Analisis: Guardiola Faktor Di Sebalik 100 Mata Dan Peningkatan Musim Kedua

“Sorry. This is Premier League Mr. Pep Guardiola.” Ini adalah frasa yang sering dilihat pada pengakhiran musim lalu.

Ia adalah satu kenyataan berbaur ingatan kepada pengurus dan pakar taktikal antara yang terhebat di dunia, bahawasanya EPL bukan pentas yang mudah untuk memburu kejayaan.

Namun pada musim kedua di kancah saingan bola sepak Inggeris, Guardiola membuktikan bahawa beliau mampu mencipta kejuaraan di mana sahaja.

Artikel ini menganalisis perubahan taktikal oleh Guardiola di Manchester City sehingga mampu mencapai 100 mata!

Isu penjaga gol

Tidak dapat dinafikan bahawa pembelian Ederson de Moraes adalah pembelian yang berbaloi buat City.

Pada usia 24 tahun, Ederson bakal membentuk gandingan mantap bersama John Stones dan siapa sahaja pemain pertahanan tengah lain untuk perancangan tempoh jangka masa panjang.

Ederson adalah antara ball-playing goalkeeper terbaik di Eropah. Kehadiran penjaga gol ini memberi nilai tambah kepada pertahanan City.

Ederson bukan sahaja seorang shot-stopper yang hebat.

Manchester City mempunyai sistem pertahanan yang beraksi di garisan tinggi (high defensive line) untuk menekan lawan di kawasan mereka sendiri.

Adakalanya, sistem ini membenarkan lawan melakukan serangan balas dengan menggunakan hantaran jauh. Untuk mematahkan gerakan ini, penjaga gol City harus memainkan peranan seperti seorang sweeper.

Ia juga bermakna penjaga gol harus keluar dari posisi asal secara kerap untuk memintas hantaran jauh di hadapan kotak penalti.

Napoli tahu sistem Guardiola, dan mempraktikan corak permainan serangan balas sebegini.

Perhatikan (gambar atas), bagaimana Dries Mertens melepasi perangkap offsaid untuk mendapatkan hantaran jauh.

Ederson harus keluar dari posisi asal untuk menolak bola keluar. Ini adalah salah satu kepakaran penjaga gol ini. Ederson sering kali terlibat secara langsung di dalam permainan sama ada untuk mematahkan serangan, ataupun untuk memulakan serangan balas.

Ederson adalah penjaga gol yang selesa menguasai bola persis seorang pemain tengah. Ia adalah kelebihan untuk beliau untuk bermain hantaran pendek walaupun di bawah tekanan penyerang lawan.

Tanpa komponen ini, pasukan Guardiola sukar memiliki bola di garis rendah dan membina serangan dari bawah.

Ia jelas kualiti yang bertentangan dengan Claudio Bravo ketika menyertai City pada musim pertama Guardiola di Etihad.

Pada masa yang sama, Ederson memiliki kaki yang sangat baik seperti seorang outfield player.

Mengendalikan lantunan bola

Anda tidak salah mengatakan EPL adalah pentas saingan yang berbeza buat Guardiola.

“Di England, bola lebih banyak berada di udara berbanding di atas rumput padang. Sudah tentu saya perlu menyesuaikan diri,” ujar Guardiola mengulas bola sepak di England.

Pengendali dari Sepanyol ini memegang falsafah bahawa untuk menguasai pelawanan, anda harus menguasai bola. Tetapi untuk bersaing mengawal bola tinggi di udara, ia ibarat membaling dadu.

Anda mungkin memenangi saingan di udara, dan anda mungkin tidak. Anda mempunyai peluang yang lebih baik jika memiliki pemain dengan susuk badan yang besar.

Tetapi ia masih risiko yang tiada kepastian, dan mempunyai keberangkalian yang kurang berbanding memenangi penguasaan di atas padang.

“Ia adalah perkara yang bosan untuk latihan. Sepanjang masa berlatih memenangi bola tinggi? Saya cuma gemar melakukan apa yang saya suka,” tambah Guardiola.

Berbanding pada musim sebelumnya, musim ini City beraksi lebih baik ketika berhadapan dengan hantaran jauh dan bola tinggi.

Bukan kerana itu sahaja. Malah mereka turut berjaya memperbaiki purata penguasaan bola di dalam perlawanan.

Musim 2016/17. Sumber: Squawka.

Musim ini mereka berjaya menguasai 64% penguasaan bola berbanding 59% pada musim lalu. Ini juga bermakna City tidak perlu melakukan banyak tackles, lebih sedikit pintasan tetapi masih bolos lebih sedikit gol.

“Ia adalah penguasaan bola dengan pelbagai tujuan (bertahan dan menyerang),” ujar Kevin De Bruyne.

Musim 2017/18. Sumber: Squawka.

Apa yang De Bruyne katakan mungkin ada asasnya. Bandingkan sahaja perbezaan dua graf di atas.

Formula zon padang Guardiola

Jika anda adalah pembaca setia kami, anda mungkin sudah biasa dengan zon-zon di atas padang seperti Zon 14, half space, wide area dan sebagainya.

Sumber: Axello Tacts

Anda juga mungkin pernah mendengar atau terbaca mengenai zon padang Guardiola atau pun dikenali sebagai Guardiola’s pitch grid. Grid atau zon ini digunakan oleh Guardiola dengan rumus berikut:

“Bahawasanya tidak lebih dari tiga pemain berada pada ruangan secara melintang pada satu-satu masa, dan tidak lebih dari dua pemain boleh berada di setiap grid secara menegak.”

Ini adalah hukum di dalam teori taktikal Guardiola untuk memastikan pasukannya mengekalkan struktur, tetapi tetap menggerakan/menguasai bola secara bebas.

Ia adalah pemahaman yang sukar diterap oleh pemain pada mulanya, namun mulai membuahkan hasil pada musim ini.

Manchester City bukan satu-satunya pasukan yang bermasalah untuk mengadaptasi kepad sistem ini. Bayern Munich dan Barcelona turut memiliki masalah yang sama pada mulanya.

Gambar di atas adalah salah satu contoh gambaran ketika perlawanan. Ideanya ialah untuk mengekalkan garisan/ruangan (di dalam bentuk segitiga) untuk sentiasa melakukan hantaran ke hadapan, dan tidak semestinya ke sisi yang tidak digemari oleh Guardiola.

“Tiki-taka kebiasaannya sangat mengarut. Ia bermakna membuat hantaran semata-mata untuk berbuat demikian, tanpa tujuan dan tidak agresif. Saya sama sekali tidak akan membenarkan pemain saya berbuat demikian,” ujar Guardiola menjelaskan corak hantaran dalam taktikal beliau.

Di dalam sistem Guardiola ini, Fernandinho adalah pivot, dua pemain sayap akan berada di setiap sisi padang. Pemain tengah menyerang akan berada di setiap ruang di antara midfield dan pertahanan.

(Photo by Michael Regan/Getty Images)

Manakala Stones atau Otamendi akan bertindak sebagai deep-playmaker, dan salah seorang lagi pemain pertahanan melakukan kawalan.

Sistem ini membenarkan setiap pemain untuk bertukar posisi dan tidak rigid di satu-satu posisi semata-mata.

Pasukan Guardiola ini mempunyai persefahaman antara satu sama lain yang sangat baik dan telah dibina di padang latihan. Kerana itu, walaupun pergerakan/pertukaran posisi berlaku, setiap bahagian sentiasa dikawal dengan formula di atas.

Sistem bek sisi songsang (inverted fuulback/false fullback)

Ia sukar dibayangkan, namun inilah yang dilakukan oleh Guardiola terhadap skuad Manchester City. Sistem yang banyak dimensi bukan sahaja berbentuk hibrid tetapi kompleks.

Bek sayap klasik berfungsi membantu melakukan serangan di setiap sisi serangan bersama-sama pemain sayap. Guardiola mempunyai idea tersendiri di dalam mengunakan bek sayap di Etihad.

Di awal musim, Benjamin Mendy memainkan peranan yang baik di dalam taktikal ini. Kemudian, kita melihat bagaimana Kyle Walker turut diadaptasi di dalam sistem ini.

Heatmap bek sayap Man City. Sumber: WhoScored

“Sistem ini memberikan stabiliti dan fludity dengan lebih banyak sentuhan satu-dua di kalangan pemain.”

“Ia membenarkan setiap pemain bergerak, dan anda boleh melakukan apa sahaja selepas itu,” ujar De Bruyne ketika cuba menjelaskannya kepada Jamie Redknapp dalam satu temuramah.

Ketika De Bruyne bergerak ke bahagian sayap, ia meninggalkan ruang di tengah untuk diisi oleh pemain lain. Sane atau Delph mungkin akan mengisi ruang tersebut. Jesus akan turun sedikit ke bawah.

Jika pemain sayap melakukan gerakan ke atas, ia membenarkan De Bruyne untuk bergerak membantu serangan. Semua ini dilakukan secara spontan. Sistem ini akan membentuk 2-3-5 ketika serangan dilakukan.

Bagaimanapun sistem ini menuntut kebolehan teknikal yang tinggi daripada pemain untuk memahami taktikal sebegini.

Pemain City bebas melakukan apa sahaja di fasa akhir serangan, namun harus memahami dan mengikuti blueprint oleh Guardiola untuk membentuk gerakan.

Penutup

Sebenarnya ada banyak lagi perubahan dan penambahbaikan yang dilakukan oleh Guardiola pada musim ini berbanding musim pertama di EPL.

Antaranya ialah bagaimana Guardiola memulihkan keyakinan Raheem Sterling, atau bagaimana Delph boleh beraksi dengan baik di posisi bek kiri.

Tetapi kami memilih untuk menggariskan perubahan taktikal yang ketara sehingga mampu membawa Manchester City berjaya memecahkan rekod demi rekod dalam bola sepak Inggeris.

Anda boleh katakan, paling penting adalah kemenangan bukannya taktikal. Tetapi, apabila anda membentuk pasukan yang menang dengan falsafah taktikal yang jelas, anda akan membentuk legasi, itulah bezanya.

Untuk itu, kita harus akui Pep Guardiola adalah seorang genius taktikal!

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN