Kali ini kami membentangkan analisis formasi yang digunakan dalam MSL 2018 sehingga perlawanan ke-4.
Secara keseluruhannya ada 8 formasi utama digunakan oleh 12 pasukan dalam MSL 2018. Jadi ada 48 formasi utama digunakan di dalam MSL 2018.
Formasi utama yang kami maksudkan adalah formasi yang digunakan pada permulaan perlawanan. Jadi berikut adalah analisis kami.
4-3-3 paling popular
Jika anda menyatakan bahawa Liga Malaysia adalah Liga 4-4-2, anda tersilap. 4-3-3 adalah formasi yang paling banyak digunakan setakat ini. Ianya telah digunakan sebanyak 16 kali daripada 48 formasi utama.
Ini bersamaan dengan 33% daripada penggunaan formasi setakat ini adalah dengan 4-3-3. Ianya jauh meninggalkan formasi 4-4-2 yang hanya digunakan 15% setakat ini. Formasi 4-4-2 adalah formasi ke-3 popular di MSL sehingga LS4.
JDT dan Terengganu adalah 2 pasukan yang konsisten dengan formasi 4-3-3 setakat ini. Manakala untuk 4-4-2, PKNP FC muncul pasukan pengguna utama formasi ini.
Di tempat kedua adalah formasi 4-4-1-1. Ia digunakan sebanyak 9 kali ataupun 19% setakat ini. Sistem ini adalah menggunakan pemain penyerang kedua, ataupun no.10 di belakang penyerang utama. Perak adalah pasukan yang paling banyak menggunakan fomasi ini sebanyak 3 kali. Wander Luiz bermain di belakang Gilmar.
4-2-3-1 di tangga ke-4 dengan 10% digunakan dalam MSL setakat ini. Kedah yang dianggap pasukan yang merevolusikan 4-2-3-1 moden sebelum ini juga seakan-akan sudah mulai beralih kepada 4-3-3.
4-1-4-1 di tangga ke-5 dengan hanya 8% digunakan setakat ini. Tiada pasukan yang benar-benar konsisten menggunakan formasi ini setakat ini.
Formasi defensif 4-5-1 pula hanya digunakan sebanyak 6%. Angka yang sama dengan formasi 3-4-3. Negeri Sembilan 2 kali menggunakan 4-5-1. Manakala K.Lumpur sekali menggunakannya.
Formasi 5-3-2, digunakan sekali musim ini oleh Selangor. Ratio ia digunakan adalah 5%. Selangor juga menggunakan 3-4-3 sebanyak 3 kali. Selangor adalah satu-satunya pasukan yang konsisten bertahan dengan rantaian berlima, sama ada daripada 3-4-3 ataupun 5-3-2.
Paling kerap berubah
Kekerapan berubah ini bukan merujuk kepada jenis formasi digunakan. Sebagai contoh, Pasukan A menggunakan 4-3-3 dalam perlawanan pertama dan bertukar kepada 4-4-2 dalam perlawanan ke-2. Mereka kembali dengan 4-3-3 dalam perlawanan ke-3.
Ini bermakna, pasukan A melakukan 2 perubahan formasi daripada 3 jenis formasi.
Negeri Sembilan menukar formasi mereka sebanyak 3 kali daripada 4 perlawanan setakat ini.
Kedah, PKNS FC, Pahang, Selangor, dan Melaka melakukan 2 kali perubahan dalam taktikal mereka.
Perak, Kelantan dan PKNP hanya sekali berubah formasi asas mereka musim ini.
JDT dan Terengganu adalah pasukan yang konsisten dengan 4-3-3.
Rumusan
Secara umumnya, masih banyak pasukan tercari-cari formasi utama mereka. Sebanyak 37.5% perubahan formasi secara purata dilakukan oleh pasukan dalam MSL 2018 sehingga LS4.
Perkara ini biasa berlaku dalam mana-mana liga. Namun kami jangkakan selepas perlawanan ke-6, banyak pasukan akan mengenalpasti formasi utama dan sekunder serta tertier mereka selepas ini.
Itu sangat penting. Lihat sahaja pasukan JDT dan Terengganu yang sudah mengenalpasti formasi utama mereka, 2 pasukan ini berada di 2 teratas setakat ini. Selangor sudah ada formasi konsisten namun mereka masih dalam proses membentuk pasukan dengan kehadiran muka baru.
Untuk pasukan seperti Kedah, kita masih menunggu sama ada mereka akan terus dengan 4-3-3, begitu juga dengan pasukan Pahang yang dilihat sudah selesa dengan 4-4-2 dengan adanya target man.