Dalam 2 perlawanan liga yang lepas, Chelsea melepaskan 5 gol. Jadi agak mengejutkan sebenarnya apabila Jose Mourinho bertindak balas dengan membelanjakan £21 juta untuk membawa masuk Pedro. Lebih-lebih lagi apabila Juan Cuadrado sendiri tak mendapat peluang bermain.
Pedro terus disenaraikan sebagai kesebelasan utama. Dan beliau memberikan Chelsea kelajuan dan skil di kubu lawan. Tetapi jentera pertahanan Chelsea masih perlu diperbaiki.
Keputusan 3-2 semalam memberi gambaran sempurna kekuatan dan kelemahan Chelsea.
Peranan baru Pedro di Chelsea
Pedro bermula dari sayap kanan. Dan beliau menyinar dari mula. Gol pembukaannya berpunca daripada bola yang terbias daripada pertahanan. Tetapi gerakan satu-dua yang dimulakannya dalam gol tersebut adalah gerakan Pedro yang biasa dilihat di Barcelona.
Pedro turut membantu gol Diego Costa. Gol ini berpunca daripada serangan balas klasik mana-mana pasukan Jose Mourinho. Gol ini juga memberi gambaran bahawa peranan Pedro di Chelsea akan berlainan berbanding peranannya di Barcelona.
Jika di Barcelona, Pedro akan membuat larian tanpa bola ketika rakan sepasukannya memegang bola. Tetapi di Chelsea, beliau sendiri akan memegang bola ketika rakan sepasukannya membuat larian tanpa bola.
Tidak diketahui sama ada Juan Cuadrado akan kekal di Chelsea jika Pedro kekal bahaya sebegini. Tetapi perhatian sebenar Chelsea harus diarahkan kepada jentera pertahanan. Apatah lagi dengan Everton yang berkeras tidak mahu menjual John Stones.
Pertahanan Chelsea tiada perlindungan
Bercakap mengenai jentera pertahanan Chelsea, kami merasakan masalah utama mereka bukan kepada pertahanan tengah. Sebaliknya masalah utama pertahanan Chelsea adalah ketiadaan perlindungan dari jentera tengah.
Kami berpendapat Nemanja Matic perlu melupakan naluri serangannya jika Cesc Fabregas adalah pasangannya di tengah.
Dalam perlawanan semalam, Matic melakukan banyak kesilapan. Sehinggakan beliau digelar sebagai pemain Chelsea paling lemah oleh pakar taktikal, Michael Cox.
Matic gagal menyekat hantaran Wet Brom sehingga membenarkan James Morrison membuat hantaran berbahaya yang dirembat voli oleh Salomon Rondon. Kemudian, beliau menjatuhkan Callum McManaman untuk memberikan penalti. Beliau juga diberi amaran oleh pengadil kerana menjatuhkan McManaman sekali lagi.
Matic juga bersalah dalam dua gol West Brom. Pertama, beliau membiarkan Morrison merembat masuk gol pertama. Kedua, beliau tewas di udara dengan pemain sama.
Dalam prestasi terbaiknya, Matic menguasai tengah. Melindungi dua pertahanan tengahnya. Dan membenarkan Chelsea menyerang ketika beliau fokus kepada aspek pertahanan sahaja.
Semalam, Matic nampak teruja untuk terlibat dalam semua aspek permainan. Akibatnya, ruang antara jentera tengah dan pertahanan Chelsea sangat besar. Dan ia mudah dimanipulasikan oleh Morrison.
Chelsea lebih selesa dengan 10 pemain
Bagaimanapun, Matic kembali selesa hanya apabila Chelsea bermain dengan 10 pemain. Ini bermakna mereka berkubu di kawasan sendiri. Pemain tengah mempunyai ruang yang lebih kecil untuk dipertahankan.
Tony Pulis juga membuat keputusan yang salah ketika ini. Dengan membawa masuk Rickie Lambert, mereka bertukar dari 4-5-1 ke 4-4-2. Ini bermakna, tiada lagi situasi 3v2 di tengah yang menyukarkan Matic.
Dengan John Terry yang dibuang padang, perhatian akan tertumpu kepada jentera pertahanan Chelsea. Drama tarik tali John Stones juga akan berlanjutan. Tetapi fokus Chelsea sepatutnya diarahkan kepada pemain tengah yang perlu melindungi pertahanan Chelsea.
Baca juga: ANALISIS TAKTIKAL EPL 2015/16: MANCHESTER CITY 3-0 CHELSEA