Analisis Taktikal: Pahang 1-1 JDT

Pahang terlepas peluang untuk melebarkan jurang pendahulu kepada 5 mata selepas seri 1-1 di Kuantan semalam. Amri Yahyah memberi gol pendahuluan untuk JDT sebelum Pahang menyamakan kedudukan 4 minit kemudian menerusi Damion Stewart selepas situasi kelam kabut berlaku daripada sepakan sudut.

Pahang terus menyerang untuk mendapatkan gol kemenangan tetapi JDT mengambil pendekatan pragmatik untuk mencuri satu mata.

Kesebelasan utama

Pahang membuat 2 pertukaran kepada kesebelasan utama yang menang 1-0 ke atas PDRM. Zesh Rehman menggantikan Nor Azam Azih manakala Azammudin ‘Alex’ Akil menggantikan D. Saarvindran di sayap kanan.

Dengan Dickson Nwakaeme dan Matias Conti mengetuai jentera serangan seperti biasa, Pahang mengekalkan formasi 4-4-2 mereka.

JDT pula membuat 3 pertukaran kepada kesebelasan utama yang menang 2-0 ke atas Terengganu. Disebabkan Patito Rodriguez terpaksa diketepikan sehingga akhir musim kerana kecederaan, Safiq Rahim bermain di belakang Luciano Figueroa. Gary Steven mengambil tempat Safiq di bahagian tengah.

Jasazrin Jamaludin pula menggantikan Shakir Shaari manakala S. Kunanlan kembali mengambil tempatnya di posisi bek kanan selepas pulih dari kecederaan. JDt bermain dalam posisi 4-4-1-1.

Pelan serangan Pahang

Hampir semua peminat bola sepak tempatan tahu bagaimana taktikal Pahang berfungsi di bawah kendalian Zainal Abidin Hassan. Bermentaliti menyerang dan mendominasi lawan dengan kekuatan fizikal pemain mereka.

Kelebihan ini membenarkan Pahang menyerang dengan satu hantaran panjang sahaja. Pertahanan mereka (selalunya Damion Stewart) dibenarkan membuat hantaran jauh ke Matias Conti dan Dickson Nwakaeme. Fokus utama Pahang adalah melajukan transisi pertahanan kepada transisi serangan selaju boleh.

Hantaran jauh ini biasanya akan ditanduk keluar oleh pertahanan JDT sebelum dikutip semula oleh pemain tengah Pahang semula. Dan ketika inilah serangan Pahang yang sebenar baru bermula.

Pemain tengah mereka (Hafiz Kamal dan Zesh Rehman) kemudiannya akan menghantar bola ke Nwakaeme yang biasanya akan turun ke zon tengah untuk mengutip bola. Nwakaeme mempunyai kebebasan untuk memberi bola kepada pemain sayap (Pahang akan menyerang melalui bahagian sayap) atau berlari sendiri ke tengah (dan Pahang akan menyerang melalui bahagian tengah).

pahangjdt112-compressed

Melalui kelajuan Gopinathan dan Alex, Pahang mampu menyerang melalui hantaran lintang ke kotak penalti untuk disambar Conti. Atau menyerang terus di tengah melalui larian, skil dan kekuatan fizikal Nwakaeme seperti yang berlaku dalam video di bawah apabila Nwakaeme menggegar tiang kanan gol JDT pada separuh masa kedua.

Gerakan dickson yg hampir menjaringkan gol. Tiang menjadi penghalang

Posted by Gambar aksi pasukan,berita dan penyokong pasukan pahang on Saturday, June 27, 2015



Variasi serangan Pahang inilah yang menyebabkan mereka mampu mendahului liga ketika ini. Pertahanan mereka bukan sahaja kukuh, malah pemain serangan mereka mampu menyerang di kiri, kanan dan tengah padang.

Dalam perlawanan semalam, Pahang mencipta peluang demi peluang melalui hantaran lintang daripada Gopinathan dan Alex. Malangnya peluang-peluang ini sukar disempurnakan oleh Conti kerana satu sebab: JDT lebih pragmatik di bawah Mario Gomez.

JDT kompak ketika bertahan

Apa maksudnya JDT kebih pragmatik?

Menentang Pahang yang mempunyai kelebihan fizikal dan moral bermain di hadapan penyokong sendiri, JDT tampil lebih defensif berbanding biasa.

Mereka sentiasa mengekalkan bentuk kompak ketika kehilangan bola untuk mengurangkan bahaya Nwakaeme. Marcos Antonio dan Fadhli Shas pula tidak meninggalkan ruang yang banyak untuk di belakang mereka untuk mengelak daripada dieksploit oleh kelajuan dan skil pemain sayap Pahang.

Malah pemilihan Jasazrin Jamaludin dan Gary Steven – dua pemain yang terkenal dengan kerajinan yang tinggi (work rate) berbanding kreativiti – di tengah adalah petanda jelas JDT mahu pulang dengan sekurang-kurangnya 1 mata.

Ini adalah satu perubahan jelas dari era Bojan Hodak dan Cesar Jimenez- dimana JDT lebih suka menyerang. Di bawah Mario Gomez, JDT lebih rela bermain defensif asalkan mereka memperolehi keputusan yang bagus.

Ini adalah sebabnya mengapa kami mengatakan JDT lebih pragmatik di bawah Gomez.

Pelan serangan JDT

Bermain lebih defensif, JDT menumpukan serangan mereka melalui serangan balas dari tengah.

Setiap kali JDT mempunyai penguasaan bola, Luciano Figueroa akan turun ke zon tengah untuk mengutip bola. Menggunakan skil dan kekuatan fizikalnya, Figueroa kemudiannya akan menggunakan servis pemain sayap, Nazrin Nawi dan Mahali Jasuli untuk mencipta peluang gol.

Sama ada melalui hantaran lintang di bahagian sayap atau pertukaran hantaran satu-dua di tengah, Nazrin dan Mahali adalah komponen penting pelan serangan balas JDT. Mereka sentiasa terlibat dalam majoriti serangan JDT seperti yang terjadi apabila Figueroa menggegarkan palang selepas bertukar-tukar hantaran dengan Mahali.

Pada minit 66′, hasil gabungan bentuk defensif yang kompak dan pelan serangan balas mereka, JDT akhirnya dapat menjaringkan gol. Bermula dari Jasazrin yang merampas bola dari Hafiz Kamal, beliau kemudiannya menghantar bola ke laluan larian Amri di tengah yang kemudiannya menjaringkan gol.

Nazrin Nawi berada di poket Matthew Davies sepanjang perlawanan

Berbanding Mahali Jasuli (yang kemudiannya digantikan Amri Yahyah) di sayap kanan, Nazrin Nawi pula agak senyap di sayap kiri.

Menentang Matthew Davies, Nazrin bukan sahaja gagal menghasilkan hantaran lintang baik untuk penyerangnya malah setiap lariannya dibayangi oleh Davies yang cemerlang sepanjang perlawanan.

Kegagalan Nazrin menewaskan Davies dalam situasi 1vi di sayap kiri menyebabkan beliau banyak memilih untuk melakukan hantaran lintang dari kawasan yang lebih jauh. Setiap hantaran lintang yang beliau lakukan berjaya ditangani oleh Razman Roslan dengan mudah.

Malah beberapa kali juga kita dapat melihat Nazrin gagal merantai larian Davies yang gemar membuat larian overlapping ketika Pahang menyerang. Bek kiri JDT, Asrarudin Putra sudah terdedah dengan situasi 2v1 berkali-kali kerana kegagalan Nazrin merantai larian Davies.

Bahaya Pahang ketika sepakan sudut

Satu perkara yang pasti berlaku ketika Pahang mengambil sepakan sudut adalah mereka pasti akan menghantarnya ke bahagian far post. Dua pemain Pahang yang pasti menunggu di kawasan far post ini adalah 2 pemain paling tinggi untuk Pahanag, Zesh Rehman dan Damion Stewart.

Kegagalan JDT untuk mengenalpasti bahaya ini dan mengendalinya dengan lebih baik menyebabkan Pahang mendapat gol penyamaan.

Perubahan taktikal selepas Aidil dimasukkan

Ketika permainan berbaki 10 minit, Gomez melakukan inisiatif terakhirnya untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata.

Menyedari bahaya Nwakaeme yang mampu menewaskan 3 pemain JDT dalam satu larian seperti yang dipamerkannya pada minit 76′, Gomes memasukkan Aidil Zafuan dang mengeluarkan Nazrin Nawi.

Dengan kehadiran Aidil, taktikal JDT berubah kepada sistem back three – dengan Aidil, Marcos dan Fadhli sebagai back three, Asrarudin sebagai wing back kiri dan Kunanlan sebagai wing back kanan. JDT kini bermain dalam sistem 5-4-1.

pahangjdt111-compressed

Perubahan taktikal ini berjaya memperlahankan tempo perlawanan dan meneutralisasikan bahaya Nwakaeme sehingga tamat perlawanan

Kesimpulan

Perlawanan yang membabitkan JDT sentiasa menarik untuk dianalisis dari segi taktikal lebih-lebih lagi sejak JDT diurus oleh Gomez yang pragmatik. Bagi Pahang, taktikal mereka mungkin sama sahaja untuk setiap perlawanan tetapi kualiti pemain mereka sebenarnya yang memberikan rasa pening kepada jurulatih pasukan lawan.

Keputusan seri ini menambah lagi sengit saingan perbutan takhta liga selepas pasukan di tangga ke-3 (Selangor) dan ke-4 (Perak) masing-masing mencipta kemenangan. Meskipun Pahang kekal sebagai pendahulu liga, jarak mata antara mereka dengan Perak hanyalah 3 mata.

Pahang 1-1 Johor DT – #LigaSuper2015

Posted by bazookapenaka.my on Saturday, June 27, 2015



Baca juga: 5 Kerjaya Impian Peminat Bola Sepak Yang Anda Boleh Cuba

Sumber: TV9, Bazooka Penaka

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN