Qatar 2022: Jepun Bukan Lagi Pembawa Panji ‘Harapan Asia’?

Piala Dunia 2022 Jepun harapan Asia
  • Pasukan: Jepun
  • Benua: Asia
  • Kali terakhir layak: 2018
  • Pencapaian terbaik: Pusingan 16 terbaik (2002, 2010 dan 2018)

Jepun diletakkan dalam kumpulan sukar dalam kempen Piala Dunia 2022 apabila diundi bersama gergasi, Sepanyol dan Jerman serta Costa Rica.

Seperti mimpi ngeri jika difikirkan bagaimana mereka mahu mengulangi pencapaian pada edisi lalu yang menyaksikan mereka melepasi peringkat kumpulan. Namun, tidak boleh dinafikan peluang kejutan daripada Jepun.

Malah, mereka hampir layak ke suku akhir, namun kebangkitan saat akhir Belgium yang menamatkan kempen di kedudukan ketiga – menoktahkan perjuangan mereka. Mendahului dua gol, Belgium bangkit mengikat kedudukan sebelum meledak gol di minit ke-94 untuk mara ke suku akhir.

Mereka sentiasa menjadi harapan Asia apabila sudah tujuh edisi berturut-turut mara ke Piala Dunia dan tiga kali melangkah ke pusingan 16 terbaik.

Jepun sentiasa jadi Jepun, mudah untuk mara

Sebagai pasukan kedua terbaik dari Asia dalam ranking FIFA, di belakang Iran, Jepun mudah memasuki pusingan terakhir kelayakan bagi Zon Asia – pusingan ketiga dan telah diundi berada dalam Kumpulan B bersama Arab Saudi, Australia, Oman, China dan satu-satunya wakil Asean, Vietnam.

Di pusingan kedua kelayakan, mereka muncul juara Kumpulan F dengan jumlah mata maksimum – menang semua lapan aksi, dengan rekod 46 gol!

Begitupun, kempen mereka bermula dengan kejutan, ditewaskan Oman 0-1 di laman sendiri. Mereka sekali lagi ditimpa malang, tewas 0-1 pula kepada Arab Saudi dalam aksi ketiga kumpulan. Jika ini terjadi kepada pasukan lain, sudah tentunya kedudukan pengendali, Hajime Moriyasu akan tergugat.

Beliau berdepan kritikan demi kritikan dan desakan meletak jawatan, namun masih optimis dengan kemampuan skuad ‘Samurai Biru’ untuk layak.

Mereka bangkit daripada dua kekecewaan itu dengan merekodkan enam kemenangan berturut-turut seterusnya meraih tiket untuk ke Piala Dunia.

Persediaan yang teliti dan perpaduan di kalangan semua yang terlibat adalah kunci bagi Jepun,” komen Moriyasu tentang kebangkitan ajaib mereka.

Peluang Minamino bangkit dari kekecewaannya

Bekas pemain Liverpool, Takumi Minamino menjadi tumpuan untuk skuad ini. Walaupun melalui musim sukar dan bergelut selepas meninggalkan ‘The Reds pada musim 2020, prestasinya bersama skuad kebangsaan masih di landasan yang baik – meledak sembilan gol di pusingan kedua kelayakan.

Jika Jepun menjadi harapan Asia, Minamino menjadi harapan penyokong Jepun untuk beliau segera bangkit mempamerkan ketajamannya semula.

Di AS Monaco, beliau masih bergelut dengan prestasi. Namun, beliau tetap mendapat kepercayaan daripada Pengarah Sukan kelab, Paul Mitchell.

Selain itu, tonggak pertahanan Arsenal, Takehiro Tomiyasu turut dijangka mampu menyinar disebalik penampilan sulungnya di pentas Piala Dunia.

Tampil 21 kali bersama Arsenal musim lalu, Tomiyasu terus menjadi pemain pilihan Mikel Arteta dalam misi merangkul kejuaraan Premier League musim ini. Boleh bermain sebagai bek sayap dan bek tengah, beliau akan menjadi aset terpenting buat Moriyasu dan Jepun di Qatar nanti.

Jepun perlukan ‘teko’ ajaib barangkali?

Bercakap tentang peluang, hanya keajaiban mampu membawa mereka melepasi peringkat kumpulan kali ini. Sepanyol dan Jerman akan menjadi halangan terbesar mereka dalam usaha untuk mengulangi pencapaian empat tahun lalu. Mampukah mereka melepasi tentangan dua gergasi?

Ada sesiapa yang boleh bantu mereka dengan memberikan ‘teko’ ajaib?

Mungkin Jepun bukan lagi sandaran Asia untuk melangkah lebih jauh, tetapi dalam bola sepak, bak kata Aidil Sharin Sahak, “Apa sahaja boleh berlaku.

Adakah kita akan menaruh sepenuh harapan kepada Korea Selatan kali ini?

Tetapi harus diingat, Jepun terkenal dengan kerja keras dan fokus mereka. Jika tidak, mana mungkin di saat dihentam kiri dan kanan saat ‘terduduk’ di awal pusingan kelayakan, mereka mampu bangkit dengan ajaibnya. Empat tahun lalu, Belgium juga nyaris menjadi ‘santapan’ keampuhan mereka.

Taktikal ‘Parking Bus’ bukanlah gaya Jepun, jadi kita akan dapat melihat pertukaran hantaran pantas dan larian-larian deras daripada pemain-pemain ‘Samurai Biru’ di Piala Dunia nanti. Moriyasu selalu menggunakan empat pertahanan dan penyerang tunggal dalam formasi taktikalnya dengan 4-2-3-1 atau 4-1-4-1 sentiasa menjadi pilihan persembahannya.

Harapan Asia masih terletak di bahu Jepun? Sama-sama kita nantikannya!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN