Sepanyol diikat 1-1 untuk 120 minit dan tewas dalam penentuan penalti kepada Rusia.
Sepanyol pass, pass dan pass
Terlalu banyak hantaran neutral ataupun hantaran tanpa ancaman. Itulah rumusan kepada aksi Sepanyol dalam perlawanan ini. Anda bayangkan sehingga minit ke-43 mereka tidak melakukan sebarang percubaan gol.
Ya, 0 percubaan ke arah gol dengan 72% penguasaan bola. Gol mereka disumbangkan oleh Rusia menerusi jaringan sendiri.
Masalah pivot
Dalam perlawanan ini, Sepanyol bermain dengan sistem 4-2-3-1. Sebelum ini mereka memang kerap bermain dengan sistem ini. Namun apa yang berlaku hari ini pivot mereka tidak dinamik.
Biasanya kita akan melihat gandingan pemain seperti Busquet dan Iniesta di tengah, seorang akan lebih kepada no.8 dan aktif menyerang meninggalkan Busquet di belakang.
Dalam perlawanan ini pula Koke dan Busquet tidak dinamik.
Busquet kita faham kerana beliau memang akan bermain sebagai no.6. Tetapi kenapa Koke terlalu ke belakang? Beliau seperti menempel di sebelah Busquet.
Sepanyol kurang keinginan
Selepas mendahului, Sepanyol tiada kesegeraan untuk mencari gol kedua. Mereka terlalu banyak bermain hantaran ke tepi padang dengan pertukaran hantaran.
Rusia bertahan dengan 8-9 pemain di belakang bola. Sepanyol tidak ada ada keinginan untuk memecahkan blok pertahanan Rusia seperti yang mereka selalu lakukan.
Costa dan Isco dahagakan bola di atas. Mereka adalah fokal penting untuk menerima bola di kawasan gol. Namun tidak banyak hantaran bahaya diberikan kepada mereka. Boleh dikatakan mereka jelas merindui Iniesta yang berada di bangku simpanan.
Rusia lebih jelas dengan tugasan
Ketika bertahan mereka berdisiplin dengan formasi 5-4-1, 4-5-1 ataupun 5-3-2 mengikut ancaman yang hadir daripada Sepanyol.
Dalam perlawanan ini Rusia kelihatan lebih banyak menghadirkan ancaman pada separuh masa pertama berbanding Sepanyol. Mereka tak banyak bola di kaki tetapi apabila menyerang mereka kelihatan sentiasa mampu sampai di dalam kotak penalti.
Dzyuba antara pemain yang efektif. Memenangi 11 daripada 14 duels beliau. Dalam sistem yang fizikal, Rusia memenangi 70% duels udara dalam perlawanan ini.
Golovin mendapat peluang gol juga hasil daripada pertarungan Dzyuba secara duel dan bola berada di hadapan beliau.
Respon Sepanyol
Selepas Rusia menyamakan kedudukan menerusi penalti Dzyuba, barulah mereka lebih berusaha memecahkan pertahanan lawan mereka. Dan 3 percubaan dalam kotak penalti dilakukan mereka dalam minit akhir separuh masa pertama.
Sebab itu saya nyatakan, mereka kurang keinginan kerana mereka ada kualiti untuk memecah masuk ke dalam kawasan pertahanan lawan. Kemasukan Iniesta, beliau cuba memperbaiki aspek itu, ianya memang sudah gaya permainan semulajadi beliau.
Mungkin ada terlepas tentang konsep penetrasi di kawasan padat (tight area). Kami ringkaskan ia.
Kawasan paling padat adalah ruang di antara garisan pertahanan dan garisan pemain tengah. Dalam konsep bertahan, pemain akan membentuk unit kompak, untuk mengelakkan kawasan padat mereka dikuasai lawan. Zon utama paling dilindungi adalah zon 14.
Pasukan yang tak penetratif akan bermasalah memecahkan ruang itu dan kerap ditolak ke sayap. Sebenarnya, zon sayap adalah zon yang dianggap neutral oleh pertahanan, kerana pasukan lawan hanya ada pilihan melakukan hantaran silang dari jarak jauh.
Separuh masa kedua
Sepanyol kemudian berhadapan dengan masalah yang sama pada separuh masa kedua. Harus diakui mereka lebih baik daripada separuh masa pertama.
Namun masalah yang jelas, mereka tidak cukup ‘killer passes’ ke kawasan serangan. Ini yang membuatkan mereka memasukkan Iniesta. 2 bek sisi mereka gagal memberikan impak. Salah satu sebabnya adalah kurangnya permainan kombinasi di antara pemain sayap dan pemain bek sisi.
Alba dan Isco boleh dikatakan ada permainan kombinasi namun kita kerap menyaksikan gandingan yang lebih baik.
Di kanan, Nacho dan Asensio sangat statik. Nacho tidak mampu untuk naik ke atas untuk menggunakan ruang di sayap kerana Asensio statik dan tidak memberikan ‘lesen’ agar ruang itu digunakan bek sisi.
Nacho kelihatan tidak berani untuk kerap naik kerana Asensio malas turun untuk bertahan. Mario Fernandes (pemain Rusia) kerapkali memanfaatkan ruang yang ada di sebelah Nacho dan Asensio.
Ini yang membuatkan Sepanyol tiada anjakan daripada belakang ‘depth’ dan dari sisi (width). Mereka terlalu bergantung kepada Alba dan Isco di kanan. Anda lihat heatmap ini, anda nilai sendiri.
Gandingan Koke dan Busquet terus tidak menunjukkan lebih variasi dan tiada animasi yang lebih baik.
Ini adalah rekod hantaran Sepanyol sepanjang perlawanan ini, angka yang sangat tinggi:
Anda bayangkan tempoh 90 minit Sepanyol melakukan lebih 870 hantaran tepat. Mana produk akhir?
Rumusan
Taktikal Fernando Hierro ini lebih kepada berhati-hati dengan serangan balas Rusia. Mungkin itu Hierro me-rigid-kan 4-2-3-1 beliau.
Namun untuk pasukan yang kita sudah biasa lihat bermain dengan tekanan di garisan tinggi dan melabur ramai pemain di serangan, pasukan Sepanyol ini mengejutkan kita semua.
Mereka tiada keberanian seperti seperti sebelum ini. Koke dan Busquet sebagai 6 kembar (double sixes) adalah sangat rigid hari ini. Mereka sendiri kerap keliru cara untuk bermain sistem itu dan melakukan beberapa kesilapan.
Kemasukan Rodrigo dan Iago Aspas sebenarnya memperbaiki aspek tenaga dan penetrasi pasukan Sepanyol. Aspas mencipta 2 peluang gol kepada Sepanyol, namun gagal disudahkan.
Namun tetap sepanjang perlawanan, Sepanyol secara keseluruhannya bermasalah dengan aspek penetrasi dan tiada ‘spark’ di final third seperti kebiasaannya. Ini mungkin antara permainan Sepanyol paling membosankan pernah anda saksikan.
Mereka tiada keinginan yang tinggi untuk gol kedua ketika mendahului dan terus dihantui masalah defensif, di mana Pique melepaskan penalti kepada lawan.
Rusia berhak untuk mendapat sesuatu daripada perlawanan ini, kerana Sepanyol tidak bermain dalam karakter mereka sebelum ini.
Pemain terbaik
Dzyuba (Rusia)
Artem Dzyuba missed both of his penalties for Arsenal Tula and Zenit during the 2017-18 season.
He slotted that one away though for his third #WorldCup goal. ⚽️ pic.twitter.com/BgzrrpqE6I
— Squawka (@Squawka) July 1, 2018