Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis Taktikal: Kelantan Gagal Bermain Sebagai Pasukan, Sarawak Berdisiplin

Kelantan tewas kali ke-6 di halaman sendiri dalam saingan Liga Super musim ini. Sarawak berjaya membawa pulang 3 mata hasil kemenangan komprehensif 0-2.

Permulaan

Kelantan memulakan perlawanan dengan 4-4-2. Meletakkan Indra di pivot (no.6). Manakala Abou Bakr digandingkan bersama Celin di barisan serangan.

Sarawak turun dengan formasi 4-1-3-2 dengan menggandingkan Sahil Suhaimi dengan Mateo Roskam di bahagian serangan utama.

Kelantan bergelut dengan bola tinggi

Setiap kali Sarawak melakukan hantaran bola tinggi sama ada menerusi permainan terbuka mahupun bola mati, Kelantan bergelut.

Mereka tidak ada pelan taktikal yang jelas terutama sekali ketika bola mati. Dalam situasi bertahan bola mati, saya mencari apakah Kelantan bermain kawalan ketat pemain ke atas pemain, zonal marking atupun sistem hibrid.

Jika Shebby Singh menyatakan dalam akhir rancangan semalam, Kelantan seolah-olah pasukan yant tidak berlatih. Ya, itulah rumusan secara kasarnya.

Gol pertama Sarawak menerusi Demerson. Kelantan memberikan ruang yang selesa untuk pemain berbadan besar seperti Demerson.

Banyak lagi siri ‘ball-watching defending’ pasukan Kelantan dalam perlawanan ini.

Sarawak dominan

Sarawak adalah pasukan yang lebih baik dalam 90 minit perlawanan ini. Mereka lebih baik ketika dengan bola ataupun tanpa bola.

Sarawak lebih banyak mencipta peluang gol berbanding dengan pasukan Kelantan. Serangan Sarawak digerakkan secara unit. Tommy Mawat dan Awang Kamaruddin menjadi pemain penting dalam memberikan ancaman dari bahagian sisi dan tengah.

Jika 2 pemain ini memperbaiki aspek kreativiti dan hantaran kunci, mereka berdua adalah prodigy yang lebih digeruni.

Mateo Roskam bermain dalam sistem yang ‘roaming’. Turun naik dari depan ke belakang. Jika ada data heatmap opta, pasti seronok melihat heatmap Roskam.

Peranan Roskam yang mirip kepada defensive forward ini membolehkan Sarawak bertahan dengan unit yang lebih besar di tengah.

Roskam dan Sahil memberikan dimensi yang sangat berbeza berbanding dengan Celin dan Abou Bakr. Duo serangan Kelantan tersebut terlalu menunggu bola, manakala, duo serangan Sarawak ini bergerak aktif.

Isu permainan berpasukan (teamplay)

Ini adalah perbezaan paling besar di antara kedua-dua pasukan. Kelantan gagal bermain sebagai satu pasukan untuk 90 minit.

Lebih kritikal, 2 penyerang mereka terpecah (isolated) dari organisasi pasukan. Di bahagian tengah Indra Putra ada isu keliru dengan sistem (confusion).

Di bawah ini saya menjelaskan bagaimana Bakr ‘membuat’ taktikal dia sendiri. Bermain seolah dia sebagai wide attacker dalam sistem yang kerap digunakan dalam sistem serangan bertiga.

Inilah sebab dia dikeluarkan oleh Alfredo kerana tidak efektif dan tidak bermain sebagai target man seperti yang diarahkan.

Meletakkan Indra sebagai no.6 membuatkan Kelantan hilang cengkaman secara total di center circle. Raickovic dan barisan tengah Sarawak mendominasi bahagian tengah dengan mudah kerana Kelantan tiada stabiliti di tengah.

Sebelum ini Indra kerap juga bermain di tengah tetapi sebagai no.8 ataupun pure center midfielder.

Masalah teamplay ini sangat kritikal untuk pasukan Kelantan. Mereka gagal menyerang dalam unit dan bertahan sebagai unit. Kebanyakan aktiviti mereka bergerak secara individu dan terlalu direct.

Apabila tiba di bahagian serangan mereka buntu dan terlalu mudah untuk hilang bola. Pada fasa ini Sarawak akan melakukan circulation serta menyerang balas pasukan Kelantan.

Ini adalah pelan pertahanan Sarawak dalam 4-1-4-1 yang berdisiplin dan kekal kompak sepanjang perlawanan.

Penilaian

Ini adalah kemenangan yang seadilnya untuk pasukan yang lebih baik. Kelantan ada isu yang kritikal dengan tactical error. Seterusnya, pasukan Kelantan masih dibelenggu masalah kecergasan dalam perlawanan (match fitness) yang teruk.

Banyak aspek yang harus dikaji oleh Alfredo Gonzales. Terutama sekali untuk memastikan pemain seperti Abou Bakr ‘masuk’ di dalam pasukan. Pemain ini kerap berada di sisi padang.

Peranan beliau adalah target man kembar tetapi dia cuba bermain seperti penyerang sisi (wide attacker). Alfredo terlalu lambat membuat perubahan di dalam taktikal beliau. Isu pelan B dan C boleh dipertikaikan.

Seterusnya, Khairul Fahmi ibarat dialah penawar dialah racun. Beliau banyak melakukan aksi menyelamat dalam keadaan genting. Namun pada masa yang sama, beberapa kali beliau lari dari posisi.

Untuk pasukan Sarawak, ini mungkin aksi terbaik mereka pada musim ini. Pasukan ini berdisiplin untuk berkerja di dalam unit sepanjang 90 minit.

Namun mereka harus memperbaiki aspek penyudah. Sarawak terlalu bergantung kepada penyudah Roskam di bahagian hadapan. Pemain muda Sarawak seakan-akan masih gugup apabila berada di dalam kotak penalti.

Raickovij dan Awang Kamaruddin antara 2 pemain yang membuatkan pasukan Sarawak stabil. Barisan pertahanan Sarawak senang buat kerja kerana ada perlindungan yang baik daripada barisan pemain tengah yang rajin untuk turun ketika bertahan. Pivot Sarawak berkesan, pivot Kelantan rosak.

Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA

Mateo Roskam (Sarawak)

Photo by Hazmin Hussin / www.asiana.my