Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis Taktikal: Corak Permainan Intensif 90 Minit JDT Lemaskan Gyeongnam

Siapa kata pasukan dari Malaysia tidak boleh bermain intensif sepanjang 90 minit? Perlawanan JDT vs Gyeongnam ini mungkin boleh dijadikan rujukan.

JDT seri 1-1 dengan Gyeongnam dalam aksi di Larkin.

JDT menyerang dari kiri

JDT efektif menyerang dari kiri kerana adanya Gonzalo Cabrera yang disokong oleh Corbin Ong. Bek kanan Gyeongnam pastinya antara pemain yang menunggu wisel penamat selepas berkali-kali dikerjakan daripada serangan ini.

Cabrera memiliki kemampuan untuk menggelecek, merencana permainan dan juga memiliki visi yang baik. Beliau jarang kehilangan bola dengan mudah.

Dengan perhatian yang semakin kuat diberikan kepada Cabrera dan Diogo, Safawi Rasid mendapat manfaat dengan ruang yang ada di half space kanan. Safawi memiliki beberapa peluang untuk melakukan ciptaan peluang dan juga percubaan gol.

Harus diakui Safawi Rasid penyerang sayap yang ada sikap tamak. Namun dalam beberapa situasi beliau perlu menajamkan lagi kreatviti untuk permainan berpasukan. Ini supaya beliau tidak hanya bergantung kepada percubaan ke arah gol di dalam permainan.

Ini penjelasan ringkas tentang pelan taktikal Mora di mana beliau menjadikan Cabrera sebagai fokal utama. Nazmi menjadi pemain lebih bebas di zon tengah ofensif – Safawi diarahkan untuk aktif di half space. Afiq Fazail adalah pemain yang akan membentuk pivot kembar ketika JDT mahu bertahan dengan 4-4-2/4-5-1.

Sedikit ulangkaji, JDT menjadikan Hariss Harun sebagai half back pada fasa binaan serangan untuk membolehkan mereka menolak 2 bek sisi mereka naik ke atas dengan segera.

JDT Intensif

Berlari, berlari dan terus berlari. Itu yang dilakukan pemain JDT dalam perlawanan ini. Mereka tidak mahu membenarkan Gyeongnam memasuki kawasan pertahanan dengan mudah. Hariss Harun, Nazmi dan Afiq menjadi ‘pagar’ yang sukar untuk dilepasi dengan mudah.

Ketika bertahan mereka ada formasi utama iaitu 4-1-4-1 ataupun 4-4-2. JDT tidaklah menekan Gyeognam di garisan tinggi dengan intensif sepanjang 90 minit. Mereka hanya melakukan tekanan itu apabila melihat pasukan lawan tidak stabil ataupun hilang arah.

Ini adalah struktur mereka ketika cuba membentuk 4-1-4-1 ataupun 2 banks of four dalam 4-4-2 ketika bertahan.

Nazmi memiliki 20 sentuhan pada separuh masa pertama. Sayang sekali beliau tidak cukup tajam dalam hantaran akhir dan penyudah.

Intensiti berterusan JDT ini membuatkan Gyeongnam ‘unsettle’ sepanjang malam. Pasukan Korea itu hanya mulai bernafas pada awal separuh masa kedua. Itupun selepas gol pertama, mereka ditekan oleh JDT sekali lagi.

Gyeongnam tidak cukup pantas untuk mengatasi corak permainan JDT yang intensif. Ketika menyerang balas, mereka terlalu mudah dihambat oleh pemain-pemain JDT yang turun secara unit dengan segera.

Ianya perlawanan yang memerlukan Gyeongnam untuk lebih laju menggerakkan bola dan lebih kreatif. Namun mereka tidak mampu melakukannya. Percubaan tepat pertama mereka adalah pada akhir babak pertama. Hanya 2 percubaan tepat yang mereka lakukan dalam perlawanan ini.

Luc Castaignos didiamkan

Mauricio jelas sekali diarahkan bermain ‘tight man marking’ ke atas Luc Castaignos yang merupakan pemain bahaya Gyeongnam. Sepanjang malam Mauricio melakukan apa yang beliau terdaya untuk menekan, membentes dan memusnahkan (destroying) Castaignos.

Mauricio sentiasa bergerak segera untuk menekan Castaignos. Dirty work yang berjaya daripada Mauricio.

Kesannya pemain itu tidak melakukan sebarang percubaan tepat ke ara gol JDT. Castaignos ‘isolated’ secara total dengan unit pasukan beliau yang lain.

Isu teknikal JDT

Sukar untuk memberikan kritikan kepada taktikal Benjamin Mora dalam perlawanan ini, kerana segalanya serba menjadi. Isu yang menjadi penghalang kemenangan JDT adalah isu teknikal dan bukannya taktikal.

Teknikal melibatkan kualiti penyudah para pemain. Dari segi taktikal JDT berjaya membuatkan Gyeongnam seperti bukan pasukan dari Korea Selatan.

Namun begitu, Benjamin Mora agak lambat untuk memasukkan pemain gantian kedua dan ketiga beliau dalam perlawanan ini. Ini kerana Gyeongnam seperti hanya menunggu wisel penamat mahu membawa pulang 1 mata. Mereka sudah keletihan.

Jika JDT menyuntik elemen ‘fresh leg’ itu lebih awal, pastinya akan memberikan masalah kepada Gyeongnam.

Seterusnya Mora mungkin harus mengarahkan Diogo untuk lebih statik di dalam kotak penalti kerana beliau kerapkali lari posisi untuk membantu fasa binaan serangan. Namun beliau lebih diperlukan di dalam kotak penalti pada setiap masa berbanding dengan cuba turun membantu binaan serangan.

Dan sudah pastinya, Safawi perlu meningkatkan lagi aspek permainan berpasukan (teamplay) beliau di sebalik keupayaan beliau sebagai seorang penyerang berteknikal.

Rumusan

Ini adalah aksi terbaik JDT yang pernah saya saksikan. Namun malangnya mereka dihampakan dengan penyudah. Itulah garis pemisah yang sangat kecil – memisahkan mereka daripada kemenangan bersejarah.

Respon JDT ketika ketinggalan itu juga harus diberikan pujian. Mereka tidak rasa tersentak, sebaliknya mereka lebih bermotivasi untuk mengejar. JDT menunjukkan kualiti mereka bermain secara bertenaga untuk 90 minit. Perkara yang kerapkali menjadi musuh mereka.

3 ‘woodwork’ oleh JDT. Dalam bola sepak statistik itu termasuk dalam percubaan tidak tepat. Namun hakikatnya JDT memiliki peluang sangat baik untuk menang perlawanan ini, jika penyudah mereka lebih kemas. Lihat statistik ini:

Apapun tahniah kepada JDT di atas persembahan meyakinkan dan mata pertama dalam ACL.

Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA
Gonzalo Cabrera (JDT)

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!