Analisis: Bagaimana Formasi 4-6-0 Spalletti & Del Bosque Boleh Bantu Nelo Vingada

Skuad kebangsaan Harimau Malaya kendalian Nelo Vingada pada malam ini berkemungkinan akan beraksi dengan formasi 4-6-0 dalam perlawanan kelayakkan Piala Asia 2019 berhadapan dengan Hong Kong di arena lawan.

Jurulatih daripada Portugal itu mengesahkan Darren Lok adalah satu-satunya penyerang di dalam skuad yang berkunjung ke Hong Kong sejak beberapa hari yang lalu.

Namun Darren turut mengalami kecederaan dan berkemungkinan tidak akan diturunkan dalam perlawanan yang akan berlangsung beberapa jam sahaja nanti.

Foto: Mohd Azren Jamaludin

 

Vingada turut terpaksa melupakan Ahmad Hazwan Bakri dan juga Muhammad Shahrel Fikri yang tidak bersama-sama skuad ke Hong Kong akibat kecederaan.

Lebih malang lagi, pemain tengah daripada Pahang, Kiko Insa turut diragui kecergasannya akibat kecederaan lampau.

Menariknya, Vingada berkata bahawa beliau berkemungkinan akan menggunakan formasi 4-6-0. Bagaimana sistem dan formasi ini boleh berfungsi?

Formasi ini agak janggal bagi kita. Mari kita sama-sama mengimbas kembali bagaimana Sepanyol dan AS Roma pernah mengeksploitasikan formasi ini.

Sepanyol dan formasi 4-6-0

Pada peringkat awal kejohanan Euro 2012, Vicente del Bosque dan Sepanyol merupakan antara pasukan yang pernah memilih untuk menggunakan formasi 4-6-0.

Formasi ini membenarkan Sepanyol memiliki penguasaan bola yang tinggi, namun gagal menghasilkan peluang yang mencukupi untuk mencipta jaringan di kawasan ‘final third’ lawan. Ini menjadikan permainan Sepanyol menjadi tidak menarik dan dilabel bosan.

Pada ketika ini, Sepanyol  Fernando Torres mengalami masalah prestasi. David Villa dan juga Aritz Aduriz tidak disenaraikan akibat kecederaan.

Bagaimanakah rupa formasi 4-6-0 Del Bosque yang pernah dipraktikkan bersama Sepanyol?

Di atas kertas, ia kelihatan seperti formasi 4-3-3. Antara sebab permainan Sepanyol dianggap membosankan ialah kerana formasi yang digunakan. Cesc Fabregas adalah pemain yang berada di posisi tertinggi dalam serangan pasukan.

Walaupun posisi Fabregas seperti peranan seorang penyerang, peranan pemain tersebut sebenarnya ialah sebagai seorang pemain No.9 jadian (False 9).

Fabregas akan turun lebih ke bawah di bahagian tengah hampir sepanjang perlawanan, bermakna Sepanyol beaksi tanpa penyerang untuk kebanyakkan tempoh perlawanan.

Disebabkan formasi ini membariskan 6 pemain tengah dan tanpa penyerang sebenar, ia turut menyerupai 4-6-0.

Walaupun pada awalnya formasi ini mendapat kritikan, ia mampu menjadi sekiranya digunakan dengan betul.

(Photo credit should read GABRIEL BOUYS/AFP/GettyImages)

Formasi ini dianggap inovatif kerana ia mampu menguasai bahagian tengah. Namun demikian, penguasaan bola tidak semestinya akan berakhir dengan jaringan yang dianggap sebagai produk akhir dalam satu-satu gerakan menyerang.

Ini adalah kerana tidak ada pemain yang akan menerima bola di kawasan ‘final third’ disebabkan pemain yang memegan peranan penyerang sering berada di bahagian tengah bersama dengan 3 lagi pemain tengah.

Asal usul formasi 4-6-0

Itali adalah negara kelahiran kebanyakkan formasi dan taktikal bola sepak yang inovatif. Itali adalah tempat asal usulnya posisi yang kita gelar sebagai libero, regista, dan negara di mana peranan Lionel Messi sebagai pemain No.9 jadian menjelma.

AS Roma ketika di bawah kendalian Luciano Spalletti adalah pendukung utama formasi 4-6-0.

(Photo by Paolo Bruno/Getty Images)

Tidak seperti Sepanyol, Spalletti menggunakan formasi ini untuk memberi kelebihan kepada pasukannya ketika melakukan serangan balas pantas (counter-attacking). Untuk ini, Roma menggunakan kelebihan kepantasan yang ada pada 2 pemain sayapnya.

Sebenarnya Spalletti menggunakan formasi ini secara kebetulan, pada ketika kecederaan melanda barisan penyerang AS Roma pada satu masa dahulu. Ia tampak berkesan, dan Spalletti terus menggunakan sistem yang sama dalam beberapa perlawanan bersama Roma selepas itu.

Bolehkah 4-6-0 dijadikan sandaran tempoh jangka masa panjang?

Kita telah melihat 2 contoh pasukan yang telah menggunakan formasi 4-6-0 dalam taktikal masing-masing. Kedua-duanya turut menggunakan formasi tersebut secara sementara.

Bagi Spalletti, ia adalah penyelesaian sementara ketika krisis kecederaan melanda. Manakala Del Bosque turut menggunakan formasi yang sama pada peringkat awal kejohanan Euro 2012.

(Photo credit should read FRANCK FIFE/AFP/GettyImages)

Sehingga kini, belum ada pasukan yang mempertaruhkan sistem 4-6-0 untuk tempoh jangka masa yang panjang. Ia juga dilihat sebagai tidak stabil kerana ketiadaan penyerang yang sebenar di dalam pasukan.

Anda mungkin mampu mendominasi penguasaan bola, tetapi sukar untuk mencari peluang menjaringkan gol.Tidak akan ada penyerang yang berlari ke ruangan kosong di sebalik pertahanan lawan untuk menerima lorongan bola daripada pemain tengah.

Kelemahan ketara formasi ini terdedah ketika Sepanyol bertemu Itali dalam perlawanan pembukaan Euro 2012. Walaupun merekodkan 66% penguasaan bola, Sepanyol hanya menjaringkan 1 gol.

Sumber: FFT

Analisis Opta yang pernah dikongsikan oleh FourFourTwo ini jelas menunjukkan Sepanyol gagal memecah kawasan ‘final third’ Itali. Sepanyol kurang menghasilkan lorongan bola di kawasan tersebut, juga bermakna kurang peluang tercipta untuk La Roja.

Untuk menyelesaikan masalah ini, jurulatih harus mengandalkan kepada keupayaan pemain sayap yang mampu menghasilkan gol. Spaletti mempunyai Mirko Vucinic pada ketika bersama AS Roma.

Walaupun Vucinic adalah seorang penyerang tulen, Spalletti menggunakan Vucinic sebagai pemain sayap kiri.

Ketika melakukan serangan, rangkaian 3 pemain di hadapan turut harus bijak melakukan larian daripada ‘deep area’. Sistem ini turut menuntut rangkaian 3 pemain di tengah untuk kreatif dan mempunyai visi yang tajam untuk mencari rakan sepasukan di hadapan.

Bagaimana Nelo Vingada boleh mengeksplotasi formasi 4-6-0?

Formasi 4-6-0 adalah formasi yang bagus untuk tujuan serangan balas dan menguasai bahagian tengah perlawanan. Kedudukan dan jarak pemain akan lebih dekat antara satu sama lain.

Bahagian tengah yang kompak bermakna barisan negara Malaysia akan beraksi lebih banyak di bahagian tengah, untuk tidak memberi ruang terlalu banyak buat lawan.

Syazwan Zainon, Safawi Rasid atau pun Baddrol Bakhtiar akan menjadi sandaran di bahagian sayap untuk memburu jaringan. Kedua-duanya harus lebih tajam menyempurnakan peluang yang terhidang.

Untuk rangkaian 3 pemain di bahagian tengah, penulis memilih Kiko Insa sebagai pemain tengah bertahan, sambil diapit oleh Safiq Rahim dan juga Nor Azam Azih.

Jangkaan kesebelasan utama Harimau Malaya

Matthew Davis, Shahrom Kalam, Adam Nor Azlin dan juga Nazirul Naim Che Hashim dijangka akan diturunkan sebagai empat pemain pertahanan pilihan Vingada.

Rumusan

Barisan kesebelasan utama Harimau Malaya di atas adalah ramalan penulis semata-mata berdasarkan prestasi semasa pemain.

Walaupun Vingada membayangkan akan menggunakan formasis 4-6-0 dalam taktikal beliau, ia mungkin juga akan berubah bergantung kepada barisan pemain yang dimilikinya.

Mampukah Harimau Malaya membawa pulang 3 mata pada malam ini? Sama-sama kita berikan sokongan agar kejayaan akan menjadi milik pasukan negara.

Ayuh Harimau Malaya!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN