Pertemuan di antara Jurgen Klopp dan Pep Guardiola sentiasa menjadi tumpuan. Ianya adalah pertarungan di antara pemegang falsafah gegenpressing dan Juego di Posicion.
Permulaan
Liverpool tampil dengan formasi 4-3-3 dan bertahan dengan 4-5-1. Manakala Manchester City memulakan perlawanan dengan 4-2-3-1 dan bertahan juga dengan 4-5-1.
Sane vs Trent Alexander Arnold
Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, Trent Alexander Arnold telah menjadi antara titik lemah (weakest link) dalam pasukan Liverpool ketika bertahan.
Sementara itu, Leroy Sane pula menjadi nadi utama serangan Man. City di sayap kiri. Namun sepanjang malam, Arnold berjaya bertahan dengan cemerlang dan dibantu oleh rakannya.
Ini adalah passmap pasukan Manchester City dalam perlawanan ini, dan anda lihat corak hantaran itu memang terus ke kiri dengan sangat aktif. Boleh dikatakan terlalu banyak (excessive).
Liverpool kelihatan sudah menyediakan Alexander Arnold dengan sebaik mungkin untuk perlawanan ini kerana mereka tahu Pep Guardiola akan cuba menggunakan laluan itu lebih lebih lagi mereka ada Leroy Sane yang dalam prestasi terbaik.
Keputusan yang tepat seringkali diambil oleh Arnold dan tidak ‘mendedahkan nombor’ kepada Sane. Arnold berjaya melakukan 4 bentesan tepat daripada 5 bentesan dilakukan. Hanya sekali beliau dilepasi pemain lawan menerusi gelecekan.
Beliau juga terlibat aktif di serangan untuk membekalkan beberapa hantaran lintang berbahaya.
Juego di posicion vs gegenpressing
Taktikal Manchester City adalah berdasarkan binaan serangan dari bawah termasuk penjaga gol yang bertindak seperti pemain luar. Liverpool mengenakan gegenpressing yang sangat baik untuk memutuskan rantaian di antara blok pertahanan dengan blok tengah.
Idea serangan Manchester City adalah dengan cuba mengaktifkan 3-3-4 apabila menyerang. Ianya mirip kepada 3-2-5.
Ini adalah gambaran bagaimana 3-3-4 yang cuba diaktifkan Guardiola. Laporte bukan pemain yang laju di bek sisi jadi dia akan menjadi bek bertiga.
Ini akan menolak Fernandinho ke atas dan tidak bermain peranan bek separa (half back). Lihat bagaimana mereka memecahkan bek berempat mereka dan peranan Fernandinho yang tidak lagi menjadi half back untuk merancang dari bawah (deep lying playmaking).
De Bruyne dan Silva akan bertukar-tukar naik ke zon bulatan merah untuk menjadi no.10.
No.10 ini adalah perancang utama yang akan menghantar bola dengan sangat cepat dan visi tinggi. 4 pemain di serangan adalah Walker, Jesus, Gundongan dan Sane.
Ingat formasi Guardiola adalah Juego di Posicion, semua pemain perlu ada kemampuan bermain banyak peranan. Guardiola mengambil masa terlalu lama untuk cuba ‘menebuk’ Liverpool menggunakan Leroy Sane.
Guardiola ada opsyen lebih baik di kanan daripada terlalu bergantung kepada Kyle Walker. Guardiola yakin dengan tenaga pada Walker untuk membekalkan width secara aktif dari bawah bagi membentuk 3-3-4. Walker kena cepat.
Namun semalam kerap berlaku di kanan mereka lambat membentuk 3-3-4 dengan ‘width’ di kanan. Lihat gambar di bawah. Walker dan Gundongan tidak ada fluiditi untuk pergi ke zon sayap.
Beliau kemudian memasukkan Sterling untuk menambah opsyen di dua sayap mereka. Gabriel Jesus jelas terputus daripada rantaian taktikal pasukan (isolated).
Ini adalah heatmap Gabriel Jesus sepajang perlawanan ini yang hanya melakukan 6 sentuhan. 3 daripadanya adalah untuk sepak mula. Itu yang terang benderang di tengah.
Gegenpressing Liverpool berjaya memusnahkan banyak binaan serangan Manchester City. Mendesak City melakukan kesilapan dan terus mengancam ke arah gol. Gol kedua Oxlade Chamberlain adalah sangat ‘gaya Klopp’.
Liverpool hilang bola daripada Firmino, Milner mengenakan tekanan (gegenpressing) dan dia berada di zon untuk merampas semula penguasaan bola. Milner terus melakukan hantaran kepada Chamberlain.
Chamberlain terus mengancam ke arah gol. Satu percubaan yang deras.
Gol pertama adalah daripada serangan balas. Cara Liverpool melepasi ‘counter pressing’ Man. City sangat tenang dan cuba memastikan bola itu dikitar semula dengan baik. Satu serangan balas yang klasik.
Liverpool sangat agresif menekan Manchester City di garisan paling tinggi. Sistem ‘high pressing’ Klopp adalah berasaskan menutup ‘passing lane’.
Mereka turut aktif menekan Ederson kerana tahu penjaga gol tersebut adalah unit penting dalam binaan serangan City. Harus diingat Ederson beberapa kali melakukan hantaran bahaya terus dari belakang.
Di bahagian tengah, Liverpool lebih stabil berbanding dengan Man. City. Sesuatu yang agak mengejutkan.
Masalah Man. City
Masalah utama City adalah cara mereka bermain pada separuh masa pertama. Mereka mudah panik bila ditekan. Otamendi, Kompany dan Laporte beberapa kali tidak berada dalam posisi terbaik untuk kawalan ruang (space marking).
Seterusnya adalah, Man City tidak mampu menggunakan saluran tengah yang ditutup dengan baik oleh Liverpool. Mereka cuba ke sisi dan ia ternyata bukan plan yang baik untuk pergi ke bahagian sayap dan banyak hilang bola. Impak De Bruyne dan Silva berjaya dikurangkan.
Di kotak serangan, mereka gagal untuk mengatasi pertahanan Liverpool yang berdisiplin. Saya menulis kenyataan ini sambil tersenyum, tak percaya akan menulis ayat ini.
Liverpool adalah pasukan yang kerap kali hilang disiplin bertahan. Testimoni jelas adalah, City banyak melakukan percubaan dari luar dan tidak dapat mencipta sebarang percubaan tepat dalam perlawanan ini untuk 90 minit.
Rumusan
Untuk separuh masa kedua ianya adalah dominasi penuh Man City tetapi tiada penyudah. Mereka tidak mampu menterjemahkan beberapa peluang yang mereka miliki.
Jadi, fokus analisis saya kali ini berkisarkan urusan 45 minit di Anfield. Apa yang pasti Liverpool berjaya membawa agregate yang mereka sendiri tak sangka akan dapat daripada pasukan Man. City.
Liverpool berhak menang perlawanan ini kerana mereka berjaya meneutralkan sistem pasukan lawan dan memanfaatkan peluang yang ada.
Guardiola sebelum perlawanan berkata, perlawanan ini beliau memang tiada pelan khas untuk mematikan serangan Liverpool kerana mereka ‘unstoppable.
Guardiola berpendapat perlawanan ini lebih kepada pertarungan siapa boleh menjaringkan gol lebih banyak, dan City gagal melakukannya dan beberapa siri pertahanan yang panik.
Menarik untuk menyaksikan pertembungan kedua kerana kita semua tahu kemampuan skuad Guardiola. Pastinya beliau sudah berkira-kira bermalam di pejabat untuk memikirkan taktikal bagi mengatasi defisit 3 gol.
90 minit masih terlalu panjang untuk perlawanan ini.
Pemain terbaik pilihan SemuanyaBOLA
Trent Alexander Arnold (Liverpool)
Trent Alexander-Arnold vs Manchester City. Anfield, England | 04 Apr 2018 (@falsecb)
Kept Sane quiet throughout the match and helped shut down City's main attacking channel. 19 years old. https://t.co/Ux438Uismq
— The Analysis (@_theanalysis_) April 5, 2018