Analisis Separuh Akhir: Empat Pasukan Intai Peluang Dinobatkan Juara Selangor Champions League 2018

Persaingan merebut kejuaraan Selangor Champions League 2018 semakin menghampiri penghujung apabila empat pasukan yang melayakkan diri ke peringkat separuh akhir sudah pun diketahui.

Puchong Fuerza, KRU Port Klang dan Kajang AZS meneruskan kemaraan selepas berhempas pulas menundukkan lawan masing-masing pada minggu lalu manakala NPNG FC Damansara Damai pula tidak berdepan masalah untuk menundukkan MPKj The Lions. 

Apa yang pasti edisi kali ini bakal menjadi milik juara baharu setelah penyandang juara, Axis-O2 PJ FC tersingkir di peringkat suku akhir.

Bagi menghangatkan lagi debaran menjelang perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Shah Alam pada 16 Disember nanti, berikut adalah analisis ringkas mengenai empat pasukan calon juara ini:

1) NPNG FC Damansara Damai

Perjalanan peringkat kumpulan

Juara lapan kali saingan Liga Super Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) ini tidak memandang mudah aksi di Selangor Champions League 2018 apabila berjaya menampilkan aksi terbaik pada setiap perlawanan yang dilalui.

Skuad yang dibimbing Micheal Palani ini mencatatkan enam kemenangan dan dua keputusan seri serta menamatkan saingan kumpulan B tanpa sebarang kekalahan.

23 jaringan berjaya dihasilkan NPNG FC Damansara Damai sehingga aksi di peringkat suku akhir dan hanya 4 gol sahaja gawang mereka dibolosi selepas mengharungi sembilan perlawanan.

Pemain tumpuan

Menyebut tentang NPNG FC sudah pastinya nama pemain tengah berpengaruh, Lukhman Noor Hakim akan menjadi perhatian.

Beliau berfungsi dengan cukup baik sebagai ‘enjin’ pasukan yang sememangnya tidak dapat disangkal lagi sumbangan berkesan daripada beliau.

Lukhman Noor Hakim sentiasa menjadi ancaman besar buat pasukan lawan.

Di samping itu, Ridhwan Johan yang berjaya menjaringkan enam gol ketika ini merupakan peledak berbisa yang mampu untuk menjelmakan kualiti serangan terbaik yang diharapkan.

Keputusan suku akhir

NPNG FC Damansara Damai menang 3-0 keatas MPKj The Lions.

2) Puchong Fuerza FC

Perjalanan peringkat kumpulan

Puchong Fuerza bermula dengan langkah kiri apabila mereka tewas 1-0 di tangan skuad muda, Gombak FC pada perlawanan sulung.

Selepas kekalahan tersebut, anak buah Mohd Nazrulerwan Makmor itu tidak menoleh ke belakang untuk mencatatkan rentetan empat kemenangan dan mencatatkan dua mata pada dua perlawanan terakhir.

Di samping dibarisi beberapa orang pemain yang berpengalaman dalam saingan Liga Malaysia seperti Afiq Azmi, Norismaidham Ismail dan Saufi Ibrahim, kekentalan jentera pertahanan Puchong Fuerza jelas mencuri tumpuan.

Pasukan ini hanya dibolosi dua gol iaitu pada perlawanan pertama dan terakhir peringkat kumpulan.

Pemain tumpuan

Di sebalik tiga nama besar yang dinyatakan, Hakim Zainal dilihat lebih mempunyai kaliber yang menjadikannya pemain tengah menyerang yang perlu diberikan tumpuan pada aksi separuh akhir nanti.

Seorang pemain tengah yang bijak merencana serangan yang turut mempunyai kualiti untuk menyudahkan peluang yang dimiliki.

Gabriel Alloysius Sunday begitu tangkas mengawal gawangnya.

Seorang lagi pemain yang bakal menjadi tumpuan adalah penjaga gol Puchong Fuerza iaitu Gabriel Alloysius Sunday.

Beliau bertindak cemerlang menafikan tiga sepakan penalti yang diambil pemain Duta ZXiV minggu lalu. Beliau juga hanya dibolosi satu jaringan di peringkat kumpulan.

Keputusan suku akhir

Puchong Fuerza menewaskan Duta ZXiV 2-0 menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat tanpa jaringan sehingga tamat masa tambahan.

3) KRU Port Klang FC

Perjalanan peringkat kumpulan

Menjadi pasukan yang bersama-sama NPNG FC Damansara Damai dan Akademi Bola Sepak Merah Kuning (ABMK) tidak tewas sebarang perlawanan di peringkat kumpulan.

KRU Port Klang FC menamatkan saingan kumpulan B di tangga kedua selepas mengumpul 18 hasil lima kemenangan dan tiga keputusan seri.

Pasukan ini juga mempunyai unit serangan dan bertahan yang begitu baik apabila berjaya menghasilkan 19 jaringan dan sekadar dibolosi dua jaringan.

Pemain tumpuan

Kelibat penyerang utama, Rosedy Muslim bakal menjadi ancaman besar buat lawan yang akan ditemui pada peringkat separuh akhir nanti.

Rosedy Muslim (jersi merah) cuba melepasi kawalan dua pemain Axis-O2 PJ FC.

Pada usia 38 tahun, Rosedy mempunyai larian deras serta kualiti penyudah yang cukup baik. Ia dibuktikan apabila beliau telah berjaya menjaringkan tujuh gol setakat ini.

Sulaiman Ramlan, penjaga gol bagi KRU Port Klang FC juga mampu untuk menjadi wira buat pasukan seperti mana yang telah dibuktikan oleh penjaga gol kental ini pada perlawanan-perlawanan terdahulu.

Keputusan suku akhir

KRU Port Klang FC menang 1-0 keatas Axis-O2 PJ FC.

4) Kajang AZS FC

Perjalanan peringkat kumpulan

Kajang AZS memulakan saingan dengan kekalahan besar 4-1 ditangan Duta ZXiV dan kemudiannya seri tanpa jaringan bertemu KRU Port Klang FC.

Bagaikan tersentak dari lamunan, Kajang AZS meraih lima kemenangan dalam enam perlawanan terakhir dan kemuncaknya apabila berjaya menundukkan Cheras Raptors 3-2 pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Kemenangan itu juga memberikan makna yang lebih besar buat Kajang AZS yang turut mengenepikan cabaran Cheras Raptors dari persaingan peringkat kalah mati.

Pemain tumpuan

Kelibat dua awang import Kajang AZS, Phillip Abbah Eugine dan Addurazzag Alkanouni ternyata memberikan sumbangan yang begitu berkesan buat pasukan ini.

Skill individu yang dimiliki Addurazzag memudahkan tugasan Phillip untuk menyudahkan peluang yang terhidang.

Phillip Abbah (jersi 21) dan Addurazzag sandaran utama Kajang AZS.

16 telah dihasilkan oleh kedua-dua pemain ini yang menyaksikan Phillip Abbah mencetak 11 jaringan (penjaring terbanyak setakat ini) dan Addurazzag kini menghasilkan lima jaringan.

Kombinasi dua pemain ini mampu untuk memberikan kekecewaan buat lawan mereka di separuh akhir nanti.

Keputusan suku akhir

Kajang AZS menewaskan ABK 3-0 menerusi penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Separuh akhir

Kajang AZS lawan KRU Port Klang FC
1 Disember (Sabtu)
8.00 Malam
Arena MPSJ, Subang Jaya

NPNG FC Damansara Damai lawan Puchong Fuerza FC
1 Disember (Sabtu)
10.00 Malam
Arena MPSJ, Subang Jaya

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN