Ketika Antonio Conte dan Chelsea menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Mei lalu, pengurus itu harus mengucapkan terima kasih kepada trio pertahanan yang membentuk sistem bek bertiga pasukan kendaliannya itu.
Apa tidaknya. Ketiga-tiganya sangat konsisten dan menjadi tunjang belakang kepada kehebatan ‘revolusi Conte’ yang melanda EPL, dalam sistem 3-4-3 pengurus dari Itali itu
David Luiz, Gary Cahill dan Cesar Azpilicueta
Alasannya mudah. Sejak Conte menyedari bahawa sistem bek bertiga adalah kunci kepada kejayaan pada musim pertama di England, maka 3 nama tersebut menjadi antara nama terawal yang dicatatkan ke dalam senarai kesebelasan pertama menjelang perlawanan.
Sejak daripada itu, Conte tidak menoleh ke belakang untuk sistem lain.
Namun demikian, 12 bulan sejak kali pertama menjejakkan kaki ke Stamford Bridge, situasinya agak sukar buat pengurus skuad kebangsaan Itali dan Juventus itu.
Ketiga-tiga pemain tersebut bukan lagi pilihan automatik untuk memulakan setiap perlawanan selepas ini.
Tanpa ragu, mana-mana penyokong Chelsea pasti bersetuju konsistensi trio Luiz-Cahill-Azpilicueta adalah antara sebab utama pasukan London tersebut berjaya bergelar juara EPL dengan kelebihan 7 mata pada musim lalu.
Namun itu adalah musim lalu, dan musim ini segalanya berbeza buat trio berkenaan, Antonio Conte dan juga Chelsea. Pertama, persaingan dari pasukan lain tampil berbeza untuk gelaran juara. Kedua, jendela perpindahan musim panas memungkinkan Conte untuk membawa masuk muka baharu dan menambah prospek untuk tujuan eksperimen.
Ini bermakna, Conte mahu bek bertiga yang benar-benar ampuh untuk saingan domestik dan juga eropah yang akan bermula pada awal pagi Rabu.
Cahill akhirnya mengambil alih peranan kapten daripada John Terry. Namun layangan kad merahnya hanya selepas 14 minit pada perlawanan pertama musim ini menentang Burnley, mungkin perlu dibayar dengan harga yang mahal.
Di sebalik segala krisis yang diperkatakan mengenai Chelsea termasuk kelembapan membawa masuk muka baharu, Chelsea tidak merasa kehilangan Cahill.
Selepas kekalahan 3-2 kepada Burnley pada perlawanan tersebut, Chelsea bangkit menewaskan Tottenham Hotspur, Everton dan juga Leicester City.
Luiz kekal di posisi asalnya. Manakala Azpilicueta diberikan peranan kapten dan juga posisi yang diisi oleh Cahill sebelum ini di sebelah kanan.
Ketibaan Antonio Rudiger
Di posisi pertahanan tengah kanan – posisi yang biasa diisi oleh Azpilicueta dalam sistem bek bertiga – kini diisi pula oleh pemain bernilai £29 juta yang tiba dari Roma, Antonio Rudiger.
Berdasarkan prestasi menentang Leicester, Rudiger membuktikan dirinya sudah pun membiasakan diri dengan corak bola sepak Inggeris. Aset utama Rudiger untuk saingan di EPL adalah kepantasannya.
Dalam perlawanan pada Sabtu lalu, Rudiger mencatatkan catatan masa 21.87mph, pecutan terpantas yang dicatatkan di EPL setakat ini di EPL.
Pemain antarabangsa Jerman ini adalah satu-satunya pemain pertahanan yang beraksi dalam kesemua 4 perlawanan liga melibatkan pasukan Chelsea setakat ini. Ketika menentang Burnley, Rudiger bergandingan dengan Cahill dan juga David Luiz.
Andreas Christensen pelengkap pertahanan
Selain daripada 4 pemain yang telah diperkatakan, kita turut sudah menyaksikan penampilan Andreas Christensen dalam perlawanan menentang Tottenham Hotspur.
Selepas beberapa musim beraksi bersama Borussia Mochengladbach secara pinjaman untuk 2 musim, pemain antarabangsa Denmark ini menunjukkan corak permainan yang semakin matang.
Segalanya bermula ketika beliau diminta masuk untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cahill selepas terjahan liar terhadap Steven Defour.
Keputusan Conte untuk menurunkan Christensen amat mudah. Pertama, ia memberi peluang kepada pemain pertahanan berusia 21 tahun ini pengalaman kompetitif di EPL. Kedua, ia adalah mesej tidak ada slot automatik untuk barisan pemain pertahanannya.
Conte adalah pengurus yang percayakan pertandingan sihat untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama. Sudah tentu pemain-pemainnya akan meningkatkan prestasi masing-masing untuk menjamin tempat di dalam kesebelasan utama menjelang hari perlawanan.
Sistem pertukaran pemain
Persaingan pada musim ini juga lebih mencabar buat Conte dan Chelsea dengan Qarabag menjadi lawan pertama mereka di pentas Eropah pada awal pagi Rabu nanti.
Conte pasti ingin melakukan pertukaran pemain ketika musim semakin rancak. Luiz mempunyai 32 penampilan pada musim lalu, Cahill 35 penampilan dan Azpilicueta 38. Mustahil ketiga-tiga pemain ini melakukan jumlah penampilan yang sama pada musim ini.
Conte turut mewujudkan persaingan di posisi bek sayap. Musim lalu Marcos Alonso dan Victor Moses menunjukkan prestasi yang cemerlang di pisisi masing-masing.
Musim ini, ketibaan Davide Zappacosta daripada Torino pasti memberikan persaingan kepada Moses.
Begitu juga di posisi tengah. Kehadiran Tiémoué Bakayoko daripada Monaco dan juga Danny Drinkwater daripada Leicester akan memberi saingan kepada N’golo Kante atau pun Cesc Fàbregas, bergantung kepada taktikal pengurus dari Itali itu.
Rumusan
Anda mungkin bertanggapan Antonio Conte tidak berpuas hati dengan aktiviti Chelsea di jendela perpindahan pemain pada musim panas yang lalu. Siapa pun, sukar untuk membayangkan akan gembira dengan situasi yang dihadapi oleh Conte.
Tetapi satu perkara yang pasti adalah Chelsea memiliki barisan bek bertiga yang lebih lengkap, lebih kekuatan dan juga lebih dinamik daripada musim lalu.
Sumber
1. David Pasztor, SB Nation (2016): Antonio Conte explains the various roles in a back three, hints at a back four for West Ham; https://weaintgotnohistory.sbnation.com/2016/10/26/13415346/antonio-conte-chelsea-west-ham-tactics-three-man-defense-center-back-roles
2. Paul Doyle, The Guardian (2016): César Azpilicueta the flexible friend in Chelsea’s three-man defence; https://www.theguardian.com/football/2016/nov/19/cesar-azpilicueta-chelsea-flexible-three-man-defence-antonio-conte
3. Alex Simpson, Daily Mail (2017): How Chelsea could line up this season: Alvaro Morata set to take leading role as Antonio Rudiger arrival pushes Cesar Azpilicueta to the wing; http://www.dailymail.co.uk/sport/football/article-4720174/How-Chelsea-line-season-Antonio-Conte.html#ixzz4sN73OzSQ
4. Jonathan Liew, The Telegraph (2016): Antonio Conte’s favoured 3-4-3 is now football’s fashionable formation; http://www.telegraph.co.uk/football/2016/10/22/antonio-contes-favoured-3-4-3-is-now-footballs-fashionable-forma/