Analisis Peranan ‘Half-Back’ Syamer Kutty Abba, Tonggak Tak Didendang Ketika Tundukkan Filipina

Syamer Kutty Abba Malaysia Filipina peranan half-back

Tonggak tak didendang – itu mungkin frasa yang sesuai buat half-back Harimau Malaya, Syamer Kutty Abba ketika Malaysia menundukkan Filipina dengan keputusan 2-0 dalam aksi pertama persahabatan Tri-Nation Series.

Malaysia turun berdepan Filipina selepas lima tahun tidak bertemu dengan kali terakhir pertembungan kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan. Dengan kedudukan ranking FIFA lebih baik berbanding skuad negara, keputusan ini kita boleh anggap satu kejutan buat lawan yang dibarisi oleh majoriti pemain dari Thai League.

Selain itu, beberapa pemain mereka juga beraksi di Eropah termasuk penjaga gol, Neil Etheridge, yang bermain bersama Birmingham City (England), Enrique Linares dari Sepanyol dan Patrick Strauss yang beraksi di Jerman.

Di atas kertas, Malaysia tampil dengan formasi 4-3-3 seperti yang dijangkakan dengan defensive midfielder akan menjadi half-back dengan turun lebih ke bawah – di antara dua bek tengah bagi membentuk formasi seakan-akan 3-4-3. Ini ada dalam ‘kitab lama’ Kim Pan-gon, pengendali baharu Harimau Malaya sejak Januari lalu.

Dengan menjadi satu-satunya pemain tengah bertahan yang ada dalam pasukan saat ini, Syamer Kutty Abba telah diberikan peranan tersebut. Seperti peranan defensive midfielder, half-back juga sering dilupakan jasanya.

Biasanya mereka tidak bagus dalam menyerang, tiada hantaran-hantaran memukau ataupun tidak mencetak gol atau membuat bantuan gol. Mereka juga bukanlah pemain yang akan membuat hadangan seperti sliding tackle dan sebagainya. Mereka bukan siapa-siapa, jadi logiklah para penyokong tak nampak fungsi mereka.

Mereka adalah ‘pakar’ transisi fasa-fasa permainan dan senjatanya adalah meletakkan diri dalam posisi yang betul pada masa yang tepat. Tugas mereka untuk memintas dan ‘mencuri’ bola daripada pihak lawan.

Dalam setiap fasa permainan pasukannya, mereka akan memainkan dan mengambil peranan yang berbeza.

Rajah 1 Malaysia Filipina 4-3-3
Rajah 1 – Formasi asas Malaysia iaitu 4-3-3. Perhatikan kedudukan Syamer Kutty sebagai defensive midfielder.

Fasa menyerang

Di sini, kedua-dua wingback akan naik lebih ke atas dan meninggalkan dua bek tengah. Syamer Kutty akan turun lebih ke bawah – di depan sedikit atau selari bersama Shahrul Saad yang membuka ke kanan dan Khuzaimi Piee yang membuka ke kiri. Di sinilah kepentingan bek tengah berkaki kiri yang diidamkan Kim Pan-gon.

Pergerakannya penting dalam menentukan sama ada Corbin Ong dan Dion Cools boleh terus bereksplorasi di bahagian atas untuk mengekalkan kelebaran (width) pasukan. Keberkesanannya yang telah membantu kedua-dua pemain itu menyerlah dan menekan final third lawan hampir setiap masa sepanjang aksi babak pertama.

Syamer Kutty akan kerap turun ke bawah untuk membantu Shahrul Saad dan Khuzaimi Piee (rujuk rajah 2).

Rajah 2 Malaysia Filipina Syamer Kutty Half-Back
Rajah 2 – Kim Pan-gon gemar mulakan serangan dari bawah. Perhatikan kedudukan Syamer Kutty sebagai Half-Back.

Fasa bertahan

Kisah untuk fasa bertahan ini tidaklah melibatkan situasi ketika diserang balas. Fasa bertahan di sini melibatkan ketika lawan sedang cuba mengatur asakan dan kedua-dua wingback sudah turun ke posisi bertahan mereka.

Syamer Kutty akan berada di depan Shahrul Saad dan Khuzaimi Piee untuk membuat screening sebelum lawan memulakan serangan ke kubu Harimau Malaya. Beliau akan menjadi defensive midfielder (rujuk rajah 1).

Fungsinya adalah memberi pelindungan tambahan dan keseimbangan jika rakan di benteng pergi membuat hadangan dan cabaran kepada lawan. Beliau akan memintas segala cubaan lawan untuk membuat hantaran. Beliau juga akan mengisi kekosongan posisi yang ditinggalkan pemain yang pergi menekan pemain Filipina.

Rajah 3 Malaysia Filipina Syamer Kutty fasa bertahan
Rajah 3 – Syamer Kutty melibatkan diri mengasak serangan Filipina dengan 4 benteng pertahanan sudah berada di bawah.

Sekiranya Syamer Kutty melibatkan diri dengan ‘battle’ bukan di posisinya (rujuk rajah 3), pemain tengah lain sama ada Safiq Rahim atau Kogileswaran akan mengisi kekosongan posisinya untuk memastikan kawasan tersebut tidak dieksploitasi oleh Filipina. Jika beliau tewas dalam ‘battle’ itu, pelindungan benteng masih ada.

Transisi bertahan kepada serangan

Perubahan daripada situasi bertahan ke serangan memperlihatkan bagaimana Syamer Kutty perlu memulakan hantaran dari kawasan defensive third ke atas. Beliau perlu melihat untuk membuat hantaran ke koridor kanan atau kiri di mana wingback akan menekan kawasan lawan – antara pentingnya wingback dalam sistem ini.

Defensive midfielder dan wingback diberikan peranan besar dalam sistem yang digunakan oleh Kim Pan-gon.

Boleh dilihat dalam rajah 4, Syamer Kutty yang memiliki kawalan bola memilih wingback kiri, Corbin Ong yang bebas tanpa sebarang kawalan untuk memulakan serangan balas ke kubu lawan. Pilihan hantarannya penting kerana hantaran kepada Dion Cools atau Kogilewaran berpotensi untuk dipintas pemain Filipina terlebih dahulu.

Rajah 4 Malaysia Filipina Syamer Kutty Transisi defence ke serangan
Rajah 4 – Transisi daripada bertahan ke serangan di mana Syamer Kutty perlu buat pilihan dan beliau memilih Corbin Ong.

Tugasnya hanyalah membuat hantaran mudah dan tidak perlu terlalu ‘fancy’ atau sukar. Ini kerana, sebarang kesilapan dalam hantaran yang dibuatkan berpotensi akan mendedahkan benteng dalam situasi kurang enak.

Dan situasi ini terjadi sekali di babak kedua yang membolehkan lawan menyerang dan hampir meledak gol.

Transisi serangan kepada bertahan

Peranan pentingnya adalah melengahkan lawan untuk mengatur asakan ke kubu skuad negara tidak kira sama ada beliau membuat hadangan, memintas hantaran atau menutup ruang pemain yang memiliki kawalan bola.

Rajah 5 Malaysia Filipina Syamer Kutty fasa serangan ke bertahan
Rajah 5 – Syamer Kutty mengganggu hantaran sehingga lawan terlepas kawalan bola.

Pasukan akan menjadi sedikit huru hara jika tiba-tiba lawan merampas kawalan bola dan di sini, Syamer Kutty perlu terlebih dahulu melibatkan diri sebagai defensive midfilder. Ini bagi memberi masa kepada rakannya untuk kembali ke posisi masing-masing terutamanya Dion Cools dan Corbin Ong yang sedang ‘bergembira’ di atas.

Untuk ini, Syamer Kutty perlulah bergerak pantas dan bijak menempatkan dirinya ke tempat yang sepatutnya.

Seperti di rajah 5, Syamer Kutty dilihat menyedari hantaran lolos yang dilakukan mampu meruntuhkan benteng Harimau Malaya dengan pantas mengganggu penerima bola tersebut sehingga bola itu terlepas ke kaki bek tengah, Khuzaimi Piee. Juga dapat dilihat kelibat Corbin Ong dan Dion Cools masih belum sempat turun.

Gangguan-gangguan sebegini mampu melengahkan atau terus merampas semula penguasaan bola tersebut.

Penutup

Ini hanyalah sebahagian cerita peranan Half-Back yang dimainkan oleh Syamer Kutty pada aksi tersebut. Kim Pan-gon lebih mengetahui apa arahannya kepada Syamer Kutty dan semua pemain, namun berdasarkan sebahagian rajah-rajah yang diambil daripada perlawanan itu, jelas beliau telah menjalankan tugasnya.

Mengkritik beliau seperti tiada sumbangan kepada Harimau Malaya adalah sesuatu yang agak keterlaluan kerana semua pemain ada peranan di dalam padang. Dan sememangnya posisinya paling tidak popular.

Peranan defensive midfielder atau half-back yang digerakkan Syamer Kutty sepanjang perlawanan juga antara sebab benteng skuad negara tidak bocor walaupun tidaklah 100 peratus sempurna selain keberkesanan sistem pertahanan yang ditunjangi gandingan Shahrul Saad dan Khuzaimi Piee termasuk Dion Cools dan Corbin Ong.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN