Analisis: Kelab EPL Manakah Paling Berjaya Aplikasikan Taktikal Pressing?

Apa makna terma ‘Pressing’ dalam bola sepak? Terjemahan langsungnya ialah ‘memberikan tekanan’ kepada pihak lawan yang memiliki penguasaan bola.

Ia adalah untuk memenangi atau merampas semula penguasaan bola – membolehkan transisi daripada bertahan ditukar kepada menyerang.

Dalam bola sepak moden ia adalah antara taktikal pilihan utama pengurus. Ia dilakukan secara sama ada secara agresif ataupun tidak terlalu agresif.

Tujuan utama adalah untuk merosakan build up dari bawah oleh pasukan lawan sebelum ia berkembang atau mara lebih jauh.

Taktikal ini kerap diaplikasikan dan ketara ketika pemain mengenakan tekanan yang agresif kepada pemain pertahanan atau penjaga gol lawan. Contohnya gambar di bawah: Dembele (Tottenham Hotspur) menekan penjaga gol lawan.

Aspek penting ‘pressing’

Idea di sebalik taktikal pressing adalah ‘penguasaan bola itu tidak penting’. Dalam  melakukan pressing, detik paling penting ialah detik ketika pasukan anda kehilangan bola.

Dalam melakukan pressing, pasukan anda akan memberi tekanan secara berkumpulan kepada pemain lawan yang mempunyai bola.

Pressing dalam bola sepak Inggeris

Sejak beberapa tahun yang lalu, taktikal pressing telah menjadi salah satu topik hangat di EPL.

Jurgen Klopp tiba di Anfield dan memperkenalkan gegenpressing dari Bundesliga. Mauricio Pochettino terkenal dengan taktik high press beliau di Tottenham Hotspur.

Manakala di Etihad Pep Guardiola mendedahkan ‘peraturan 6 saat’, yang mengarahkan pemain beliau harus menekan pemain lawan dalam tempoh masa kurang dari 6 saat selepas kehilangan bola, sebelum mengatur kembali barisan pertahanan.

Kaedah yang diguna pakai di Manchester City adalah methologi yang sememangnya sinonim dengan falsafah bola sepak pengurus berasal dari Catalan itu.

Namun demikian, kelab EPL manakah yang menunjukkan kemampuan terbaik melakukan pressing?

Kajian understat.com

Untuk ini, kita melihat data dan statistik yang disediakan oleh understat.com.

Statistik ini melihat kepada jumlah hantaran di kalangan pemain sesebuah pasukan yang bertahan di kawasan sendiri sehingga penguasaan bola dimenangi melalui tindakan bertahan (defensive action) seperti pintasan, ataupun hadangan , sehingga penguasaan diambil alih oleh pemain lawan.

Di dalam bola sepak, peringkat permulaan serangan biasanya dimulakan dari bahagian pertahanan. Oleh itu, pressing dilakukan untuk menghalang lawan memulakan serangan.

Maka dalam kajian yang dinyatakan di atas, semakin sedikit hantaran di kalangan pemain sesebuah pasukan di kawasan permainan mereka sendiri sebelum tindakan bertahan berjaya dilakukan oleh lawan, maka ini bermakna pasukan lawan tersebut mengamalkan tindakan pressing yang lebih efektif.

Jumlah hantaran sebelum dihalang oleh pemain lawan ini ditandakan sebagai PPDA. Graf di bawah adalah purata PPDA 10 pasukan di EPL.

Sumber: Football Whisper dan understat.com

Tatkala ramai bertanggapan Klopp sebagai pakar dalam melakukan pressing dalam tatikal beliau, Liverpool adalah pasukan ke-5 jika carta di atas dijadikan rujukan.

Graf ini sekaligus menunjukkan perubahan permainan Liverpool sejak era Klopp. Walaupun pressing menjadi asas utama permainan, Liverpool turut bersandarkan kepada penguasaan bola sebagai asas permainan mereka.

Sepertimana kemenangan Liverpool ke atas Manchester City dua minggu yang lalu, Klopp membuktikan pasukan kendaliannya mampu melakukan taktikal presssing pada bila-bila masa, jika keadaan memerlukan.

Mari kita melihat skuad kendalian Guardiola. Setakat ini Manchester City adalah pasukan paling berjaya dalam taktikal pressing di saingan EPL.

(Photo by David Price/Arsenal FC via Getty Images)

Secara keseluruhan, mereka hanya membenarkan 5.94 hantaran oleh pasukan lawan, sebelum merampas kembali penguasaan bola. Ia menampilkan keberkesanan peraturan 6 saat yang diperkenalkan oleh Guardiola.

Namun dari segi hasil akhir, Liverpool kekal mencatatkan keputusan lebih baik setelah menghasilkan 8 gol hasil serangan balas pantas selepas memenangi bola.

Jaringan yang merupakan produk akhir yang dimiliki oleh Liverpool juga lebih dari Tottenham Hotspur yang menghasilkan 5 gol, juga berada di kedudukan kedua di graf PPDA dengan 7.7 purata hantaran kepada lawan.

(Photo by Shaun Brooks/Action Plus via Getty Images)

Manchester City walaupun mempunyai purata PPDA paling baik di kalangan semua kelab Inggeris, hanya menghasilkan 2 gol setakat ini melalui serangan balas pantas selepas berjaya melakukan pressing.

Ini adalah kerana Guardiola mementingkan kaedah yang lebih konstruktif ketika pasukan berada di fasa serangan, menuntut bola dihantar di bahagian tengah pasukan lawan untuk merosakkan keseimbangan pertahanan lawan, sebelum mengeksplotasi kelemahan struktur lawan.

Di kalangan 6 kelab utama di EPL, Manchester United dan Chelsea adalah pasukan yang dianggap sederhana di dalam melakukan pressing.

Struktur pertahanan United

Jose Mourinho lebih gemar melakukan aksi bertahan di bahagian blok rendah di kawasan pertahanan sendiri, sebelum merampas penguasaan bola dan membina serangan.

Manakala purata PPDA 11.67 adalah catatan purata yang sama seperti musim lalu ketika mereka bergelar juara EPL, membuktikan pressing bukan satu-satunya kaedah untuk berjaya.

Rumuan

Manchester City kini terus mendominasi statistik pressing dan juga penguasaan bola di dalam EPL.

Jika mereka bergelar juara EPL pada Mei nanti, mereka hanya membuktikan, kejayaan boleh dicapai dengan campuran taktikal bola sepak berasaskan taktikal pressing dan juga penguasaan bola, sekaligus menghasilkan corak permainan baru yang menarik.

Juara dengan berjaya. Mampukan Manchester City?

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN