Antonio Rudiger sah menyertai pasukan Chelsea semalam. Kali ini kami akan memberikan sedikit previu secara teori tentang pemain ini berdasarkan statistik beliau sebelum ini.
Sebelum pergi dengan lebih jauh kita berkenalan secara teknikal dengan pemain ini.
Profil dan jenis pemain (type of player)
Rudiger adalah pemain bek tengah yang berusia 24 tahun. Beliau berketinggian 190 sentimeter. Pemain ini digelar bek tengah moden. Ini kerana Rudiger adalah tipikal ‘ball-playing center back.’
Beliau memiliki kemampuan untuk menggeleck. 70% daripada ‘take-ons’ beliau berjaya musim lalu serta 72 pintasan bola dilakukan.
Beliau boleh bermain posisi bek tengah, libeiro dan juga bek kanan. Rudiger merupakan pemain yang mampu melakukan hantaran dengan berkesan terutama sekali hantaran panjang dari belakang.
Musim lalu, beliau menjadi pemain paling banyak melengkapkan hantaran panjang dari belakang di Serie A iaitu dengan 185 hantaran panjang tepat.
Ciri-ciri yang cukup baik untuk menjadi libeiro dan beliau jelas sekali tipikal Mats Hummels yang suka melakukan hantaran laser.
Rudiger seorang pertahanan yang tenang memegang bola walaupun berada di dalam tekanan.
Sistem
Ramai menjangkakan kemasukan Rudiger akan menolak Azpilicueta ke bek sayap kanan pasukan Chelsea.
Jadi pemain ini akan dijadikan bek tengah bertiga bersama-sama dengan Luiz dan Cahill. Yang menariknya, adakah beliau akan menjadi bek tengah kanan ataupun Libeiro?
Libeiro adalah posisi di belakang 2 bek tengah sisi. Peranan yang dipegang David Luiz musim lalu.
Kami membuat beberapa perbandingan yang berkaitan tentang posisi Libeiro moden yang menjadi perancang penting dari belakang.
Statistik
Jadi, kami membuat perbandingan, adakah Luiz atau Rudiger yang akan menjadi Libeiro.
Dari segi hantaran tepat, secara keseluruhannya, David Luiz melakukan 1244 hantaran tepat daripada 1482 hantaran. Ini bermakna David Luiz mencatatkan purata 84% hantaran tepat.
Rudiger berjaya melakukan hantaran tepat 1082 daripada 1304 ataupun 83% hantaran tepat. Jadi boleh dikatakan tiada beza dari segi kualiti hantaran.
Manakala, dari segi jarak hantaran, David Luiz lebih jauh dengan purata 24.33 meter berbanding dengan 19.31 meter yang dilakukan Rudiger.
Dari segi take-ons (menerima bola dan melepasi pemain lawan), David Luiz terlalu bagus untuk dibandingkan dengan Rudiger. Walaupun Rudiger mencatatkan 70% take-ons berjaya, Luiz merekodkan 87%.
Luiz jelas seorang bek tengah yang suka menggelecek.
Penilaian
Daripada rumusan di atas, saya boleh katakan, Conte boleh menggunakan beberapa opsyen untuk Rudiger.
1. Rudiger sebagai Libeiro, Luiz sebagai bek tengah ofensif
David Luiz terkenal dengan sikapnya yang suka naik ke atas. Dengan meletakkan Rudiger di garis libeiro, Conte boleh menggunakan Luiz sebagai pemain tambahan di tengah dan juga garisan lebih tinggi.
Dalam erti kata lain, kehadiran Rudiger akan menolak Luiz ke atas serta cuba mendapatkan yang terbaik daripada Luiz ketika menyerang.
Jadi, boleh berlaku perubahan sistem yang banyak di belakang. Daripada sistem bek bertiga, mereka boleh membentuk platform bek berempat yang berkembang kepada sistem 2-3-2-3.
Lihat penjelasan ini.
i. Luiz di bek tengah kanan dan Rudiger di belakang. Platform ini memberikan Luiz lebih kebebasan untuk naik ke bahagian tengah atau serangan bila perlu.
ii. Ini sebagai contoh, Luiz naik ke peranan no.6 dan 2 pemain tengah mereka naik ke belakang serangan bertiga. Ingat tak musim lalu Conte mahukan Kante dan Matic untuk lebih terlibat dengan serangan.
Dengan sistem ini, ada perlindungan di belakang mereka. Pada masa yang sama, Luiz boleh naik ke serangan jika diperlukan. Ia boleh mengelakkan impak ‘numerical disadvantage’ di tengah.
2. Gantikan Azpilicueta secara terus
Ini adalah teori yang lebih langsung, di mana Azpilicueta akan dikembalikan semula peranan beliau ke bahagian sisi. Jadi, Azpilicueta akan menjadi bek sayap kanan.
Tetapi harus diingat, Victor Moses antara sebab pasukan ini dinamik di sebelah kanan musim lalu. Manakala Marcos Alonso lebih kepada pemain yang akan mencari ruang yang terbuka di kiri.
Dalam opsyen ini, David Luiz kekal sebagai Libeiro dan Rudiger dan Cahill akan menjadi bek tengah sisi.
3. Chelsea menukar sistem bek bertiga kepada bek berempat
Saya percaya, bisnes pembelian pemain di Chelsea masih bertumpu kepada Bakayoko dan Alex Sandro. Jika gagal mendapatkan 2 pemain ini, mereka akan cuba mencari pemain yang sama corak permainan mereka.
Bakayoko adalah pemain yang boleh berjuang dalam formasi ofensif 4-2-4. Antara formasi kegemaran Conte ketika di Itali selain 3-5-2 dan 3-3-4.
Alex Sandro musim lalu membuktikan beliau boleh bermain sistem bek bertiga dan bek berempat. Namun Max Allegri mendapat hasil lebih baik ketika Juventus menukar formasi kepada 4-2-3-1.
Jika Chelsea memutuskan untuk menggunakan sistem bek berempat, mereka akan mendapat saiz depth yang lebih besar untuk bek tengah. Persaingan untuk 2 tempat adalah tinggi.
Namun, adakah Conte akan menggandingkan 2 pemain yang tipikal ball-playing center back di bahagian pertahanan? Ketika di AS Roma, Rudiger digandingkan dengan ‘ball-winning center back.’
Rumusan
Rudiger adalah pembelian yang penting untuk Conte kerana beliau boleh menggantikan David Luiz sebagai Libeiro.
Ini untuk menghadapi sebarang potensi kehilangan David Luiz kerana faktor seperti kecederaan, penggantungan ataupun tidak berada dalam prestasi terbaik.
Kini mereka ada 2 libeiro yang berkualiti. Cuma persolannya, siapa yang akan menjadi libeiro utama?
Kami masih menunggu pemain yang bakal masuk ke Chelsea selepas ini untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang potensi taktikal Conte.
Apa pula pandangan anda?