Analisis Taktikal: JDT 3-1 Selangor

JDT menewaskan Selangor 3-1 dalam perlawanan yang seimbang tetapi dibantu oleh kebocoran pertahanan Selangor. Amri Yahyah memberi gol pendahuluan kepada JDT sebelum Andik Vermansyah menyamakan kedudukan di hujung separuh masa pertama.

Hanya 2 minit selepas gol Andik, Luciano Figueroa meletakkan JDT kembali di depan depan. Beliau kemudiannya menjamin kemenangan JDT dengan gol ke-2 melalui sepakan percuma pada minit 79′. Dengan kemenangan ini, JDT meneruskan tekanan kepada Pahang yang berada di tangga teratas liga, hanya ketinggalan 2 mata.

Kesebelasan utama

Selepas merehatkan majoriti pemain utamanya ketika perlawanan persahabatan dengan Borussia Dortmund, Mario Gomez mengekalkan semua kesebelasan utamanya yang menang 2-1 ke atas PDRM kecuali satu. Amri Yahyah masuk menggantikan Safee Sali.

JDT vs Selangor - Football tactics and formations



Mehmet Durakovic pula membuat 2 pertukaran kepada kesebelasan untamanya yang tewas 1-3 kepada Pahang. Bunyamin Umar masuk menggantikan Azrif Nasrulhaq di posisi bek kanan. Manakala Leandro dos Santos kembali mengambil tempatnya yang diisi oleh K. Gurusamy pada minggu lepas.

Taktikal JDT

Secara kasarnya, JDT bermain dalam formasi 4-4-1-1 atau 4-4-2 dengan Amri Yahyah beroperasi dibelakang Luciano Figueroa sebagai penyerang kedua. Figueroa aktif terlibat dalam gerakan merancang (build-up) serangan JDT dengan banyak bertukar-tukar hantaran dengan Amri dan Safiq Rahim terutamanya.

Di jentera tengah, Safiq meneruskan tugasnya sebagai box-to-box midfielder. Beliau kerap mengutip bola dari pemain pertahanan dan kerap pula membuat larian-larian lewat (late runs) untuk menyerang hantaran-hantran lintang pemain sayap, Mahali Jasuli dan Nazrin Nawi.

Di bahagian pertahanan, S. Kunanlan diberi kebebasan untuk membantu Mahali menyerang di sayap kanan berbanding Asrarudin Putra di sayap kiri. Di sayap kiri, Nazrin Nawi masih gemar membuat hantaran lintang dari dalam (deep crosses) daripada cuba menyerang dan menewaskan bek kanan Selangor dalam situasi 1v1.

Taktikal Selangor

Selangor pula bermain dalam formasi tipikal 4-4-2. Pada 10 minit pertama, Selangor banyak melakukan hantaran-hantaran jauh ke zon bek kanan dan kiri JDT untuk dikejar oleh Hadi Yahya.

Pelan Mehmet adalah supaya Hadi dapat memegang bola di kawasan ini dan terus menghantar ke laluan pemain sayap yang akan melakukan larian dari zon sayap ke tengah (cut inside) dan terus membuat percubaan.

(Klik pada gambar untuk paparan lebih jelas)

jdtselangor13

Taktikal ini adalah untuk memanfaatkan teknik rembatan jauh Hazwan Bakri dan Andik Vermansyah yang pernah menghasilkan gol cantik dari luar kotak penalti sebelum ini.

Kredit juga kepada Selangor kerana selepas mendapati hantaran jauh mereka tidak berkesan, mereka mula merancang serangan dengan menggunakan hantaran pendek. Ketika inilah peranan Nazmi Faiz menjadi penting.

Pertahanan Selangor tidak kompak

Seperti ketika kekalahan 1-3 mereka kepada Pahang di Shah Alam pada minggu lepas, Selangor mempunyai diri sendiri untuk dipersalahkan kerana gagal membentuk pertahanan yang kompak (compact) ketika kehilangan bola.

Robert Cornwaithe dan Shahrom Kalam kerap kali memberikan ruang yang sangat besar kepada Figueroa dan Amri. Ketika Selangor diserang, jarak antara Cornwaithe dan Shahrom kerap kali dilihat terlalu besar.

Sedangkan dalam situasi ini, mereka harus kerap berkomunikasi dan mengekalkan jarak yang dekat antara mereka berdua supaya pertahanan mereka kompak.

Kesilapan Cornwaithe dan Shahrom inilah yang menjadi punca gol Amri pada minit 10′.

Hantaran lintang Mahali Jasuli yang pada mulanya tidak kelihatan berbahaya, menjadi berbahaya apabila Amri dan Figueroa memanfaatkan ruang yang diberi oleh Cornwaithe dan Shahrom dengan melakukan hantaran 1-2 yang pantas.

jdtselangor1

Ketika bola sampai ke laluan Amri, Shahrom sudah berada terlalu jauh untuk menghentikan rembatan Amri.

jdtselangor2

Selain Cornwaithe dan Shahrom, Bunyamin Umar juga perlu bertanggungjawab.

Beliau kerap kali dilihat gagal mengekalkan bentuk kompak dan meninggalkan ruang yang terlalu besar antara beliau dan Cornwaithe.

Pada minit 22′, kegagalan Bunyamin mengecilkan ruang antara beliau dengan Cornwaithe menyebabkan Amri memperoleh peluang 1v1 dengan Cornwaithe.

jdtselangor3

Mana-mana pertahanan besar seperti Cornwaithe pastinya tidak mahu berhadapan dalam situasi 1v1 bersama penyerang laju dan licik seperti Amri. Cornwaithe pula tidak seharusnya melakukan sliding tackle terhadap Amri. Sebaliknya beliau hanya perlu merantai larian Amri sehingga rakan-rakan pertahanannya datang membantu.

jdtselangor4

Selepas Andik menjaringkan gol menerusi sepakan percuma jarak jauh yang cantik, JDT kembali di hadapan melalui jaringan Luciano Figueroa. Puncanya? Sudah pastilah kerana pertahanan Selangor yang tidak kompak.

Bermula daripada hantaran lintang Kunanlan yang sepatutnya mudah dikeluarkan Cornwaithe atau Shahrom, Figueroa menyambar hantaran lintang tersebut dan menjaringkan gol melalui tandukan kencang.

Sekali lagi, jarak antara Cornwaithe dan Shahrom yang terlalu jauh memberi masa dan ruang kepada Figueroa untuk menyerang ruang tersebut.

jdtselangor11

Pada minit 53′ Safiq sekali lagi memperolehi peluang selepas kegagalan Bunyamin untuk memahami konsep pertahanan kompak.

jdtselangor12

Larian Safiq gagal dirantai

Sebagai box-to-box midfielder, larian Safiq dari zon tengah (middle third) ke zon serangan (final third) sentiasa berbahaya kerana beliau berpotensi untuk menyambar hantaran lintang dan cutback dari pemain sayap JDT.

Jika tidak kerana penyudah Safiq yang tumpul pada malam semalam, Safiq boleh menjaringkan sekurang-kurangnya 2 gol melalui larian beliau.

Apa yang menghairankan kami adalah ketiadaan pemain Selangor yang marantai larian beliau. Dalam kesebelasan utama Selangor semalam, pemain yang sepatutnya bertanggungjawab adalah Leandro dos Santos.

Leandro kerap kali lambat bertindak kepada larian Safiq. Contohnya dalam situasi pada minit ke 22′ ini.

jdtselangor5

Pada minit 33′, Safiq sekali lagi dilihat bebas menerima hantaran lintang Amri dari sayap kanan. Leandro tidak kelihatan berhampiran dengan Safiq langsung.

jdtselangor10

Cara Figueroa memanipulasikan posisinya perlu dicontohi

Prestasi Luciano Figueroa mungkin diadili berdasarkan jumlah golnya, tetapi kemahirannya memanipulasikan posisinya dan kualiti gerakannya tanpa bola (off the ball movement) ketika serangan JDT juga harus diberikan perhatian.

Berbanding penyerang-penyerang lain di Liga Super (termasuklah majoriti penyerang tempatan), Figueroa sentiasa bergerak dan sentiasa mobil.

Beliau tidak pernah meminta bola ketika dirinya dirantai oleh pertahanan tengah. Sebaliknya beliau turun ke zon tengah untuk mengutip bola dan menyerang ruang -ruang kecil (dan besar) yang ditinggalkan Bunyamin, Cornwaithe dan Shahrom.

Dalam satu gerakan serangan JDT pada minit 27′, Figueroa dilihat berada di 4 posisi berbeza dalam jangka masa 8 saat. Perhatikan posisi beliau dalam urutan gambar-gambar di bawah:

jdtselangor6

jdtselangor7

jdtselangor8

jdtselangor9

Gerakan ini berakhir selepas Hamsani Ahmad menjatuhkan Figueroa di dalam kotak penalti. Bagaimanapun tiada sebarang penalti diberikan oleh pengadil.

Gol ke-3 JDT

Luciano Figueroa menjaringkan gol keduanya pada minit 79′ melalui sepakan percuma yang melepasi benteng pertahanan Selangor.

Selepas gol tersebut, Mario Gomez melakukan apa yang biasa beliau lakukan selepas JDT mendahului pasukan lawan. Mario mengarahkan JDT ‘menutup kedai’ dengan meletakkan 5 pertahanan.

JDT vs Selangor - Football tactics and formations



Selain sepakan jarak jauh Afiq yang selesa diselamatkan Farizal Marlias, Selangor langsung tidak dapat mengancam kubu JDT.

Kesimpulan

Kekalahan ini meletakkan Selangor semakin jauh daripada saingan perebutan takhta liga. Ketika ini Selangor ketinggalan 9 mata daripada pendahulu, Pahang. Bagi JDT, kemenangan ini tidak ubah sekadar kemenangan rutin mereka memandangkan mereka belum pernah kalah di Larkin sejak September 2013.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN