Analisis Taktikal Liga Super 2015: JDT 4-1 Perak

JDT mencerahkan peluang untuk menjadi juara Liga Super 2015 apabila menewaskan Perak 4-1 di Stadium Larkin semalam.

Angka jaringan gol mungkin tidak menggambarkan situasi sebenar perlawanan pada separuh masa pertama. Tetapi Perak hanya mempunyai diri sendiri untuk dipersalahkan selepas gagal mengekalkan persembahan defensif baik yang dipamerkan pada separuh masa pertama.

Safee Sali tenggelam

Bermain di halaman lawan, Perak mengekalkan garisan defensif yang rendah dan sentiasa mengekalkan bentuk kompak ketika kehilangan bola.

Di sayap kanan, Nurridzuan Abu Hassan sentiasa membantu bek kanan, Raffi Nagorgani, ketika Perak diserang. Manakala di sayap kiri, Hafiz Ramdan pula kerap turun membantu bek kiri, Syazwan Roslan.

Di tengah, 3 pemain di jentera tengah Perak – Nasir Basharudin, Ahmad Sukri dan Norhakim Isa sentiasa mempunyai kelebihan dari segi teori taktikal.

Ini kerana demi mengejar gol yang banyak, JDT hanya membariskan 2 pemain tengah – Hariss Harun dan Safiq Rahim – untuk membariskan Safee Sali dan Luciano Figueroa sebagai penyerang dalam formasi 4-4-2.

Kelebihan seorang pemain di tengah dan taktik defensif Perak nyata memberi kesan kepada Safee, yang kurang mobil berbanding Figueroa.

JDT jarang-jarang mengancam kubu Perak. Manakala, satu-satunya peluang yang diperolehi oleh Safee adalah rembatan tersasar ke tepi jaring pada minit 18′.

Perubahan taktikal Perak di bawah Abu Bakar Fadzim

Perak di bawah kendalian M. Karathu dan Perak di bawah kendalian Abu Bakar Fadzim berbeza bagaikan langit dan bumi.

Di bawah Abu Bakar Fadzim, Perak sentiasa merancang serangan dari bawah melalui hantaran-hantaran pendek.

Perlu diingat, perubahan taktikal dari satu jurulatih ke jurulatih lain sentiasa mengambil masa untuk membuahkan hasil.

Jadi tidak hairanlah serangan Perak kerap kali dipatahkan oleh ketidakserasian antara sesama pemain mereka sendiri. Pemain Perak dilihat belum mampu membaca gerakan-gerakan sesama mereka setiap kali menyerang dengan hantaran pendek.

Kesilapan Perak

Di samping ketidakserasian sesama pemain Perak ketika merancang serangan melalui hantaran pendek, Perak juga membuat kesilapan mudah ketika memegang bola dan ketika tidak memegang bola.

Antara yang paling mudah dikesan adalah kegagalan Norhakim Isa untuk memberi tekanan (closing down) kepada Safiq Rahim yang sentiasa turun ke bawah untuk mengutip bola daripada Junior Eldstal dan Aidil Zafuan.

Tidak ada gunanya Perak mempunyai kelebihan seorang pemain di jentera tengah jika mereka tidak menutup ruang Safiq ketika beliau mengutip bola dari bawah.

Ketika menyerang, Norhakim juga gagal dan lambat melakukan larian tanpa bola (off the ball movement) ketika Bobby Gonzalez memegang bola untuk membuka ruang dan menarik keluar pertahanan JDT. Akibatnya Bobby kelihatan terasing di depan tanpa sebarang sokongan.

11923262_1061665313844967_1396003467038502549_n

JDT mendahului

Antara ciri-ciri pasukan juara adalah kebolehan mereka untuk menjaringkan gol walaupun tidak banyak membuat percubaan tepat ke arah gol – sama ada melalui sepakan percuma atau rembatan jarak jauh.

Inilah yang dilakukan JDT ketika jentera serangan mereka bergelut untuk mencipta peluang ketika menentang Perak yang sentiasa bermain dengan garisan defensif yang rendah dan sentiasa kompak ketika kehilangan bola.

JDT mendahului 1-0 melalui tandukan Figueroa pada minit 44′ sebelum menambah jaringan melalui rembatan jarak jauh Nazrin Nawi pada minit 47′.

Meskipun gol Figueroa dan Nazrin boleh dielak jika penjaga gol Perak, Zamir Selamat, tidak membuat kesilapan ketika sepakan percuma Safiq dan jika pemain tengah Perak memberi tekanan kepada Nazrin, kualiti jaringan Figueroa dan Nazrin tidak boleh dipertikaikan.

Kemasukan S. Chanturu mengubah perlawanan

Seawal minit 49′, Mario Gomez membuat keputusan berani untuk mengeluarkan Safee Sali yang tidak efektif dan membawa masuk S. Chanturu. Safee mungkin kelihatan marah dengan keputusan Gomez itu, tetapi ia merupakan perubahan taktikal yang bagus.

Dengan kemasukan Chanturu, JDT kini bermain dengan 2 pemain sayap tulen. Jasazrin Jamaludin yang bermain di sayap kanan pada separuh masa pertama bukanlah jenis pemain sayap yang mampu menghadirkan bahaya kepada bek kiri Perak, Syazwan Roslan.

Meskipun Perak berjaya merapatkan kedudukan dengan gol Thiago Aquino, kehadiran Chanturu memberi impak segera kepada jentera serangan JDT dengan lebih banyak hantaran lintang dicipta dari sebelah kanan.

Hasilnya, JDT menambah gol ke-3 melalui jaringan Chanturu. Chanturu turut terlibat dalam gol ke-4 selepas bergabung dengan Kunanlan yang menewaskan 2 pemain Perak dalam situasi 2v1 di sayap kanan sebelum membuat hantaran lintang yang tepat ke laluan Safiq Rahim.

Skil gelecekan dan kelajuan Chanturu nyata mengubah nasib perlawanan untuk berpihak kepada JDT. Ketua jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim, begitu risaukan impak Chanturu di sayap kanan sehingga terpaksa mengeluarkan Syazwan Roslan.

Masalah Perak

Dalam perlawanan semalam, Abu Bakar Fadzim kelihatan masih belum menjumpai pemain yang boleh bermain di posisi belakang penyerang utama. Ketua jurulatih Perak itu mencuba Norhakim Isa pada separuh masa pertama sebelum mencuba Nurridzuan Abu Hassan dan Haris Safwan pada separuh masa kedua.

Norhakim mungkin mempunyai teknik membuat hantaran yang baik tetapi kekurangan kelajuan dan pengetahuan taktikal untuk bermain di belakang penyerang utama. Nurridzuan lebih efektif di bahagian sayap manakala Haris sudah agak lama tidak bermain.

Tanpa Chad Souza dan Namkung Woong – antara 2 penyerang Perak yang mampu memegang bola – Perak terpaksa menggunakan inverted winger (pemain sayap berkaki kiri di sayap kanan dan sebaliknya) untuk menampung kekurangan fizikal yang dimiliki oleh Bobby Gonzalez.

Tetapi kredit harus diberikan kepada bek kanan dan kiri JDT – S. Kunanlan dan Asrarudin Putra – yang mampu mengekang larian laju dan hantaran lintang Hafiz Ramdan, Nurridzuan Abu Hassan dan Ridzuan Azly (dimasukkan pada separuh masa kedua).

11903914_1061651740512991_3689865098340561214_n

Kesimpulan

Dengan kemenangan ini, JDT berada di posisi terbaik untuk mempertahankan kejuaraan Liga Super mereka. Tetapi bagi Perak, taktik hantaran pendek mereka masih memerlukan banyak pembaikan jika mereka mahukan kemenangan. Persoalannya; adakah penyokong Perak dan PAFA boleh bersabar sementara perubahan taktikal ini membuahkan hasil?

Sumber: asiana.my, Gawang.my

Baca juga: ANALISIS TAKTIKAL: PAHANG 1-1 JDT

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN