Ada sebab pengurus seperti Eddie Howe dianggap sebagai ‘barang rare’ di dalam bola sepak Inggeris. Ini kerana beliau baru berusia 43 tahun, berbangsa Inggeris dan mempunyai falsafah bola sepak yang mampu menghiburkan penonton.
10 tahun bersama Bournemouth sebelum ini, Howe berjaya menerapkan aspek penguasaan bola yang dinamik di dalam permainan pasukannya walaupun dengan dana yang sangat minima. Bayangkan pula sekiranya Howe berpeluang berbelanja besar di pasaran untuk mendapatkan pemain yang beliau perlukan.
Perkhabaran dari UK mengatakan bekas pengurus dan pemain Bournemouth itu semakin hampir untuk dilantik sebagai pengurus Newcastle United.
Kelab Tyneside itu kini dianggap memiliki segala kekayaan di dunia selepas pengambilalihan oleh konsortium dari Arab Saudi daripada rejim terdahulu, Mike Ashley dilengkapkan pada bulan lalu.
Jika di Bournemouth, Howe terpaksa pasrah dengan siapa sahaja pemain yang dibawa masuk oleh Pengarah Teknikal dan pemilik kelab. Bayangkan jika beliau diberikan kebebasan untuk berbelanja sepenuhnya di St. James’ Park.
Karier kejurulatihan Eddie Howe
Karier di dalam bidang kejurulatihan Eddie Howe bermula pada penghujung Disember 2008 selaku pengurus interim selepas pengendali asal, Jimmy Quin dipecat. Pada 2011, beliau menyertai Burnley selepas kelab itu membayar pampasan untuk mendapatkan khidmat jurulatih muda itu.
Beliau hanya kekal semusim bersama Burnley dan kembali menyertai Bournemouth atas sebab peribadi pada 2012. Dari situ, Howe tidak lagi memandang ke belakang. Beliau berjaya membawa kelab tersebut ke Premier League pada 2015, sehingga beliau meninggalkan kelab tersebut pada Ogos 2020 atas persetujuan bersama.
Newcastle are preparing paperworks and contracts to appoint Eddie Howe as new manager. Deal agreed until 2024, final stages in order to announce the agreement. ⚪️⚫️ #NUFC
Conte & ten Hag were ‘impossible’ targets. Unai Emery refused. Fonseca was in advanced talks then collapsed. pic.twitter.com/MvPL5VcacA
— Fabrizio Romano (@FabrizioRomano) November 5, 2021
Sejak dari itu, Howe tidak terikat dengan mana-mana kelab dan pernah menolak beberapa tawaran, termasuk untuk mengendalikan Celtic di Liga Premier Scotland.
Berdasarkan pengalaman Eddie Howe di Bournemouth, maka kajian penghasilan artikel analisis ini kebanyakkannya diambil ketika tempoh beliau mengendalikan kelab tersebut.
Falsafah bola sepak Eddie Howe
Corak permainan dan arahan kepada pemain amat mudah. Tiada ‘fancy football’ dikehendaki, dan Howe hanya menuntut fokus dan disiplin sebagai sebuah pasukan ketika berada di dalam padang.
Aspek teknikal dan kualiti pemain mungkin mempengaruhi corak permainan yang diterapkan oleh Howe. Tetapi itu bukan keutamaan buat jurulatih ini.
Sebaliknya, Howe mahu setiap pemain beraksi sebagai sebuah unit yang efektif. Kualiti inilah yang menjadikan beliau pilihan sesuai untuk menyelamatkan Newcastle United daripada terjerumus ke Championship pada musim hadapan.
Easy to see why Eddie Howe has comfortably kept Bournemouth up for the 3rd season, whilst still playing attractive football
Big focus on developing his players: "I'm analysing [players like Salah] & teaching our players to make similar runs & have similar patterns of play" #afcb pic.twitter.com/qxWUnDtC9a
— Premier League Panel (@PremLeaguePanel) April 13, 2018
Newcastle masih perlu menunggu jendela perpindahan dibuka untuk berbelanja. Masa juga diperlukan untuk mendapatkan pemain yang benar-benar sesuai dengan keperluan pasukan.
Tanpa nama-nama besar seperti yang dimiliki oleh Mancheter United, Chelsea, Liverpool dan Manchester City sebagai contoh, Howe ketika di Bournemouth boleh dianggap berjaya membentuk sebuah pasukan yang mampu memenangi mana-mana perlawanan mengikut acuan beliau tersendiri.
Itulah perkara yang cuba diulangi oleh pengurusan tertinggi Newcastle United apabila melihat kualiti dimiliki jurulatih ini.
Formasi dan taktikal
Skuad kendalian Howe ketika di Bournemouth mungkin tidak memiliki kualiti yang cukup untuk bermain ‘possesion football’ seperti yang mereka cuba pamerkan. Situasi sama juga kini berlaku di Newcastle.
Namun ia tidak menghalang mereka dari cuba melakukannya dengan corak permainan berpaksikan hantaran menarik. Amat jarang sekali melihat pasukan ini menggunakan permainan ‘long ball’ walaupun tidak memiliki pemain dengan kualiti yang dikehendaki.
Bournemouth di bawah kendalian Howe cenderung mengandalkan sistem 4-4-1-1 yang berubah kepada 4-3-3 atau 4-2-3-1 bergantung kepada taktikal yang diterapkan lawan.
Struktur formasi ini memberi kelebihan kepada taktikal Howe yang memberi keseimbangan dan stabiliti di fasa serangan dan pertahanan.
Asas permainan oleh Howe cukup mudah. Ketika pasukan mempunyai penguasaan bola, fokus ialah kepada kualiti peluang yang dicipta dan bukan kepada kuantiti.
Ketika lawan menguasai bola, arahanya ialah rampas bola secepat mungkin untuk mengelakan lawan mengancam kubu pertahanan.
Namun dalam beberapa perlawanan pada 2017, dan mulai musim 2018/19, Howe turut fleksibel menggunakan sistem 5-3-2 yang boleh berubah kepada 3-5-2.
Untuk memahami fasa taktikal Eddie Howe, ada empat elemen penting yang perlu kita fahami:
1. Gemar menggunakan penyerang kedua
Peranan utama penyerang kedua amat mudah, iaitu untuk menghubungkan bahagian tengah dan juga penyerang.
Di dalam sistem Eddie Howe, penyerang kedua cenderung turun ke bawah (drop deep) untuk mendapatkan bola dari kawasan tengah, dan menggunakan keupayaan teknikal yang dimiliki untuk menewaskan pertahanan lawan, melakukan percubaan atau pun membuka ruang buat rakan yang lain.
Ketika di Bournemouth, Joshua King adalah yang asalnya seorang pemain sayap sebelum dijadikan penyerang kedua oleh Eddie Howe.
Di St. James’ Park, Howe memiliki beberapa pemain yang beliau boleh convert untuk memegang peranan serupa seperti Allan Saint-Maximin, atau Miguel Almiron. Atau Howe boleh sahaja menjadikan Joelinton sebagai pemain yang lebih mobile, beraksi sebagai penyerang kedua di belakang Calum Wilson di dalam sistem tersebut.
2. High pressing
Pressing kini sudah seperti aspek wajib di dalam bola sepak. Semua pasukan dan pemain mampu melakukan pressing. Tetapi bagaimana melakukannya dengan betul adalah satu perkara lain yang adakalanya memakan tuan.
Seperti taktikal bola sepak moden yang lain, Howe turut menerapkan high pressing di dalam sistem permainan Bournemouth.
Setiap kali pemain lawan memiliki bola, pemain terdekat harus melakukan pressing terhadap pemain lawan. Tujuannya ialah untuk memaksa lawan melakukan kesilapan.
Apabila pemain lawan gagal menghantar bola dengan kemas akibat tekanan pemain Bournemouth, di situlah bermulanya giliran bournemouth mula melakukan hantaran-hantaran untuk tujuan serangan.
Ia adalah ideologi Howe ketika beliau mahukan pasukan melakukan tugas bertahan.
Apabila pasukan berjaya memenangi kembali penguasaan bola, ia sekaligus mengurangkan risiko oleh lawan untuk melakukan ancaman.
3. Ancaman dari sayap
Eddie Howe juga adalah seorang jurulatih yang gemar menggerakan serangan pasukannya dari setiap sisi sayap.
Buktinya pada musim 2017/18 (antara musim terbaik Bournemouth di Premier League), dari 45 gol yang dijaringkan oleh Bournemouth, 13 daripadanya adalah hasil bantuan gol dari pemain sayap, atau pun dari posisi bek sayap.
Ini menjelaskan betapa efektifnya Bournemouth beroperasi dari bahagian sayap di fasa serangan, dan bagaimana Howe melakukan penekanan di posisi tersebut untuk menghukum lawan.
Ia bukan perkara menghairankan mengambil kira banyak pasukan pada hari ini gemar meletakkan barisan pertahanan di garis tinggi (high-line). Di dalam situasi ini, mana-mana pasukan dikendalikan Howe cenderung menghukum lawan melalui gerak serangan balas pantas (counter-attack).
Perkara ini boleh dimanfaatkan oleh pemain sayap dan mereka yang mempunyai kepantasan di dalam skuad Newcastle United seperti Ryan Fraser, yang merupakan pemain penting di dalam sistem tersebut ketika bersama Bournemouth di bawah kendalian Howe.
4. Stabiliti pasukan
Seperti dinyatakan pada bahagian awal artikel ini, Howe adalah seorang jurulatih yang biasa mengendalikan pasukan under-budget, dengan kualiti pemain yang biasa-biasa sahaja.
Ini bermakna mereka cenderung untuk bertahan ketika diasak lawan, tetapi pada masa yang sama mahu menampilkan corak permainan mudah dan menarik.
High praise for Sean Longstaff and Isaac Hayden from Pep Guardiola 👏 pic.twitter.com/AhFWAYbOQ8
— Soccer AM (@SoccerAM) January 30, 2019
Keadaan ini bermakna Howe memerlukan pemain di posisi defensive midfielder yang berkualiti. Pemain dimaksudkan bukan sahaja mampu membantu pasukan ketika bertahan, malah turut berkemampuan recycled permainan daripada transisi bertahan kepada serangan dengan pantas – bertindak selaku pivot.
Di dalam skuad Newcastle United, pemain-pemain seperti Isaac Hayden, Jonjoy Shelvey, atau Sean Longstaff bakal memainkan peranan penting. Sudah tentu mereka perlu terlebih dahulu meyakinkan Howe bahawa diri mereka memiliki kemampuan yang diperlukan dengan memainkan peranan tersebut.
Rumusan
Empat elemen di atas nampak seperti asas kepada taktikal yang bakal diterapkan oleh Howe di Newcastle United. Hakikatnya, ia tidak semudah kita membacanya.
Ketika di Bournemouth, Howe memerlukan enam tahun untuk memastikan barisan pemain kendalian beliau mampu beraksi dengan baik di dalam satu unit.
Ini bermakna Newcastle juga harus bersabar dengan proses dan mempercayai Howe sepenuhnya untuk setiap perkara dari padang.
Perkara positifnya, wang mungkin tidak menjadi masalah untuk Eddie Howe sepertimana yang dihadapi beliau di AFC Bournemouth sebelum ini.