ANALISIS: Kombinasi Klasik Haaland-De Bruyne Bantu City ‘Laukkan’ Arsenal

Man City

Manchester City (Man City) mempamerkan persembahan luar biasa apabila mereka membenam pasukan yang dicanang sebagai bakal juara Premier League (EPL) iaitu Arsenal dengan jaringan 4-1 di Stadium Etihad.

Kemenangan besar ini sekaligus memberikan kelebihan buat The Cityzen untuk mengekalkan kejuaraan liga, apabila mereka berjaya merapatkan jurang kepada 2 mata, namun beraksi kurang dua perlawanan berbanding Arsenal.

Kualiti pemain-pemain Man City dari segi teknikal dan taktikal jelas berada dalam kelas tersendiri berbanding pemain lawan, dan faktor ini membolehkan mereka melaksanakan pelan taktikal yang dimahukan Pep Guardiola dengan berkesan.

Guardiola jelas mahu mengeksplotasi kualiti pemainnya yang begitu selesa mengawal penguasaan bola meskipun bermain di bawah tekanan, sekali gus membolehkan Man City untuk menyusun gerakan serangan mereka dengan ‘menjemput’ pasukan lawan untuk mengenakan high-pressing sebelum mereka mengeksplotasi ruang yang ditinggalkan lawan apabila garisan permainan dinaikkan.

Struktur binaan serangan Man City

Man City yang memulakan permainan ini dengan sistem 4-2-3-1 mengekalkan struktur yang sama ketika berada dalam fasa serangan.

Namun, terdapat sedikit kelainan dari segi binaan serangan Man City (build-up play) bagi menghadapi blok tinggi Arsenal dalam perlawanan ini, iaitu pemain-pemain mereka dengan ‘sengaja’ menjemput tekanan tinggi daripada pemain lawan bagi mengeksploitasi Arsenal setiap kali mereka menaikkan garisan permainan.

Gambar di atas merupakan detik awal sebelum jaringan pertama Man City terhasil. Organisasi serangan ini dimulakan dengan tindakan kedua-dua pemain ‘centre back’ mereka untuk ‘spread out’ bagi mencarikkan garisan tekanan pertama Arsenal, dan ianya akan disokong oleh ‘double pivot’ yang disediakan oleh gandingan Rodri-Ilkay Gundogan.

Kedua-dua pemain fullback pula akan bermula di bahagian ‘deep’, sekali gus mendorong pemain-pemain Arsenal untuk melakukan ‘high blocks’ ke atas mereka.

Ederson (dalam bulatan) menerima hantaran daripada Ruben Dias, sebelum penjaga gol Man City tersebut melakukan hantaran susulan kepada seorang lagi pemain ‘centre backs’ pasukan, iaitu John Stones.

Tindakan ini menjadi isyarat serta petanda kepada pemain Arsenal untuk melakukan tekanan tinggi bagi mengganggu kelancaran binaan serangan City.

Man City cenderung bermain secara langsung (direct)

Kualiti pemain-pemain pertahanan Man City yang mampu memainkan peranan sebagai ‘ball-playing defenders’ kerap membantu mereka untuk melepasi tekanan tinggi pasukan lawan dengan lebih pantas.

Sebaik menerima hantaran daripada Ederson, Stones melakukan hantaran secara ‘vertical’ bagi melepasi garisan tekanan Arsenal dengan pantas.

Kombinasi klasik Haaland-De Bruyne

Gerakan serangan ini disempurnakan oleh kombinasi ‘hold and link-up play’ yang dimainkan oleh Erling Haaland dan Kevin De Bruyne, yang masing-masing memainkan peranan ‘traditional number 9’ dan ‘number 10’ bagi melancarkan serangan pantas pasukan.

Pendekatan taktikal ini juga merupakan konsep yang sama seperti kombinasi ‘big striker-small striker’ seperti yang dimainkan oleh pasukan Inter Milan menerusi gandingan Romelu Lukaku dan Lautaro Martinez ketika di bawah era pengurusan Antonio Conte.

Sebaik hantaran jauh Stones berjaya menemui Haaland, kedudukan badan penggempur sensai Man City ini berada dalam keadaan membelakangkan gol pasukan lawan, dan beliau turut diberikan tekanan daripada pemain pertahanan lawan.

Namun, kelebihan dari segi fizikal dan kualiti (qualitative superiorities) yang dimiliki oleh Haaland membolehkan beliau melakukan hantaran secara ‘lay-off pass’ kepada De Bruyne yang telah pun menyerang bukaan ruang yang tercipta ketika pemain Arsenal cuba mengekang penyerang Norway itu.

Ia sekali gus membantu pemain tengah Belgium ini untuk memulakan pesta ‘rumah terbuka’ Man City.

Arsenal hanya boleh salahkan diri sendiri

Kemennangan besar ini menjadi isyarat jelas bahawa Man City enggan melepaskan kejuaraan liga kepada Arsenal musim ini.

Arsenal seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal mempamerkan konsistensi apabila kerap tercicir mata secara sia-sia sebelum perlawanan menentang Man City ini berlangsung.

Faktor ‘squad depth’ juga turut menjadi garis pemisah antara kedua-dua pasukan dalam mengharungi kempen liga pada musim ini. Namun, Arsenal tetap berpeluang untuk merangkul kejuaraan liga sekiranya Man City tercicir mata dalam baki perlawanan liga yang akan datang.

Meskipun tampak sukar, namun ianya tidak mustahil.

Leave a Reply