Analisis: 4 Perkara Daripada Sistem ‘False 9’ 4-3-3 Ernesto Valverde Yang Mampu Revolusikan Barcelona

Pada ketika Paris Saint-Germain (PSG) mengumumkan ketibaan pemain termahal dunia Neymar Jr. di Parc des Princes, satu persoalanan menyelubungi pemerhati bola sepak dan penyokong Barcelona:

“Apakah yang akan terjadi dengan Barcelona?”

Terlepas gelaran La Liga kepada Real Madrid dan disingkirkan oleh Juventus di peringkat suku akhir UEFA Champions League, Barcelona hanya mempunyai Copa del Rey untuk dimegahkan pada musim lalu.

Untuk pasukan seperti Barcelona, ia adalah pencapaian dan musim yang suram. Real Madrid lantas menjadi perbandingan sebagai kuasa bola sepak yang lebih dominan dari Sepanyol.

Ia tidak dibantu dengan  pemergian Neymar. Pemain ini dianggap sebagai pengganti kepada Messi dalam pemburuan gelaran pemain terbaik dunia pada masa akan datang.

Krisis di Nou Camp mulai diperkatakan.

Tunggu dulu. Kerana selepas 3 perlawanan La Liga, Barcelona seperti mulai mendapat nafas baharu yang mereka sangat perlukan untuk menempuh musim ini seperti gemilang silam.

Mungkinkah dunia terlalu cepat mengadili laluan Barcelona dan Ernesto Valverde? Artikel kali ini membawakan kepada anda 4 perkara yang diinspirasikan oleh Valverde dalam usaha beliau merevolusikan gergasi Catalan itu.

1. Peranan ‘hybrid’ Luis Suarez dan ‘False 9’ 

Sudah semestinya Ernesto Valverde boleh menarik nafas lega dengan kembalinya Luis Suarez. Pemain berjersi No.9 ini membuktikan dirinya antara penyerang paling berbahaya di dunia sejak menyertai kelab Catalan itu.

Namun begitu, Luis Suarez perlu bekerja keras untuk mengubah corak permainannya sesuai dengan taktikal yang diperkenalkan oleh Valverde.

(Photo by Shot for Press/Action Plus via Getty Images)

Di dalam sistem 4-3-3 beintegrasikan ‘False 9’ yang diperkenalkan oleh Valverde, Suarez memainkan peranan sebagai pemain ‘hybrid’ sayap kiri menyerang.

Analisa ini tidak mengatakan Suarez bermain buruk dalam penampilannya bersama Barcelona di dalam sistem ini.

Namun berdasarkan perlawanan menentang Espanyol, Suarez perlu merevolusikan paranan No.9 yang digendongnya sebelum ini.

Sebagai pemain hybrid, Suarez perlu kerap bergerak ke zon tengah menyerang pada ketika Messi turun ke bahagian tengah. Di situlah kekuatan utama penyerang antarabangsa Uruguay ini.

(Photo by Miquel Llop/NurPhoto via Getty Images)

Ini dibuktikan apabila Suarez berjaya menjaringkan gol apabila menyempurnakan hantaran Ousmana Dembele pada minit akhir perlawanan menentang Espanyol.

Namun berperanan sebagai ‘hybrid wing-forward’, Suarez perlu lebih fleksibel dalam gerak kerjanya.

Jika Valverde terus memilih sistem ini untuk Barcelona, maka Suarez perlu membuktikan dirinya adalah pemain yang fleksibel secepat mungkin.

Suarez akan menjadi lebih baik sepanjang musim ini di bawah sistem baharu ini, dan kami tidak meraguinya.

2. Kemunculan semula Ivan Rakitic?

12 bulan lalu adalah antara tempoh paling sukar buat perancang tengah dari Croatia ini. Kehadiran Rakitic di Barcelona dilihat seperti satu kegagalan.

Kekeliruan dengan sistem yang diterapkan oleh Luis Enrique? Mungkin.

Namun demikian Ernesto Valverde seperti sudah mengembalikan Rakitic dalam sistem ‘False 9’ ini. Untuk ini, Rakitic harus berterima kasih atas sumbangan Nelson Samedo di sebelah kanan pertahanan dan serangan Barcelona.

(Photo by Urbanandsport/NurPhoto via Getty Images)

Kehadiran Samedo bukan sahaja memberi kestabilan di bahagian kanan pertahanan gergasi Catalan itu. Lebih daripada itu, Nelson Samedo turut membantu mengisi kekosongan di bahagian sayap kanan Barcelona ketika melakukan larian menyerang.

Ini membenarkan Rakitic memberi fokus di bahagian tengah bertiga formasi 4-3-3 Valverde.

Ketiadaan pemain No.9 di hadapannya, membenarkan Rakitic untuk beraksi lebih ke hadapan ketika menyerang- peranan yang sama ketika Rakitic beraksi sebagai pemain No.10 ketika bersama Sevilla.

Sistem baharu Valverde membuatkan Rakitic lebih mudah mencari Messi ketika menghantar bola.

(Photo by Urbanandsport/NurPhoto via Getty Images)

Ketajaman visi yang dimiliki oleh Rakitic menjadi punca kepada gol pertama Barcelona apabila hantaran mautnya berjaya melepasi perangkap offsaid Espanyol sebelum disudahkan oleh Messi.

Rakitic terus menyerlah di dalam perlawanan menentang Espanyol apabila permainan satu-dua bersama Messi selepas itu hampir membuahkan hasil.

Rakitic turut berjaya menghasilkan satu lagi bantuan gol apabila sepakan penjurunya disudahkan oleh Gerrard Pique untuk gol ke-4 Barcelona.

3.  Ousmane Dembélé tepati sistem dan citarasa Valverde 

Posisi sayap kanan yang membenarkan Rakitic bekerja dengan bebas di bahagian tengah dalam perlawanan menentang Espanyol diisi oleh Gerrard Deulofeu pada mulanya.

Anak jati Catalan itu menjalankan tugas dengan baik, memberikan masalah kepada pertahanan Espanyol sepanjang perlawanan di sebelah sisi kanan bahagian serangan Barcelona.

(Photo by Manuel Queimadelos Alonso/Getty Images)

Bagaimanapun, ia adalah jelas Deulofeu akan bertindak sebagai pemain pilihan kedua di posisi tersebut.

Posisi sayap kanan tersebut hampir pasti akan diisi oleh pemain bernilai €105 juta yang tiba daripada Borussia Dortmund, Ousmane Dembele.

Pemain antarabangsa Perancis itu beraksi selama 22 minit dalam penampilan sulungnya di Nou Camp dan menunjukkan kualiti yang menyebabkan Valverde menagih kehadirannya selepas pemergian Neymar.

(Photo by Urbanandsport/NurPhoto via Getty Images)

Dembele menampilkan kawalan yang baik dan tajam dalam larian dengan dan tanpa bola di posisi sebelah kanan Barcelona. Ia disudahkan dengan satu bantuan gol buat Luis Suarez pada minit akhir perlawanan.

Sistem ‘False 9’ 4-3-3 Ernesto Valverde memerlukan seorang pemain sayap yang mempunyai kebolehan teknikal dengan bola, menekan pertahanan lawan, mencipta dan juga menjaringkan gol.

Sebagai seorang pemain, bukan sahaja Ousmana Dembele memenuhi profil pamain sebegitu. Malah Dembele mengadunnya dengan kepantasan dan kelincahan yang pasti memberi masalah kepada mana-mana pertahanan lawan selepas ini.

4. Philippe Coutinho bukan pengganti Neymar

Jika prestasi perlawanan berdasarkan 3 perlawanan La Liga menjadi ukuran, maka jelaslah sebab mengapa Ernesto Valverde begitu inginkan perancang tengah dari Liverpool, Philippe Coutinho di dalam pasukannya.

Satu perkara yang jelas ialah Coutinho bukanlah pengganti untuk Neymar yang mengambil keputusan untuk ke Paris Saint-Germain pada jendela perpindahan yang lalu.

Valverde jelas sudah menkaji kelemahan Barcelona dan mengambil tahu bahagian yang perlu diperbaiki ketika mengambil alih jawatan pengendali di Nou Camp.

Salah satunya ialah keupayaan Andres Iniesta yang semakin dimamah usia. Dalam perlawanan menentang Espanyol, tidak banyak yang dilakukan oleh pemain antarabangsa Sepanyol ini.

Walaupun melakukan beberapa hantaran dan umpanan berbahaya untuk Messi dan Suarez, Iniesta sudah tidak punyai tenaga untuk mengasak pertahanan lawan, dan sukar melepaskan diri ketika ditekan lawan.

Iniesta turut melakukan beberapa hantaran tanpa hala tuju sehingga melepaskan bola kepada pihak lawan dalam perlawanan tersebut. Untuk kualiti menyerang pasukan seperti Barcelona, hantaran sedemikian adalah satu pembaziran.

(Photo by Urbanandsport/NurPhoto via Getty Images)

Untuk ulasan yang lebih adil, Iniesta jelas mempunyai tugas yang sukar dalam 3 perlawanan La Liga setakat ini.

Pada ketika Luis Suarez meninggalkan posisi sayap kiri untuk menjelma sebagai ‘False 9’, maka ia terpulang kepada Iniesta dan juga Jordi Alba untuk mengisi ‘width’ yang ditinggalkan oleh Suarez.

Ini bermakna Iniesta mempunyai dwifungsi di dalam sistem yang diperkenalkan oleh Valverde. Pertama, menyerang bahagian half space lawan dari bahagian tengah. Kedua, memberi sokongan di bahagian sayap pasukan.

Untuk corak permainan sebegini, Valverde memerlukan pemain dengan profil seperti Coutinho- bukan pemain sayap sejati, bukan juga pemain tengah semula jadi. Namun masih seorang pemain menyerang berintensiti tinggi.

Photo by Eric Alonso /Action Plus via Getty Images)

Pemain berusia 25 tahun dari Brazil itu menjadi sasaran Barcelona selepas pemergian Naymar ke PSG. Tidak seperti yang dicanang oleh kebanyakkan media yang mengatakan Coutinho adalah pengganti terus kepada Neymar, Valverde melihat Coutinho sebagai pengganti jangka masa panjang kepada Andres Iniesta.

Kegagalan Barcelona untuk meyakinkan Liverpool untuk menjual Coutinho bermakna Valverde terpaksa menggunakan Iniesta dan melihat Andres Gomes atau Carlos Alena sebagai alternatif dalam sistem ‘False 9’ 4-3-3 yang diperkenalkannya.

Maka tidak hairanlah jika Barcelona meneruskan pemburuan terhadap Coutinho pada jendela perpindahan Januari atau musim panas yang akan datang.

Rumusan

Apa pendapat anda? Sesuaikah sistem ‘False 9’ 4-3-3 yang diterapkan oleh Ernesto Valverde di Barcelona buat masa ini?

3 kemenangan daripada 3 perlawanan dan menerajui La Liga dengan 9 mata, ia pasti permulaan yang sangat baik buat Ernesto Valverde dan Barcelona.

Anda punyai pendapat lain? Nyatakan di ruangan komen. Kami mahu mendengar daripada anda.

Sumber:

1. Muhammad Butt, Squawka (2017): Four things we’ve learned so far from Barcelona’s false nine formation under Valverde; http://www.squawka.com/news/four-things-weve-learned-so-far-from-barcelonas-false-nine-formation-under-valverde-analysis/989172#B6XWYb6ReitYiE32.99

2. Kevin McCauley, SB Nation (2017): Lionel Messi hat trick reminds us that it’s not all doom and gloom at Barcelona; https://www.sbnation.com/soccer/2017/9/9/16281420/barcelona-vs-espanyol-2017-la-liga-lionel-messi-hat-trick-highlights

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN