Selangor perlu berterima kasih dengan Andik Vermansyah kerana menjaringkan gol di lewat-lewat permainan untuk mengikat PDRM 1-1. PDRM terlebih dahulu menjaringkan gol selepas Ali Ashfaq memanfaatkan set-piece defending Selangor yang lemah pada minit 9′.
Kesebelasan utama
3 pertukaran dibuat oleh Mehmet Durakovic kepada kepada kesebelasan utamanya yang tewas 1-3 kepada JDT sebelum cuti Hari Raya. Mohd Syamim mengambil alih tugas penjaga gol daripada Hamsani Ahmad yang cedera ketika menentang JDT.
Leandro dos Santos digantung perlawanan selepas mengutip 5 kad kuning. Tempat beliau digantikan oleh K. Gurusamy. Di posisi bek kiri, Azrif Nasulhaq menggantikan Raimi Md Nor. Bunyamin Omar mengekalkan tempatnya di posisi bek kanan.
Perlawanan pertama PDRM tanpa Azman Adnan dan kapten, Muslim Ahmad, menyaksikan PDRM kembali ke formasi 5-3-2/3-5-2 yang digunakan pada awal musim. Afif Amirudin bergandingan bersama Arman Fareez dan Azman Azrul sebagai 3 pertahanan tengah (back three).
Taktikal PDRM
Sebagai satu-satunya pasukan yang menggunakan taktikal 3 pertahanan tengah (back three) di Liga Super pada musim ini, PDRM sentiasa mempunyai kelebihan apabila menentang pasukan Liga Super lain yang rata-ratanya bermain dengan formasi 4-4-2.
Dari segi teori taktikal, 3 pertahanan tengah PDRM sepatutnya tidak menghadapi masalah untuk berdepan dengan 2 penyerang Selangor.
Penyerang PDRM pula tidak perlu turun membantu jentera tengah untuk bertahan kerana 3 pemain tengah PDRM sentiasa mempunyai kelebihan kuantiti terhadap 2 pemain tengah Selangor.
Atas kelebihan inilah, PDRM dapat menguasai separuh masa pertama.
Kualiti build-up play Guilherme
Pada separuh masa pertama, pertahanan tengah Selangor kerap melancarkan hantaran lambung ke Guilherme de Paula untuk melancarkan serangan. Mehmet mungkin mengharapkan Guilherme memenangi bola 50-50 di udara untuk diambil oleh Hadi Yahya, Andik Vermansyah dan Hazwan Bakri.
Taktikal ini membuatkan Selangor seperti bermain dalam formasi 4-2-4 berbanding 4-4-2. Tetapi sepanjang separuh masa pertama, taktikal ini kelihatan sudah dapat dibaca oleh 5 pertahanan PDRM.
Guilherme mungkin mendominasi perebutan bola di udara, tetapi beliau gagal memegang bola (hold up play) dan menghantarnya kepada Hadi, Andik dan Hazwan (build up play).
Walaupun tewas di udara dengan Guilherme, 3 pertahanan PDRM masih mampu memintas bola tandukan dan hantaran Guilherme. Dan atas sebab ini, Selangor kerap diserang balas oleh PDRM.
Larian off the ball Gurusamy menyusahkan Nazmi
Sebab utama mengapa PDRM mudah melancarkan serangan balas ke kubu Selangor adalah kerana keghairahan pemain Selangor untuk menyerang tanpa memikirkan kesimbangan pasukan.
Salah seorang pemain yang bersalah dalam hal ini adalah K. Gurusamy – pasangan pemain tengah bersama Nazmi Faiz – yang sepatutnya menggantikan tugas Leandro dos Santos sebagai defensive midfielder.
Tetapi dalam perlawanan semalam, sebaliknya yang berlaku. Ketika Selangor sedang merancang serangan, Gurusamy pula yang kerap membuat larian ke hadapan untuk menyerang. Akibatnya Nazmi hanya berseorangan di jentera tengah apabila serangan Selangor dipatahkan.
Dalam satu serangan balas PDRM pada minit 8′, Nazmi kelihatan terasing di tengah-tengah 3 pemain tengah PDRM dan Dramane Traore yang kerap turun ke zon tengah untuk mengutip bola. Gurusamy yang meninggalkan posisinya untuk menyerang bergelut untuk kembali ke posisinya untuk membantu Nazmi.
Serangan itu kemudiannya dipatahkan oleh kesalahan (foul) yang dilakukan Azrif Nasrulhaq. Sepakan percuma dihadiahkan kepada PDRM dan gol dijaringkan oleh Ali Ashfaq.
Ya gol itu boleh dihalang jika set-piece defending Selangor diperbaiki tetapi ia boleh dielak jika Selangor tidak terlalu gung-ho ketika menyerang sehingga meninggalkan Nazmi berseorangan di tengah.
Selangor berubah ke lopsided 4-3-3
Pada separuh masa kedua, Mehmet dilihat telah membuat beberapa perubahan taktikal. Bermain dalam formasi 4-2-4/4-4-2 pada separuh masa pertama, Selangor berubah ke formasi lopsided 4-3-3.
Kali ini, Andik diberi lesen untuk menjadi penyerang ketiga Selangor manakala Hazwan (yang kemudiannya digantikan Fitri Shazwan) lebih banyak terlibat di jentera tengah sahaja.
Strategi ini berjaya kerana banyak serangan berbahaya Selangor bermula daripada kreativiti Andik dan Azrif di sayap kiri.
Kelemahan PDRM di bahagian sayap mula terdedah
Setiap taktik bola sepak mempunyai kelemahan masing-masing. Dan kelemahan taktik 3-5-2/5-3-2 PDRM adalah di bahagian sayap, di mana mereka hanya mempunyai 1 orang pemain sahaja di setiap sayap (Nizam Rodzi di sayap kanan, Fekry Tajudin di sayap kiri).
Perubahan taktikal Mehmet pada separuh masa kedua membolehkan Andik dan Azrif mencipta situasi 2v1 di kawasan sayap kiri Selangor. Nizam Rodzi yang berada berseorangan di kawasan tersebut, mula bergelut untuk menangani hantaran lintang bertali arus dari Andik dan Azrif.
Pada minit 66′, hantaran lintang Andik dari kiri menemui Afiq Azmi. Bagaimanapun tandukan Afiq hanya menggegar palang.
Akhirnya pada minit 88′, Selangor berjaya memperolehi sepakan percuma selepas Andik dijatuhkan di sebelah kiri. Kali ini, Andik tidak memerlukan rakan-rakan sepasukannya apabila terus menyepak masuk sepakan percuma ke arah gol.
Kesimpulan
Musim lepas, Selangor hanya bolos 19 gol dalam 22 perlawanan untuk menduduki tangga ke-2 Liga Super. Setakat musim ini, Selangor sudah bolos 23 gol – 4 gol lebih – ketika liga masih berbaki 6 perlawanan.
Persembahan semalam membuktikan Selangor bukanlah pasukan defensif seperti musim lepas. Tetapi dalam keghairahan mereka untuk menyerang, mereka kerap melupakan keseimbangan pasukan ketika menyerang. Dalam bahasa orang putih, they over-committed in attacking phase.
Ini sesuatu yang perlu diperbaiki oleh Mehmet.
Baca: Analisis Taktikal Liga Super 2015: JDT 3-1 Selangor
Sumber: Gawang.my