Analisis Taktikal: Barcelona 3-0 Bayern Munich

Barcelona menang 3-0 selepas Lionel Messi memberi persembahan luar biasa di separuh masa kedua untuk menjaringkan 2 gol dan menyumbang 1 gol Neymar. Bayern Munich membuat perubahan taktikal selepas bergelut untuk merantai rangkaian Messi, Suarez dan Neymar. Tetapi sentuhan Messi nyata terlalu tajam buat pertahanan Bayern.

Kesebelasan utama

Luis Enrique tidak melakukan sebarang perubahan pada kesebelasan utamanya. Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar mengepalai jentera serangan Barca, manakala Javier Mascherano bergandingan dengan Gerard Pique di bahagian pertahanan. Satu-satunya kejutan daripada Enrique adalah kehadiran Thomas Vermaelen di bangku simpanan.

Barcelona vs Bayern Munich - Football tactics and formations

Pep Guardiola menyambut kepulangan Mehdi Benatia untuk menggantikan Holger Badstuber yang beraksi ketika kemenangan 6-1 ke atas Porto. Bayern sedang dilanda krisis kecederaan dan ketiadaan Arjen Robben dan Franck Ribery memberi peluang kepada pemain tengah seperti Thiago, Xabi Alonso, Bastian Schweinsteiger dan Philip Lahm untuk beraksi.

High pressing oleh kedua-dua pasukan

Penguasaan bola kedua-dua pasukan agak seimbang (47% Barcelona, 53% Bayern Munich) kerana kedua-dua pasukan melakukan high pressing sebaik sahaja kehilangan bola.

Hasilnya pemain pertahanan dan tengah kedua-dua pasukan menghasilkan banyak interception (pintasan hantaran). Jika dibandingkan antara kedua-dua pasukan, Bayern lebih cemerlang dalam aspek interception.

Jika diperhatikan dalam rajah di bawah, sebanyak 5 interceptions dilakukan di kawasan Alba dan 6 interceptions di kawasan Messi beroperasi. Ini bermakna 2 pemain ini sentiasa dikawal ketat oleh Bayern.

bayern7-compressor

Barcelona pula lebih banyak memberikan perhatian kepada dua penyerang Bayern – Thomas Mueller dan Robert Lewandowski. Hampir kesemua interceptions dilakukan di kawasan Mueller dan Lewandowski beroperasi.

bayern6-compressor

Man marking Bayern Munich

Pundit Sky Sports, Jamie Carragher berterus-terang mengatakan beliau berbelah bahagi sama ada untuk memanggil Pep Guardiola sebagai ‘bodoh’ atau ‘berani’ dalam perlawanan ini. Ada kebenarannya dalam kata-kata beliau.

Pep Guardiola mengambil risiko besar apabila mengarahkan anak buahnya bermain dalam formasi 3-4-1-2 dan melakukan man marking kepada semua pemain Barcelona – termasuklah Gerard Pique dan Javier Mascherano!

bayern5-compressor

Melakukan man marking bukanlah masalah bagi Bayern, tetapi membiarkan situasi 3v3 berlaku antara Mehdi Benatia, Jerome Boateng dan Rafinha dengan Neymar, Luis Suarez dan Lionel Messi adalah masalah besar. Bayern tiada spare man (lebihan pertahanan) di belakang.

bayern1-compressor

Pertahanan Bayern bergelut untuk menutralisasikan bahaya gandingan MSN – dengan Boateng gagal berkomunikasi dengan Rafinha dan Benatia untuk memasang perangkap ofsaid.

Ketiadaan spare man di belakang dan kecelaruan perangkap ofsaid Bayern mengundang banyak peluang keemasan untuk Barcelona. Hanya satu hantaran di ruang belakang 3 pertahanan Bayern boleh mengkucar-kacirkan mereka. Jika tidak kerana kecekapan Neuer, peluang Bayern mungkin akan berakhir pada separuh masa pertama.

3-4-1-2 Bayern bertukar kepada 4-3-1-2

Ini bukanlah kali pertama Bayern bermain dalam formasi 3-4-1-2. Bayern pernah bermain dalam sistem taktikal yang sama semasa menentang Borussia Dortmund di separuh akhir DFB Pokal.

Masalah utama Bayern dalam taktikal ini adalah Lahm dan Alonso. Mereka mampu bermain possession football tetapi mereka bukanlah pakar dalam seni menerima bola di bawah tekanan (pressing) pemain lawan.

Alonso tidak mempunyai mobiliti untuk membawanya keluar dari situasi tegang apabila beliau diberi tekanan oleh Rakitic dan Iniesta. Begitu juga dengan Lahm. Sebagai seorang full back semulajadi, beliau sudah terbiasa menerima bola tanpa tekanan ekstrem seperti yang dialaminya di tengah (sumber: Zonal Marking)

Kegagalan Alonso dan Lahm untuk mengatur serangan di bawah tekanan Iniesta, Rakitic dan Busquet (dan Suarez juga yang selalu turun ke kawasan Alonso apabila Barcelona tidak memegang bola) menyebabkan bola banyak dimainkan di kawasan Bayern sendiri.

Guardiola bertindakbalas dengan menukar taktikal pasukannya dari back three kepada back four apabila perlawanan masuk minit ke-15′. Dari 3-4-1-2 Bayern bertukar menjadi 4-3-1-2. Kini barulah Bayern mempunyai spare man di belakang. Situasi 3v3 tidak lagi berlaku di kubu Bayern.

bayern8-compressor

Tetapi pertukaran taktikal ini mengundang masalah baru kepada Bayern. Dengan 4-3-1-2, Juan Bernat dan Rafinha mudah ditekan oleh pemain sayap dan bek Barcelona. Situasi 2v1, 3v2 boleh berlaku di kawasan Juan Bernat dan Rafinha.

Gol pertama Barcelona berpunca daripada masalah inilah. Ivan Rakitic dan Daniel Alves bergabung untuk meberi tekanan kepada Juan Bernat. Bernat membuat kesilapan dan bola kembali ke penguasaan Barcelona. Sebelum Bayern dapat berbuat apa-apa, Messi melepaskan rembatan luar kotak penalti dan menjaringkan gol.

bayern9-compressor

Gol kedua Barcelona pula membuktikan kecelaruan komunikasi antara Boateng dan Benatia. Meskipun Bayern sudah beralih kepada back four dan mempunyai seorang spare man di belakang, kecuaian Boateng merosakkan perangkap ofsaid Bayern.

Hantaran Rakitic kepada Messi tidaklah bahaya. Tetapi ia menjadi bahaya apabila Boateng mengabaikan perangkap ofsaid Rafinha dan Benatia dan mengambil keputusan untuk mengikut larian Messi. Satu feint ringkas daripada Messi sudah cukup untuk menumbangkan Boateng dan menjaringkan gol.

Baca: Analisis Taktikal Separuh Akhir UEFA Champions League: Juventus vs Real Madrid

Messi mengawal permainan dari kanan

Di bawah Luis Enrique, taktikal Barcelona lebih konvensional. Bermain dalam formasi 4-3-3, mereka bukan lagi pasukan yang obses dengan penguasaan bola, mereka mampu melakukan hantaran jauh dan yang paling penting – Lionel Messi kembali beroperasi di sayap kanan.

Perkara paling menarik tentang Messi di kanan adalah bagaimana beliau mencari poket ruang untuk mengawal permainan dari kanan. Sukar bagi pertahanan lawan untuk mengawal beliau kerana Messi gemar beroperasi dari touchline kanan ke ruang tengah sebelah kanan.

Bernat tidak boleh marking beliau sentiasa kerana ini akan membuka ruang kepada Suarez. Alonso pula tidak boleh marking beliau kerana ini akan membuka ruang kepada Rakitic.

Ini membolehkan Messi merancang serangan dengan melakukan killer pass atau rembatan luar kotak dengan kaki kirinya.

Apabila Messi berada di touchline kanan, Bayern meletakkan perhatian yang tinggi kepada Messi tetapi….kadangkala pemain istimewa seperti Messi mampu melepasi sebarang arahan taktikal pasukan lawan. Benarlah kata Guardiola, Messi is impossible to stop.

Dalam situasi di video di bawah, Bayern melakukan pressing yang intensif kepada Messi tetapi beliau hampir mustahil untuk dihentikan. 4 pemain Bayern melakukan pressing dan Messi tetap mempunyai bola di kakinya.

Kesimpulan

Bayern mempunyai tugas berat di hadapan halaman sendiri pada minggu depan. Tidak pasti apa perancangan taktikal Guardiola untuk perlawanan kedua nanti, tetapi apa yang pasti Guardiola tidak akan merisikokan situasi 3v3 di belakang lagi.

Luis Enrique mempunyai satu lagi perlawanan sebelum melangkah ke final Champions League pertamanya sebagai jurulatih. Beliau mungkin akan merehatkan Neymar, Dani Alves dan Gerard Pique yang boleh digantung perlawanan pada final jika mengutip satu lagi kad kuning di perlawanan kedua nanti.

Baca juga: Reaksi Internet kepada duel Messi vs Boateng

Sumber: UEFA.com, Statszone Four Four Two

LIKE dan FOLLOW SemuanyaBola di Facebook serta Twitter

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN