Selangor FC tewas 0-2 kepada Terengganu FC dalam aksi minggu ke-6 Liga Super dan semua mata pasti tertumpu kepada kelemahan ketara pelawat terutamanya di posisi bek kanan yang diterajui Quentin Cheng.
Michael Feichtenbeiner mungkin runsing jika Selangor FC diratah Terengganu FC dalam aksi malam tadi, namun mujur buat mereka apabila kecemerlangan Khairulazhan Khalid berjaya menyelamatkan mereka.
Kebijakkan Nafuzi Zain untuk ambil peluang kelincahan Hakimi Abdullah dalam 15 minit terakhir juga hampir memusnahkan Selangor secara total. Selangor seharusnya berterima kasih kepada Khairulazhan Khalid yang menafikan banyak peluang tuan rumah yang nampak amat bernafsu walaupun ketiadaan Kpah Sherman.
Kpah Sherman yang merupakan penjaring utama dalam dua aksi sebelum ini digantung perlawanan akibat layangan kad merah yang diterimanya di Kuching dalam aksi berdepan Sarawak United, pada minggu lalu.
Tanpa Kpah Sherman, Terengganu bermula dengan Kipre Tchetche sebagai penggempur utama yang turut dilantik kapten pasukan. Beliau dibantu oleh dua pemain sayap menyerang, Faisal Halim dan Syafik Ismail.
Dalam formasi 4-3-3 itu, Nafuzi Zain menggunakan ‘enjin’ import untuk menggerakan pasukannya apabila gandingan trio Habib Haroon, Luke Woodland dan Manuel Ott digunakan. Ia berjaya menafikan penguasaan kawasan middle third oleh pelawat dan turut membantu Terengganu untuk lebih mengancam kubu lawan.
Di benteng, rasanya mungkin ini gandingan terbaik mereka dengan kembalinya Rahadiazli Rahalim untuk aksi ketiganya musim ini – selepas ‘hilang’ semusim, selain gandingan Pape Diakite, Shahrul Nizam, Azam Azmi dan Arif Fadzilah. Kembalinya Pape Diakite untuk dua aksi terakhir ini menyaksikan Terengganu ‘kebal’ tidak dibolosi.
Tiada masalah dalam sistem permainan Terengganu. Mereka lebih gemar menyerang menggunakan sisi sebelah kiri yang digerakkan Faisal Halim. Beliau adalah playmaker dengan sentiasa akan menjadi sasaran untuk menjadi penerima bola dalam setiap asakan yang dibina. Namun, penyudah mereka agak tumpul.
The Red Giants turun dengan formasi yang sama iaitu 4-3-3 serta menggunakan ‘enjin’ import di tengah dengan gandingan Alex Agyarkwa, Hein Htet Aung dan kapten, Baha’ Abdelrahman. Tetapi ketiga-tiga pemain ini gagal untuk menguasai jentera tengah buat pasukan pelawat apabila kelihatan bukan formasi ini yang digunakan.
Mukhairi Ajmal dilihat turut berada di ‘enjin’ pasukan dan adakalanya seperti membentuk gandingan bersama Hein Htet Aung untuk menjadikan Selangor seolah-olah bermain dengan dua penyerang iaitu Caion dan Shahrel Fikri. Mukhairi Ajmal diberi kebebasan. Sementara Baha’ Abdelrahman pula akan turun sebagai half-back.
Empat pemain yang membentuk benteng Selangor malam itu adalah Sharul Nazeem, Yazan Al-Arab, Quentin Cheng dan Fazly Mazlan dan tentunya Khairulazhan Khalid – yang tidak pernah tergugat posisi nombor satunya walaupun Selangor kini memiliki Sam Somerville yang tampil cemerlang bersama Penang FC pada musim lalu.
Namun, Quentin Cheng dan Fazly Mazlan dilihat lebih banyak berada di atas untuk membantu jentera serangan.
Jentera serangan mungkin yang sedikit memeningkan Michael Feichtenbeiner. Walaupun memiliki Caion yang cemerlang setakat ini – meledak lapan gol dalam semua kejohanan musim ini, namun masih tiada gandingan terbaik yang mampu dirumuskannya bersama Caion. Shahrel Fikri masih ditaruhkan bergandingan bersamanya.
Begitupun, Selangor hanya menampilkan aksi menyerang dalam 15 minit awal di setiap babak sebelum ‘terbuai’.
Peluang Selangor hadir seawal enam minit pertama menerusi dua peluang tetapi ia gagal dimanfaatkan Caion dan Fazly Mazlan. Walaupun tampak memiliki gerakan-gerakan yang baik, tetapi ia tidak mampu disudahkan dengan percubaan berbahaya mahupun tepat. Ia bukan hanya masalah buat mereka tetapi juga Terengganu.
Faisal Halim ternyata berbahaya jika dibiarkan bersama bola di kawasan berdekatan kotak penalti dan Quentin Cheng telah dilihat tidak memintasnya lebih awal membolehkan pemain itu memanfaatkan dengan jaringan trademark-nya di minit ke-20. Seharusnya Selangor atau Quentin Cheng lebih bersedia berdepan dengannya.
Mungkin itu asbab utama beliau ditukarkan di permulaan babak kedua iaitu beberapa kesilapannya sama ada ketika bertahan atau menyerang. Hantarannya juga adakalanya tersekat kepada pemain lawan menyaksikan Michael Feichtenbeiner membuat pertukaran segera dengan kemasukkan Zikri Khalili menggantikannya.
Ia tidak menyelesaikan sepenuhnya masalah pelawat apabila ketiadaan Faisal Halim yang dikeluarkan pada minit ke-39 akibat kecederaan ditampung baik oleh Syafik Ismail. Tetapi kombinasinya bersama Kipre Tchetche kurang menjadi dan adakalanya dikecewakan dengan ketumpulan penyudah yang dilakukan ke gawang lawan.
Kipre Tchetche gagal memberi impak berkesan dalam membuat cubaan berbahaya pada awalnya sehingga selepas kemasukkan Hakimi Abdullah yang seakan-akan memberi nyawa buatnya. Beliau lebih berbahaya menuju 15 minit terakhir dengan memiliki peluang terbaik untuk meledak jaringan keduanya di minit ke-80.
Kemasukkan Hakimi Abdullah menyelesaikan masalah kombinasi di jentera serangan. Beliau berjaya mengucar-kacirkan benteng lawan dengan kelincahannya. Beberapa hantaran dan percubaannya hampir memberikan gol tambahan. Tetapi masalah penyudah selain ketangkasan Khairulazhan Khalid telah menjadi batu penghalang.
Quentin Cheng dan Zikri Khalili boleh dikatakan gagal memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini. Mujur penjaga gol mereka telah melakukan tugasan yang baik selain ketumpulan jentera serangan lawan biarpun kerap kali telah berjaya memecah blok pertahanan The Red Giants terutama sekali di sebelah kanan mereka.
Selangor boleh diratah Terengganu biarpun Michael Feichtenbeiner telah cuba memperbaiki dengan menukar pemain di posisi tersebut. Kelincahan Faisal Halim diteruskan Syafik Ismail dan seterusnya diakhiri dengan Hakimi Abdullah berjaya mengekspoitasi kekurangan dan kelemahan lawan terutamanya di koridor kanan.