ANALISIS: Organisasi ‘Defending Set-play’ Terengganu Yang Bermasalah

Terengganu

Selangor mencatatkan kemenangan selesa 3-1 ke atas Terengganu dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2022 di Stadium MBPJ.

Kemenangan ini turut melebarkan rekod tanpa kalah jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe kepada sembilan perlawanan sebaik mengambilalih tugas melatih pasukan The Red Giants daripada Michael Feichtenbeiner.

Terengganu memulakan perlawanan ini dengan baik sehingga berjaya menjaringkan gol pendahuluan menerusi sepakan percuma daripada Kipre Tchetche pada minit ke-18.

Mereka turut mempamerkan organisasi bertahan yang berdisiplin secara 4-4-2 ‘mid-blocks’, dimana fokus utama mereka adalah untuk menutup sebarang opsyen hantaran kepada pemain ‘pivot’ Selangor iaitu Alexander Agyarkwa.

Disiplin bertahan ini turut memaksa Selangor untuk banyak bermain secara terus (direct play), sekali gus menjadikan serangan mereka mudah dijangka.

Namun, meskipun berjaya mengekang kemaraan pasukan lawan menerusi ‘mid-blocks’ yang kompak, namun Terengganu mempamerkan organisasi ‘defending set-play’ dengan longgar apabila melepaskan tiga gol kepada lawan menerusi masalah yang sama serta berulang dalam perlawanan ini.

Struktur bertahan Terengganu ketika situasi sepakan penjuru 

Setiap kali mempertahankan sepakan penjuru, Terengganu akan menyusun struktur bertahan mereka secara ‘3-7’, di mana tiga pemain ditugaskan untuk mengawal kawasan enam ela secara ‘zonal marking’.

Sementara tujuh orang pemain yang lain ditugaskan melakukan ‘man marking’ bagi mengekang kemaraan pemain lawan.

Namun terdapat satu masalah yang berterusan berlaku ketika Terengganu menyusun struktur bertahan mereka ini, apabila mereka kerap membiarkan kawasan ‘back post’ terbuka tanpa sebarang kawalan.

Isu ini kemudiannya berjaya dihidup oleh pemain Selangor yang konsisten mencipta situasi serangan berbahaya sehingga mereka berjaya menjaringkan tiga gol menerusi situasi sepakan penjuru ini.

Gambar di atas menunjukkan struktur bertahan Terengganu sejurus sebelum sepakan penjuru Selangor diambil oleh Mukhairi Ajmal.

Tiga pemain ditugaskan mengawal kawasan enam ela secara ‘zonal marking’, sementara tujuh pemain yang lain akan melakukan tugasan bertahan secara ‘man marking’.

Sebaik sepakan penjuru tersebut diambil, Richmond Ankrah (dalam bulatan) yang dikawal oleh Kpah Sherman melakukan ‘check-in-check-out’, iaitu satu pergerakan tanpa bola bagi melepaskan diri dari kawalan pemain lawan. 

Ia sekali gus membolehkan dirinya menjaringkan gol penyamaan Selangor pada minit ke-37. Namun, perhatikan ruang di bahagian ‘back post’ (dalam bulatan) yang tidak diberikan sebarang kawalan oleh pemain Terengganu ketika mereka mempertahankan situasi bola mati ini.

Kami kongsikan gambaran jelas mengenai situasi di atas menerusi klip video di bawah ini .

Isu ini terus berlanjutan sehingga membolehkan Selangor menjaringkan gol kedua di penghujung separuh masa pertama.

Menerusi situasi yang hampir serupa, Terengganu membiarkan bahagian ‘back post’ mereka terbuka tanpa sebarang kawalan.

Bagi membolehkan penyerang Selangor, Herlison Caion menjaringkan gol kedua dengan mensasarkan ruang yang terbuka di bahagian ‘back post’ tersebut’.

Memasuki babak kedua perlawanan, Terengganu terus dibelenggu dengan isu yang sama, dan ianya dihukum oleh pemain pertahanan Selangor, Shahrul Nazeem yang menanduk kemas hantaran daripada Mukhairi menerusi sepakan penjuru pada minit ke-54.

Seperti situasi sepakan penjuru yang telah dua kali merobek gawang mereka di separuh masa pertama, Terengganu menyusun organisasi bertahan mereka dengan struktur ‘3-7’, dan membiarkan bahagian ‘back post’ mereka terbuka tanpa sebarang kawalan.

Nazeem (dalam bulatan) berjaya menghidu ruang yang ditinggalkan Pape Diakite yang memainkan peranan sebagai salah seorang ‘blockers’ utama pasukan Terengganu ketika mempertahankan situasi bola mati.

Ia sekali gus membolehkan dirinya untuk menjaringkan gol ketiga perlawanan dengan mensasarkan ruang yang terbuka di bahagian ‘back post’ Terengganu.

Peluang masih ada untuk Terengganu

Menerusi persembahan yang ditunjukkan oleh Terengganu, peluang untuk mereka mara ke pentas final Piala Malaysia 2022 masih terbuka, memandangkan mereka bakal diiringi sokongan padu penyokong mereka yang bakal membanjiri Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin – 21 November nanti.

Namun, mereka perlu segera memperbaiki isu ‘defending set-play’ yang menghantui mereka dalam perlawanan ini bagi mengelakkan Selangor dari terus melebarkan jurang permainan ketika aksi separuh akhir kedua nanti.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN