Analisis Taktikal: JDT Bina Sistem Pertahanan Kompak, Formula Tumbangkan Sang Penyu

Satu gol. Itulah sahaja jumlah jaringan yang diperagakan di dalam perlawanan tumpuam pada minggu ke-5 saingan unifi Liga Super Malaysia 2018.

Jumlah jaringan tersebut cukup mengisahkan persaingan sengit di antara kedua-dua pasukan. Sudah tentu pasukan yang paling bijak memanfaatkan kesilapan lawan, akan tampil sebagai pemenang.

Formasi pasukan

Terengganu FC masih mengekalkan formasi 4-3-3 yang ternyata berjaya memberikan pulangan sejak dua perlawanan lalu.

Sumber: JST, Facebook.

Manakala JDT bermula dengan formasi 4-3-2-1, dan corak permainan mereka berubah ketika memasuki fasa pertahanan.

Analisis kami pada kali ini menekankan bagaimana Raul Longhi meneutralkan serangan Terengganu FC yang sebelum perlawanan ini, boleh disifatkan berjaya.

Sumber: JST, Facebook.

Formasi dan taktikal JDT

Ketika berada di fasa serangan, JDT beraksi dengan formasi 4-2-3-1. Hariss Harun bergandingan dengan Natxo Insa di bahagian tengah, membentuk sistem dua pivot walaupun Natxo diberikan lebih kebebasan untuk mara ke barisan hadapan serangan.

Tumpuan pasti turut diberikan kepada muka baharu di dalam skuad JDT ini, iaitu Nicolas Fernandez. Di dalam perlawanan ini, Nicolas memegang peranan sebagai pemain No.10, beraksi di belakang Hazwan Bakri sambil diapit oleh Gonzalo Cabrera di sayap kiri dan Azrif Nasrulhaq di sebelah kanan.

Formasi 4-2-3-1 JDT

Ada beberapa perkara yang menarik perhatian kami ketika di dalam perlawanan, terutama dari segi perubahan formasi dan taktikal Raul Longhi dalam menyerap ancaman JDT.

Harris Harun sebagai half-back

Jika posisi asal menjadi rujukan, Hariss Harun merupakan seorang pemain tengah bertahan.

Namun di dalam sistem permainan untuk membantu meneutralkan ancaman Terengganu FC, terutamanya daripada Tchetche Kipre, ada masanya, Harris bertindak selaku half-back.

Sistem ini akan menjadikan JDT membentuk 5 pemain di bahagian belakang seperti di dalam lakaran di atas. Perhatikan kedudukan Hariss.

Kedudukan Hariss membenarkan Marcos dan Fadhli mengawal ancaman daripada Faiz Nasir atau pun Lee Tuck yang cuba mengeksplotasi kawasan half-space pada separuh masa pertama.

Fungsi Hariss Harun sebagai hald-back.

Selain memastikan kawasan tengah pertahanan kekal kompak, arahan taktikal di bahagian sisi padang turut menarik perharian kami.

Sistem 4-4-1-1 JDT

Jentera serangan JDT turut terkenal dengan keberkesanan dua bek sayap untuk melakukan larian di setiap sisi.

Namun di dalam perlawanan ini, amat jarang kita menyaksikan larian daripada Corbin Ong dan juga S. Kunanlan terutama pada babak kedua permainan.

Di dalam sistem 4-3-3 Terengganu FC, corak serangan anak buah Irfan Bakti turut disandarkan kepada kelincahan di bahagian sayap.

Ancaman dari bahagian sayap dineutralkan oleh pemain JDT.

Jika gandingan Abdul Malik Arif dan Kamal Azizi di sebelah kanan serangan, Shahrul Aizad dan Fitri Omar memainkan peranan dari sebelah kiri serangan.

Untuk ini, kita boleh melihat bagaimana pemain seperti Gonzalo Cabrera dan juga Azrif Nasrulhaq diberikan peranan masing-masing untuk melakukan pengawasan terhadap bek sayap lawan.

Manakala Corbin Ong dan S. Kunanlan berperanan mengawal Abdul Malik dan Shahrul Aizad di sebelah kiri serangan Terengganu FC.

 

Disebabkan itu, kita sering melihat duel atau situasi satu lawan satu membaitkan kempat-empat pemain tersebut dan menjadikan sistem permainan JDT menjadi 4-4-1-1 ketika bertahan pada separuh masa kedua.

Ini juga merupakan salah satu langkah Raul Longhi untuk membentuk struktur pertahanan yang kompak, dengan idea yang sama menghadkan bola kepada Tchetche Kipre yang beraksi sebagai advance forward pada babak kedua perlawanan.

Gol kemenangan JDT

Uniknya mengenai pasukan JDT ini ialah kebolehan mereka untuk menjaringkan gol, bukan sahaja daripada permainan terbuka, tetapi turut mempunyai keupayaan menghukum lawan melalui gerakan set pieces.

Malah sebelum jaringan Marcos Antonio tersebut, JDT sudah beberapa kali mengancam dari gerakan set-pieces dari sebelah kanan serangan.

Akhirnya Terengganu FC dihukum apabila dibiarkan berseorangan tanpa kawalan untuk mudah menolak masuk jaringan kemenangan JDT.

Penutup

Pada pendapat kami, JDT adalah sebuah pasukan yang lebih baik sebagai sebuah unit di dalam perlawanan ini.

Di dalam perlawanan sebegini sentuhan penyudah yang ‘decisive’ tatkala peluang keemasan sukar diperolehi, amatlah penting.

JDT memanfaatkan peluang yang diperolehi, manakala Terengganu FC hanya boleh menyalahkan diri sendiri kerana tewas.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN