Pertemuan Kedah vs Melaka dalam perlawanan pertama Piala Malaysia berakhir dengan, Lang Merah menang 2-0. Secara jujurnya, ia jauh daripada kualiti yang saya harapkan.
Permulaaan
Kedah memulakan perlawanan dengan sistem 4-1-4-1. Kembalinya Baddrol Bakhtiar dan Khairul Helmi memberikan Kedah tambahan kekuatan selepas kekalahan sebelum ini.
Melaka menggunakan formasi 4-3-3 di dalam perlawanan ini. Mereka menggunakan Jeon Woo sebagai pivot tunggal yangn dibantu Hakim Isa dan Sivanesan di tengah.
Pertarungan teknikal pada separuh masa pertama
Tidak banyak yang boleh saya ulas tentang separuh masa pertama. Kedua-dua pasukan ada masalah dari segi fluiditi dan juga lemah di bahagian serangan (final third)
Pertarungan separuh masa pertama adalah pertarungan teknikal. Pemain banyak bergerak dengan kemampuan sendiri dan tiada pertarungan taktikal yang jelas.
Kedah memulakan perlawanan dengan penguasaan bola yang tinggi. Pada fasa 20 minit sehingga 30 minit, Melaka kelihatan mengambil alih tempo perlawanan.
Pada fasa ini saya mulanya menjangkakan Melaka sudah menemui rentak. Tidak! Kerana Kedah mendominasi babak akhir separuh masa pertama.
Bercerita tentang pertarungan teknikal, Kedah ada 2 pemain yang menonjol pada separuh masa pertama iaitu Syazwan Zainon dan Sandro.
Gandingan 2 pemain ini hampir meletakkan Kedah di hadapan lebih awal dengan cubaan Sandro terkena tiang selepas menerima hantaran Syazwan.
Syazwan Zainon mencipta 2 peluang dalam 19 minit pertama. Namun kelemahan pemain ini adalah penyudah.
Setiap kali dia melakukan pintasan ke dalam (cut inside) dia ada ruang yang besar, namun beliau tidak mampu memberikan nilai tambah kepada usaha beliau.
Ini adalah gambaran corak hantaran dominan pasukan Kedah yang menjadikan Syazwan sebagai titik fokal di sebelah kiri pada fasa di mana Kedah berubah kepada 4-2-3-1. Liridon lebih aktif bermain di halfspace kiri.
Dalam sistem 4-1-4-1, Liridon lebih berada di kanan. Dan beliau kurang efektif.
Syazwan perlu memperbaiki aspek penyudah beliau dalam keadaan selepas melakukan cut inside untuk menjadikan beliau penyerang sayap yang lebih baik.
Sandro pada separuh masa pertama sangat bertenaga biarpun Kedah tidak mendapat yang terbaik daripada Liridon pada separuh masa pertama.
Sandro menjaringkan gol cantik selepas ‘clearance’ lemah daripada Mecinovikj yang gagal bersaing dengan Syafiq Ahmad yang lebih kecil daripada beliau.
Melaka tidak kompeten dan terkial-kial sepanjang perlawanan
Pada separuh masa kedua, Kedah menarik Liridon ke peranan biasa beliau di kawasan lebih ke belakang. Pada fasa ini, Melaka tidak mampu memberikan persaingan dengan pasukan Kedah.
Secara jujurnya, Kedah memperbaiki permainan mereka berbanding dengan separuh masa pertama, namun mereka bukanlah bermain dengan prestasi terbaik seperti yang pernah kita saksikan di dalam banyak perlawanan mereka.
Namun apa yang membuahkan Kedah nampak ‘superior’ adalah kegagalan pasukan Melaka memberikan persaingan. Melaka terlalu ramai pemain beraksi hambar.
Antaranya, Hakim Isa, Azinee Taib, Fandi Othman dan Sivanesan. Melaka hilang cengkaman di tengah. Pivot rosak dan bahagian sayap mereka statik.
Ya! Azinee hampir menjaringkan gol berkelas dunia, tetapi secara keseluruhan beliau ‘senyap’.
Simic ‘isolated’ dengan teruk di bahagian serangan kerana Melaka memang gagal secara taktikal. Melaka gagal menemui rentak untuk 90 minit perlawanan. Mana aksi menarik mereka seperti menentang PKNS?
Mungkin alasan mudah adalah berlaku perubahan di dalam pemilihan pasukan. Kedah memperbaiki aspek permainan berpasukan di kawasan serangan.
Melaka memberikan Kedah ruang dan kawalan yang lemah. Tidak pasti sama ada Melaka menggunakan sistem apa ketika bertahan. Sama ada mereka sedang bermain zonal marking berasaskan kawalan ruang ataupun kawalan pemain?
Sifat pertahanan Melaka yang pasif dan tidak agresif ini membuatkan Kedah mengalirkan bola dan pertukaran hantaran dengan mudah. Ada beberapa babak, Kedah seperti sedang menikmati perlawanan pertunjukan.
Kedah berubah kepada 4-2-3-1, Syafiq Ahmad memperbaiki sistem
Syafiq Ahmad menjadi titik penting yang memperbaiki sistem dan pemain di sekitar beliau kerana posisi dan kemampuan beliau bermain link-up play yang efektif. Lihat cara beliau mengisi posisi dan visi di sini:
Kesannya, pemain seperti Liridon, Baddrol Bakhtiar, Sandro dan Syazwan Zainon memiliki platform yang stabil untuk mereka jadikan sandaran ketika menyerang. Ini adalah gambaran bagaimana ‘connection’ berkesan Syafiq Ahmad dengan pemain-pemain lain.
Anda lihat pada gambar di bawah ini, pada ketika ini, Syafiq Ahmad mengundur dari titik A ke B kerana Sandro menggunakan platform no.9.
Kenapa Syafiq mengundur ke zon 14? Itulah yang disebut sokongan dari segi ‘depth’ ketika serangan. Lihat penerangan ringkas di bawah.
Dalam asas struktur serangan bola sepak. Ia mestilah ada sokongan di kawasa sisi (width) dan dari belakang atapupun ‘depth’.
Lihat video di bawah. Jika anda hanya melihat Sandro dan Liridon anda tidak akan melihat struktur pasukan Kedah.
Sekarang saya minta anda melihat Syafiq Ahmad sahaja, anda akan melihat bagaimana sistem sokongan ini dilaksanakan.
Ini adalah ketika Syafiq memenangi penguasaan bola di tengah. Anda saksikan cara beliau berlari ke arah ruang dan melakukan tindakan yang betul dalam keadaan terkepung.
Syafiq memanipulasi gerakan pertahanan untuk menghantar bola ke ruang besar di half-space.
Penilaian
Melaka gagal secara total di dalam perlawanan ini. Mereka cuba menukar corak serangan kepada penyerang kembar dalam sistem 4-4-2.
Namun mereka gagal melaksanakannya kerana ketidakmampuan pemain mereka bersaing. 3 pertukaran pasukan Melaka gagal memberikan impak dari segi teknikal dan taktikal.
Untuk pasukan Kedah, ia kemenangan yang adil walaupun mereka tidak beraksi pada tahap yang lebih baik tetapi mereka tetap pasukan yang lebih baik di dalam perlawanan ini.
Perubahan formasi 4-1-4-1 kepada 4-2-3-1 memberikan impak positif. Mereka lebih banyak mencipta peluang dan menjaringkan 2 gol yang cantik.
Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA
Syafiq Ahmad (Kedah)
Kami pasti akan ada perdebatan tentang pemilihan ini kerana Syazwan Zainon yang dipilih pemain terbaik perlawanan secara rasmi. Sandro juga antara yang beraksi cemerlang.
Namun Syafiq Ahmad adalah punca penting 2 gol Kedah. Beliau juga menjadi medan yang memperbaiki sistem serangan Kedah kerana keupayaan beliau mencari posisi yang cantik. Penjelasan sudah saya bentangkan di atas.
Tanpa improvisasi dari Syafiq Ahmad pada separuh masa kedua, tidak keterlaluan untuk saya katakan Kedah tiada fluiditi di bahagian serangan seperti separuh masa pertama