Malaysia memulakan kempen Piala Asia B-23 semalam dengan kekalahan 4-1 dalam perlawanan pertama.
Permulaan
Ong Kim Swee menggunakan formasi 3-4-3 dengan idea 5-4-1 ketika bertahan. Trio serangan menggandingna Jafri Chew, Thanabalan dan Safawi Rasid. Safawi dan Jafri kerap bertukar posisi.
Iraq pula menggunakan formasi 4-2-3-1. Apabila melihat formasi itu, anda sudah boleh bayangkan yang mereka mahukan bola sepak moden di dalam taktikal mereka.
Iraq bermain high-pressing
Pemain-pemain Malaysia sangat bermasalah apabila ditekan oleh Iraq di blok pertahanan mereka (Malaysia). Iraq agresif dan bertenaga melakukan tekanan ini.
Apa yang berlaku, pemain-pemain Iraq sangat cergas (fit) untuk melakukan tugasan ini sepanjang perlawanan. Berbeza dengan pemain negara kita yang jelas tak mampu bersaing kecergasan dengan pemain lawan.
Mereka seperti ‘zombie’ yang memburu balik bola setiap kali mereka kehilangan bola. Itu adalah komitmen yang pemain kita tak mampu laksanakan.
Iraq sangat sistematik dalam sistem pressing mereka. Sentiasa cuba mewujudkan kelebihan numerical untuk memastikan mereka dominan di sesuatu kawasan.
Ini satu lagi contoh ketika mereka hilang bola, anda saksikan mereka terus ‘menyerang’ titik bola dengan segera.
Mereka sentiasa membekalkan sokongan kepada rakan mereka apabila berhadapan dengan tekanan.
Malaysia yang panik
Setiap kali ditekan, pasukan kita panik dan pemain-pemain terus melakukan bola lambung. Tidak ada plan istimewa untuk melepasi tekanan ini.
Azam Azih terlalu banyak menghantar bola ke belakang. Bukan satu masalah untuk menghantar bola ke belakang tetapi sebagai no.6 beliau harus lebih banyak menghantar bola ke hadapan.
Azam Azih menghantar bola kepada Adam Nor Azlin sebanyak 11 kali, ia adalah yang terbanyak berbanding dengan pemain lain. Salah satu malapetaka dalam perlawanan ini berlaku apabila hantaran ke belakang Azam Azih dipintas pemain lawan.
Lihat pattern hantaran Azam Azih di sini, anda dapati terlalu ke sisi (sideway) dan ke belakang. Terlalu sedikit hantaran ke hadapan dan vertikal.
Malaysia bertahan dengan sistem 5-4-1, namun gagal untuk mengekang gerakan pantas dan bertenaga oleh Iraq yang banyak kali mewujudkan peluang 1 lawan 1.
Masalah di sisi (width)
Taktikal Malaysia sangat mudah dijangka. Mereka akan cuba menggunakan Matthew Davies sebagai pembekal utama hantaran silang.
Namun ia sukar dilakukan kerana Iraq sentiasa tahu cara untuk bertahan di semua bahagian.
Masalah jelas pasukan Malaysia adalah di bahagian sisi padang. Pemain sayap seperti Jafri Chew dan Thanabalan tidak cukup dinamik untuk menggerakkan serangan sebagai unit penyerang bertiga.
Jafri Chew bertukar-tukar peranan dengan Safawi Rasid dengan kerap. Tetapi aspek yang jelas adalah kurangnya ketajaman di bahagian sayap untuk menggerakkan serangan.
Kemasukan Akhyar Rashid memperbaik aspek serangan Malaysia kerana pemain ini berani dengan bola, lebih tenang dan semulajadi permainan beliau.
Jika Akhyar memperbaiki aspek larian tanpa bola, pemain ini akan menjadi lebih tajam. Beliau adalah pencetus kepada gol pertama Malaysia.
Penilaian
Ini adalah perlawanan seperti antara 2 darjat. Jauh beza pasukan kita dengan Iraq. Ong Kim Swee tidak ada pelan istimewa untuk berhadapan dengan pasukan Iraq.
Iraq jelas tampil dalam perlawanan ini dengan penuh siap sedia. Malaysia pula seperti pasukan yang baru dibentuk tengah hari dan bermain pada sebelah petang.
Tidak ada kepimpinan dan ‘commanding’ di dalam padang. Pemain tidak menunjukkan karakter dan keinginan untuk melawan pasukan seperti Iraq. Pertahanan Malaysia terlalu banyak melakukan kesilapan dan tidak terurus.
Rantaian pertahanan berlima terlalu mudah untuk dipecah masuk dan tiada kestabilan ketika bertahan.
Ifwat melakukan kesilapan bak racun namun beliau juga menjadi penawar kepada pasukan Malaysia. Jika tidak, Malaysia akan kalah lebih teruk.
Namun harus diakui, perkara yang positif, Malaysia mampu melakukan ancaman pada separuh masa kedua dan mendapat gol. Malangnya gol satu lagi tidak dikira, walaupun pada pandangan kami ianya gol.