Kelantan mara ke final Piala FA setelah menewaskan Pahang 3-1 di Kota Bharu semalam. Kelantan kelihatan seperti kekeringan idea untuk menembusi kubu Pahang sebelum Austin Amutu muncul wira Kelantan selepas menjaringkan 2 gol dari bangku simpanan.
Kelantan akan bertemu Lions XII dalam final Piala FA selepas menewaskan Terengganu dalam satu lagi perlawanan separuh akhir yang penuh kontroversi.
Kesebelasan utama
Azraai Khor membuat 4 perubahan kepada kesebelasan utamanya yang tewas 0-1 di Kuantan pada minggu lepas. Pertahanan tengah Jonathan McKain digantikan dengan Farisham Ismail. Noor Hazrul kembali di posisi bek kiri untuk menggantikan Zairul Fitree. Di tengah, Badhri Radzi kembali selepas persembahan buruk Fakhri Saarani di Kuantan. Di sayap kanan, Wan Zack mengambil alih tugas dari Austin Amutu.
Zainal Abidin pula hanya membuat 1 pertukaran – memasukkan Damion Stewart untuk berpasangan dengan Razman Roslan di pertahanan tengah. Hafiz Kamal pula direhatkan dan tempat beliau diisi oleh Zesh Rehman.
Kelemahan organisasi pertahanan Kelantan
Jika ada satu aspek yang perlu Azraai Khor tekankan dalam latihan, ia adalah organisasi pertahanan mereka.
Sama ada semasa permainan terbuka (open play) atau situasi bola mati (set-pieces), pertahanan tengah Kelantan kelihatan tidak tersusun. Dalam 30 minit pertama separuh masa pertama semalam, pasti ada seorang pertahanan Kelantan yang merosakkan perangkap ofsaid yang dipasang oleh pemain-pemain lain.
Yang paling peliknya, pemain itu adalah Amirizwan Taj.
Dalam satu situasi permainan terbuka, posisi Amrizwan yang tidak sebaris dengan Farisham menyebabkan larian Gopinathan tidak ofsaid. Gopinathan kemudiannya berdepan 1v1 dengan Khairul Fahmi sebelum percubaan beliau diselamatkan.
Dalam satu lagi situasi (kali ini situasi bola mati), posisi Amirizwan sekali lagi membuatkan larian Damion Stewart tidak ofsaid. Sekali lagi Khairul Fahmi menyelamatkan tandukan Stewart.
Kelantan menyerang melalui sayap kanan
Sepanjang 4 analisis taktikal Kelantan yang telah kami lakukan, kami mendapati Kelantan gemar menyerang melalui tengah. 2 pemain sayap Kelantan gemar melakukan hantaran satu-dua dengan 2 penyerang Kelantan yang sentiasa membuatkan 2 pertahanan tengah lawan sibuk.
Contoh: Kelantan vs Selangor (25 April 2015)
Secara teorinya, penetrasi serangan dalam taktikal Kelantan hadir daripada larian (deep runs) daripada pemain-pemain sayap dan tengah (onrushing midfielders). Cuma masalah timbul apabila mereka bertemu pasukan yang kompak seperti Pahang.
Bahagian sayap Kelantan langsung tidak menawarkan keluasan (width) ketika menyerang. Bek kiri dan kanan mereka jarang melakukan larian sokongan ketika menyerang menyebabkan serangan Kelantan mudah dibaca.
Contoh: Kelantan vs Selangor (25 April 2015)
Menurut Azraai Khor, taktikal ini disusun oleh beliau untuk memaksimumkan kekuatan Kelantan. Tetapi realitinya, ia membuatkan Kelantan nampak sukar (laboured) untuk mencipta peluang gol.
Tetapi dalam perlawanan semalam, kami mengesan ada beberapa perubahan yang dilakukan Azraai Khor. Sayap kanan Kelantan sudah mula menawarkan keluasan (width). Kehadiran Wan Zack menghasilkan banyak hantaran-hantaran lintang dari kanan – salah satunya menghasilkan gol pembukaan Kelantan.
Jika sebelum ini pemain sayap kanan Kelantan sentiasa membawa bola ke tengah untuk diberi kepada Gilmar, kali ini pemain sayap kanan Kelantan lebih direct dan berbahaya. Wan Zack beraksi seperti pemain sayap sejati – direct dan rajin melakukan hantaran lintang.
Bagaimanapun sayap kiri mereka masih tidak menawarkan keluasan ketika serangan.
Baca: Bagaimana Ketiadaan Keluasan Di Bahagian Sayap Mengancam Kelantan (vs Selangor)
Kad merah Azamuddin Akil
Selepas Azamuddin Akil dibuang padang kerana menyiku, Matias Conti dipindahkan ke sayap kanan Pahang. Tanpa bola, Pahang adalah 4-4-1.
Apabila mereka mendapat bola, Pahang adalah 4-3-2. Conti akan membawa bola dari sayap kanan ke tengah, manakala Nwakaeme turun mencari ruang untuk menerima bola. Matthew Davies pula akan naik seperti seorang wing back untuk mengekalkan keluasan di sebelah kanan Pahang.
Nwakaeme bijak mencari ruang
Perkara paling menarik adalah posisi Nwakaeme. Ketika Pahang kehilangan bola, beliau adalah penyerang. Tetapi ketika Pahang mempunyai penguasaan bola, beliau menjadi saluran hantaran (passing outlet) untuk melancarkan serangan balas.
Gol penyamaan Pahang adalah contoh sempurna bagaimana beliau melakukannya. Menerima hantaran jauh dari pertahanan, Nwakaeme melancarkan serangan balas dengan membawa bola sebelum melorongkannya kepada laluan Gopinathan ketika pertahanan Kelantan masih belum tersusun.
Kelantan bermain tanpa pemain tengah sebenar
Terdesak untuk mencari gol 2 gol, Azraai Khor mengeluarkan Badhri Radzi dan Norhafiz Zamani Misbah dan memasukkan Norfarhan Muhammad dan Khairul Izuan. Jelas Azraai Khor mahukan lebih banyak larian sokongan (deep runs) dari tengah.
Kemasukkan Austin Amutu pula adalah untuk menggantikan Wan Zack yang sudah berada di ‘poket’ bek kiri Pahang, Saifulnizam.
Kelantan kini bermain tanpa pemain tengah tulen. Dengan Pahang yang lebih gembira mempertahankan kelebihan gol mereka, Khairul Izuan, Norfarhan dan Wan Zaharulnizam bebas menguasai tengah tanpa sebarang tekanan pemain Pahang.
Tetapi disebalik penguasaan Kelantan di tengah, bentuk (shape) Pahang yang kompak (compact) dan sempit (narrow) menyukarkan Kelantan menembusi bahagian tengah Pahang. Serangan Kelantan tiada penetrasi.
Ketika Erwin Carillo dan Gilmar kekeringan idea, muncul Austim Amutu yang menawarkan larian-larian bertenaga (powerful runs) yang direct dari sebelah kanan. Saifulnizam bergelut untuk mengekang kelajuan Amutu.
Gol ke-2 dan ke-3 Kelantan adalah contoh tepat betapa Saifulnizam bergelut untuk mengekang larian-larian Amutu. Disebalik desakan sesetengah peminat yang mahukan Amutu bermain sebagai penyerang, 2 gol ini membuktikan keputusan Azraai Khor meletakkan Amutu sebagai pemain sayap adalah tepat.
Kekuatan Amutu adalah larian-larian bertenaga (powerful runs). Ketika ini Azraai Khor memerlukan larian-larian bertenaga ini di sayap kanan – bukan di posisi penyerang.
Kesimpulan
Kelantan perlu memperkemaskan organisasi pertahanan mereka jika mereka mahu mengekang penyerang Lions XII, Khairul Amri dan Khairul Nizam di final nanti. Mereka juga perlu menggalakkan larian-larian direct dari sayap kanan. Di sayap kiri, sesuatu perlu dilakukan oleh Azraai Khor supaya keluasan di sayap kiri mereka dapat dikekalkan ketika menyerang.
Baca juga: 4 Sebab Mengapa Bilik Persalinan JDT Impian Setiap Pemain Bola Sepak
Sumber: TV3, ShareMyTactics
LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter