Analisis Taktikal Bayern Munich vs RB Leipzig (3:0)
Sebelum perlawanan, RB Leipzig sudah diserang dengan pelbagai perang psikologi. Penyokong-penyokong Bayern menggelar mereka penjual minuman tenaga dan overated.
Leipzig sukar untuk bermain perlawanan ini kerana sistem Bayern Munich yang jauh lebih ‘semulajadi’ dimainkan oleh mereka. 4-2-3-1! Ya sistem asas yang dibangunkan Guardiola di sini sebelum ini.
Ancelotti dikritik teruk kerana kegagalan 4-3-3 beliau untuk ‘membelasah’ lawan mereka di Bundesliga. Di Jerman setakat menang tipis setiap perlawanan ia bukan Bayern Munich bagi peminat mereka.
Permulaan
Ancelotti menyisihkan Thomas Muller dan menjadikan Thiago Alcantara sebagai no.10 dalam formasi ini. Di tengah mereka bermain sistem no.6 berkembar (the double six) iaitu Alonso dan Vidal.
Bayern bermain dalam sistem 4-2-3-1. Manakala RB Leipzig kekal dengan sistem 4-2-2-2 untuk perlawanan ini. Ia menjadi sistem yang sangat membantu mereka musim ini.
Dominasi Bayern
Dalam perlawanan ini, ia adalah one way traffic. Bayern Munich sangat unggul dan mungkin boleh menang 5 atau 6 gol. Di bawah ini adalah heat map kedua-dua pasukan dan anda boleh lihat penguasaan mereka.
Ini pula jumlah cubaan gol daripada kedua-dua pasukan. Bayern melakukan 24 cubaan gol dan Leipzig hanya 4 cubaan gol.
Bayern menyerang dan menekan Leipzing dengan 3-3-3-1 ataupun 3-4-2-1 dengan pemain di belakang Lewandoswki memberikan sokongan yang sangat kuat.
Ini antara pattern mereka ketika menyerang. Mereka kekalkan sokongan daripada 3 pemain di lapisan belakang penyerang utama. Robben dan Costa aktif masuk ke dalam kotak penalti.
Pada fasa mereka masuk ke dalam, pemain bek sisi akan mengawal lebar (width) pasukan mereka. Alonso dan Vidal mengawal tekanan dari lapisan kedua dari hadapan.
Menariknya, sistem double six mereka, Arturo Vidal di belakang dan Alonso diberikan peluang untuk fokus kepada hantaran sahaja dan kurang tugas bertahan.
Disiplin Leipzig
Mengejutkan! Sebelum ini mereka sangat berdisiplin dan fokus. Mereka memberikan reaksi sangat negatif kepada dominasi Bayern.
Bermula dengan bentesan mengarut dilakukan oleh Forsberg pada minit ke-30. Kemudian mereka melepaskan penalti selepas organisasi pertahanan mereka sangat lemah.
Ketika diserang, mereka terlalu lemah dalam mematikan gerakan pemain Bayern. Pemain Leipzig seperti tidak kuasa untuk mengejar dan memenangi duel. 15 dribble oleh Bayern berjaya melepasi pertahanan Leipzig.
Banyak kesilapan individu dan memberikan foul di kawasan bahaya serta kehilangan bola dengan mudah.Dari segi formasi dan taktikal, organisasi mereka berterabur.
Tidak ada organisasi yang jelas dalam 4-2-2-2 atapun 4-2-2-1. Pemain mereka lebih melayan emosi daripada melawan emosi tersebut.
Lihat organisasi ini. Boleh anda jelaskan mereka sedang bermain dalam formasi apa?
Ok lihat di bawah ini pula. Tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan. Adakah mereka sedang bermain zonal marking, individual marking, atapun chain of 5? Tekanan (pressing) yang sangat rendah ke atas pihak lawan.
Kualiti Bayern
Douglas Costa seharusnya menjadi pilihan utama Ancelotti selepas ini. Ini keranan pemain ini jauh lebih tajam berbanding dengan Franck Ribery.
Costa dan Robben memberikan banyak masalah kepada Leipzig di bahagian sayap dan juga half-space.
Ketika bertahan, Bayern pada awalnya hampir dibocori dengan sistem Leipzig yang memang berasaskan aliran di half-space.
Namun selepas itu, Leipzig gagal untuk mengancam melalui ‘lubang’ tersebut kerana banyak hilang fokus dalam perlawanan.
Bayern cemerlang dengan 814 hantaran berbanding dengan 263 sahaja oleh Leipzig. Satu margin yang sangat jauh untuk pasukan di tangga pertama dan kedua. Mereka juga melakukan 11 cubaan tepat berbanding cuma 2 oleh Leipzig.
Penilaian
Kami menjangkakan Leipzig akan memberikan saingan kepada Bayern Munich. Namun sebaliknya mereka sangat naif dan kurang ‘matang’ dalam perlawanan ini.
Mereka gagal bermain bola sepak mereka yang cemerlang beberapa bulan ini hampir 90 minit dalam perlawanan ini. Bayern diberikan tentangan sangat lemah oleh Leipzig secara teknikal dan taktikal.
Ancelotti mungkin harus mempertimbangkan formasi yang sama selepas ini kerana dalam perlawanan ini Bayern sangat selesa dengan taktikal yang diaplikasikan.
Kami tidak hairan kerana ia adalah antara formasi yang kerap dimainkan pemain Bayern pada era Guardiola. Anda boleh baca artikel kami bertajuk Menghurai Formasi Taktikal 4-2-3-1 Moden.
Pemain Terbaik
Sukar untuk memilih kerana ramai pemain berhak mendapatnya terutama Thiago dan Douglas Costa. Namun kami memilih Thiago Alcantara kerana 1 gol dan 1 bantuan gol.
Baca juga : Analisis Taktikal Bundesliga 2016/17: Bolasepak Bertenaga Dortmund Tewaskan Bayern