Melihat krisis kecederaan yang melanda Arsenal dan kualiti pemain di bangku simpanan mereka (Alex Iwobi adalah satu-satunya penyerang alternatif mereka), Tottenham adalah pasukan pilihan dalam perlawanan ini.
Kecemerlangan organisasi jentera tengah Tottenham Hotspurs ketika tidak mempunyai bola membolehkan mereka menguasai majoriti perlawanan.
Arsenal pula hanya bermain dengan baik pada 25 minit terakhir perlawanan tetapi berjaya menjaringkan gol penyamaan dan mengelak kekalahan.
1. Mengapa Arsenal sukar mencipta peluang terutamanya pada separuh masa pertama?
Punca 1: Jentera tengah Spurs yang kuat memberikan tekanan
Kedua-dua pasukan bermula dengan formasi sama, iaitu 4-2-3-1. Tetapi organisasi 3 pemain di belakang penyerang tunggal untuk kedua-dua pasukan sangat berlainan.
Apabila Arsenal kehilangan bola, Joel Campbell dan Alexis Sanchez tidak aktif turun melindungi Mathieu Debuchy dan Natxo Monreal sebagaimana ketika menentang Bayern Munich pada awal pagi Khamis lepas.
Sebaliknya mereka lebih banyak kekal di atas, berhampiran dengan posisi bek kiri dan kanan Spurs, Danny Rose dan Kyle Walker.
Manakala Christian Eriksen, Erik Lamela dan Dele Alli pula mempunyai arahan yang lebih ketat. Mereka diarahkan untuk lebih banyak berada di tengah padang untuk memberikan tekanan (pressing) kepada Santi Cazorla dan Francis Coquelin.
Ini bermakna Spurs mempunyai 5 pemain (6 pemain jika Harry Kane turun membantu jentera tengahnya) di tengah setiap kali Cazorla dan Coquelin mempunyai penguasaan bola.
Situasi 5v3 dan 5v4 kerap berlaku di kawasan tengah Arsenal.
Ini menyebabkan Ozil terpaksa kerap turun ke bawah untuk mengutip bola. Sistem pressing Spurs di tengah menyebabkan Cazorla dan Coquelin tidak boleh membawa bola keluar dari kawasan padang mereka sendiri.
Punca 2: Campbell dan Alexis tidak menyerlah
Sistem pressing Spurs yang intensif sepanjang 75 minit pertama perlawanan tetap mempunyai kelemahannya tersendiri. Salah satu kelemahannya adalah di kawasan sayap.
Kerap kali Walker dan Rose berdepan dengan situasi 1v1 dengan Alexis dan Campbell. Seperti apa yang berlaku dalam gambar di bawah.
Bagaimanapun Campbell dan Alexis tidak berjaya melakukan sesuatu yang istimewa untuk menewaskan Rose dan Walker.
Ini kerana kedua-duanya lebih gemar membawa bola masuk ke tengah (cut inside) daripada cuba menewaskan Rose dan Walker dalam situasi 1v1.
Seperti yang kami beritahu tadi, kawasan tengah adalah kekuatan Spurs. Apabila Alexis dan Campbell membawa bola ke tengah, mereka kerap hilang bola.
Alex Oxlade Chamberlain adalah antara pemain Arsenal yang mungkin akan menyerlah dalam perlawanan ini jika tidak cedera.
Gaya permainannya yang suka menewaskan lawan dalam situasi 1v1 boleh memberi Rose ujian yang lebih besar berbanding Campbell.
Punca 3: Pemain Spurs lebih dominan dari segi fizikal
Dalam perlawnaan derby, pertarungan fizikal adalah aspek perlawanan yang tak dapat dielakkan. Dan berdasarkan persembahan semalam, jelas sekali Spurs memenangi pertarungan fizikal dengan pemain Arsenal.
Erik Lamela – seorang pemain sayap – memenangi 8 tackles, 1 lebih daripada Mathieu Debuchy.
Moussa Dembele pula berjaya melakukan 7 tackles, merampas bola 9 kali, dan berjaya melakukan 5 gelecekan.
Di bawah Mauricio Pochettino, Spurs adalah adalah pasukan yang paling banyak berlari (sebelum Jurgen Klopp memecah rekod tersebut bersama Liverpool).
Ia terbukti semalam apabila pemain Spurs tak henti-henti memberi tekanan kepada pemain Arsenal.
Spurs mula meredakan tekanan sekitar minit 75′ apabila pemain mereka pula penat dan Arsene Wenger menukar strategi Arsenal.
2. Bagaimana gol Harry Kane berlaku?
Gol Harry Kane semalam tiada kena-mengena dengan taktikal Arsenal atau Spurs. Sebaliknya ia berpunca daripada kesilapan Laurent Koscielny.
Dalam situasi normal, bola hantaran Danny Rose tersebut pasti akan memerangkap Harry Kane ofsaid. Tetapi kelekaan 1 saat yang dilakukan Koscielny membuatkan perangkap ofsaid Arsenal gagal.
3. Bagaimana Arsenal menguasai 25 minit terakhir perlawanan?
Pada separuh masa kedua, Arsenal memasukkan Mathieu Flamini (menggantikan Santi Cazorla) dan Kieran Gibbs (menggantikan Joel Campbell).
Dengan Gibbs yang bermain sebagai pemain sayap kiri, Ozil dipindahkan ke sayap kanan. Manakala Alexis bermain sebagai penyerang kedua, dibelakang Olivier Giroud.
Arsenal mula bertukar ke formasi 4-2-4 dan menggunakan lebih banyak long ball yang ditujukan ke arah Giroud.
Untuk berlaku jujur, kami merasakan Flamini tidak menyumbang apa-apa kepada serangan Arsenal. Malah Flamini kerap membuatkan serangan Arsenal mudah dipatahkan kerana beliau lebih berminat untuk naik menyerang daripada membantu jentera tengah.
Sebaliknya hanya selepas Mikel Arteta (menggantikan Mathieu Debuchy) masuk dan Flamini dipindahkan ke posisi bek kanan, barulah jentera tengah Arsenal nampak lebih terkawal dan serangan mereka nampak berbahaya.
Taktik long ball Arsenal ini berjaya memberikan tekanan kepada pemain pertahanan Spurs.
Akibatnya, jentera tengah Spurs juga terpaksa turun ke bawah untuk membantu pertahanan dan ini membolehkan Arsenal beroperasi dengan hanya 2 pemain tengah (Arteta dan Coquelin).
Mesut Ozil pula cemerlang di sayap kanan dalam formasi 4-2-4 Arsenal. Hantaran lintang dan sepakan sudutnya dari kanan sentiasa sukar dibendung oleh pertahanan Spurs.
Secara keseluruhannya, Ozil mencipta 7 peluang gol dalam perlawanan semalam. Christian Eriksen adalah kedua tertinggi, tetapi hanya mencipta 3 peluang.
4 daripadanya datang dari set-pieces dan salah satunya berjaya disempurnakan oleh Kieran Gibbs untuk memberi gol penyamaan Arsenal.
Bukan saja sibuk merancang serangan, Ozil juga merupakan pemain Arsenal yang paling banyak berlari. Ini membuktikan beliau juga rajin membantu pertahanan Arsenal semalam.
10.5 – Mesut Ozil covered more ground (10.5 km) than any other Arsenal player against Tottenham. Energy.
— OptaJoe (@OptaJoe) November 8, 2015
Baca juga: Analisis Taktikal Bayern Munich 5-1 Arsenal (UEFA Champions League 2015/2016)