereka buat masa ini, skuad kendalian Flick berpeluang cerah untuk kembali menjulang kejuaraan Eropah. Apatah lagi juara bertahan, Liverpool sudah pun tersingkir di peringkat kalah mati tempoh hari.

Peluang untuk Flick membina legasinya bersama Bayern Munich bermula di sini.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai Hansi Flick dan Bayern Munich:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN