ANALISIS: Struktur 2-3-2-3 Jadi Teras Organisasi Selangor Dibawah Kendalian TCH

Tan Cheng Hoe memulakan tugas selaku pengendali baharu Selangor dengan cemerlang apabila berjaya membimbing pasukannya membenam cabaran Melaka United 5-0 dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ.

Selain mencatatkan jumlah jaringan yang besar, terdapat beberapa perkembangan positif dari perspektif taktikal serta pendekatan permainan yang kini diterapkan oleh bekas pengendali Harimau Malaya dalam perlawanan ini.

Apa yang jelas, Selangor kini sedang melalui fasa transisi taktikal daripada DNA Jerman yang berteraskan konsep ‘counter pressing’, beralih kepada konsep ‘positional play’ yang disusun menerusi struktur 2-3-2-3, khususnya ketika Selangor berada dalam fasa serangan.

Dalam analisis kali ini, kami akan berkongsikan bagaimana organisasi serangan berasaskan konsep ‘positional play’ ini dilaksanakan oleh pasukan Selangor untuk membantu mereka mencatat kemenangan besar ke atas pasukan pelawat yang hanya membariskan pemain-pemain tempatan bagi menghadapi perlawanan ini.

Sistem dan pendekatan permainan

Cheng Hoe tidak melakukan sebarang perubahan drastik ke atas sistem permainan Selangor apabila mengekalkan formasi 4-3-3 untuk memulakan perlawanan ini.

Selangor jelas mahu mendominasi permainan ini menerusi pendekatan secara  ‘possession-based’, dan mereka cenderung untuk bermain keluar daripada penjaga gol (build-up from the back) setiap kali memulakan gerakan serangan mereka.

Brendan Gan menjadi pemain ‘pivot’ bagi membantu pergerakan bola yang tersusun daripada kawasan ‘defending thirds’.

Beliau akan berada di kedudukan yang hampir sebaris dengan dua pemain ‘fullbacks’ Selangor, iaitu Quentin Ching dan Fazly Mazlan, sekali gus menghasilkan struktur 2-3 di fasa awal serangan mereka.

Struktur 2-3 ini membolehkan Selangor memiliki kelebihan dari segi jumlah pemain bagi melepasi tekanan awal daripada pemain lawan.

Menerusi gambar di atas, Selangor memiliki kelebihan jumlah pemain menerusi situasi 6 lawan 2 (termasuk penjaga gol), dan lebihan pemain ini membolehkan Selangor bermain keluar daripada kawasan ‘defending thirds’ ke ‘middle thirds’ dengan mudah dan tersusun.

Kelebihan dalam aspek jumlah pemain ini ditakrifkan sebagai ‘numerical superiorities‘ yang menjadi salah satu teras kepada konsep ‘positional play’ yang cuba dilaksanakan oleh Selangor.

Disamping itu ‘qualitative‘ dan ‘positional’ superiorities yang akan kami jelaskan sebentar lagi.

Apabila bola memasuki kawasan ‘middle thirds’, maka stuktur ‘2-3-2-3’ ini menjadi kunci bagi memecahkan organisasi pertahanan lawan.

Menerusi gambar di atas, kesemua pemain Selangor dilihat memainkan peranan mereka dengan baik bagi memastikan diri mereka berada di zon serta posisi yang ideal bagi menghasilkan keseimbangan struktur pasukan ketika mereka merancang gerakan serangan.

‘Double width’ yang disediakan menerusi dua pemain ‘fullbacks’ serta 2 pemain sayap pasukan kerap kali menarik keluar pemain lawan ke bahagian sisi padang.

Ia sekali gus mencipta banyak ruang di bahagian tengah. Ruang yang tercipta ini membolehkan Selangor untuk bermain secara kombinasi permainan bagi memecahkan blok pertahanan lawan.

Struktur yang disusun ini turut membantu Selangor untuk menghentikan sebarang cubaan serangan balas Melaka berikutan ruang yang terhad di bahagian tengah, sekali gus membolehkan mereka memenangi semula penguasaan bola dengan lebih efektif untuk meletakkan mereka kembali dalam fasa serangan (transisi serangan).

Gambar di atas merupakan kesinambungan daripada gambar terdahulu, dimana pemain Melaka berjaya merampas penguasaan bola daripada Selangor.

Namun struktur serangan pasukan yang disusun Selangor turut membantu mereka ketika pasukan beralih ke fasa bertahan (transisi bertahan), serta membolehkan mereka memenangi semula penguasaan bola dengan lebih efketif.

Setelah memperoleh semula penguasaan bola, Selangor mencipta situasi ‘superiorities’ menerusi situasi 3 lawan 2 di bahagian sisi padang.

Selain dari kelebihan jumlah pemain, Selangor juga memiliki kelebihan dalam aspek kedudukan pemain (positional superiorities), serta kualiti pemain (qualitative superiorities) berbanding pemain lawan.

‘Superiorities’ yang dicipta Selangor membolehkan Hein Htet Aung menerima lorongan bola daripada Quentin.

Ia sekali gus membolehkannya melakukan hantaran lintang berkualiti tanpa sebarang tekanan daripada pemain lawan.

Gerakan pukau (decoy movements) yang dilakukan oleh Herlison Caion menarik keluar pemain pertahanan lawan bersamanya.

Ia sekali gus mencipta ruang yang lebih besar buat Norhakim Hassan yang tenang menyudahkan hantaran lintang daripada Htet Aung bagi menjaringkan gol pertama perlawanan.

Situasi yang sama berlaku sejurus sebelum Selangor menjaringkan gol kedua perlawanan.

Struktur serangan yang disusun membantu Selangor memperoleh semula penguasaan bola dengan mudah.

Struktur serangan ini turut membantu Selangor memecahkan blok pertahanan lawan bagi membolehkan mereka melakukan kombinasi permainan.

Mukhairi Ajmal memperoleh ruang dan masa yang mencukupi bagi melepaskan satu rembatan deras untuk menewaskan penjaga gol Melaka – Norazlan Razali.

Organisasi serangan ini tidak terkesan meski pun Selangor membuat penggantian pemain di separuh masa kedua permainan.

Pemain muda Selangor, Aliff Haiqal turut berjaya mencuri tumpuan menerusi kombinasi permainan yang dilakukannya bersama rakan sepasukan membantu Selangor menjaringkan gol keempat dan kelima perlawanan.

Menerusi gambar di atas, kombinasi di antara Aliff – Gan membolehkan pemain muda itu untuk kembali menerima penguasaan bola.

Sebelum melepaskan hantaran kepada Quentin.

Hantaran lintang berkualiti Quentin berjaya disudahkan oleh Gan untuk menjaringkan gol keempat perlawanan.

Kombinasi permainan ini turut dilakukan Aliff sejurus sebelum Selangor dianugerahkan sepakan penalti di penghujung perlawanan.

Sebaik melakukan hantaran kepada Caion, Aliff dengan pantas menyerang ruang yang terbuka di antara pemain pertahanan Melaka.

Gerakan pukau yang dilakukan Caion berjaya menarik keluar pemain pertahana Melaka, sekaligus membolehkan Gan melakukan lorongan bola kepada Aliff.

Namun beliau dijatuhkan oleh pemain lawan, dan Selangor dianugerahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Caion, sekaligus menoktahkan sisa perjuangan pasukan Melaka.

Kemenangan ini amat penting buat pasukan Selangor bagi meningkatkan moral pemain mereka bagi mengharungi baki saingan Liga Super.

Ia juga adalah untuk mencipta momentum sebagai langkah persiapan menjelang saingan Piala Malaysia yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN