Siapa yang boleh menafikan Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sebagai 2 pemain terbaik dunia pada masa kini? Lupakan Cristiano Ronaldo sebentar. Kita akan menyentuh perihal bintang Portugal ini di dalam penulisan yang lain.
Anda pasti juga bersetuju bahawa selain daripada Cristiano Ronaldo, Lionel Messi adalah satu lagi nama yang setaraf untuk gelaran pemain terbaik dunia masa kini.
Tetapi pernahkah anda bertanya kepada diri anda sendiri, bagaimanakah pemain seperti Lionel Messi mengekalkan konsistensi dalam prestasi beliau?
Artikel ini menampilkan bagaimana bintang Argentina tersebut mengalami perubahan atau dalam kata lainnya, evolusi taktikal untuk memastikan dirinya terus kompeten bersama Barcelona.
Lionel Messi sebagai ‘inverted winger’ (2004-2008)
Debut Messi di La Liga tiba pada Oktober 2004, ketika menentang Espanyol. Beliau yang berusia 17 tahun pada masa itu sering beraksi di bahagian tengah sebagai pemain No.10 atau di sebelah sayap kiri bersama skuad Barcelona B.
Namun di skuad utama gergasi Catalan itu, posisi sebelah kiri diisi oleh Ronaldinho. Maka Messi memulakan karier bersama skuad senior Barcelona di sebelah sayap kanan.
Musim berikutnya Messi adalah pemain utama skuad Barcelona, beraksi di posisi tersebut secara bersilih ganti dengan pemain Perancis, Ludovic Giuly.
Giuly adalah pemain yang pantas, mempunyai penyudah yang tajam, dan bijak melakukan larian untuk menerima hantaran daripada Ronaldinho dan juga Xavi.
Pada masa ini, Messi adalah alternatif kepada Giuly. Messi memiliki kemahiran mengelecek yang memaksa pertahanan lawan untuk sentiasa mengawal beliau, dan mampu mengancam di bahagian half-space dari sebelah kanan serangan Barcelona- ancaman yang tidak dimiliki oleh Giuly.
Ini menyebabkan Messi terus menjadi pilihan utama Frank Rijkaard pada ketika itu. Namun kecederaan yang dialami oleh Messi menyebabkan beliau harus melupakan perlawanan akhir UEFA Champions League di antara Barcelona dan Arsenal pada 2006.
Musim 2006/07 adalah musim terpenting dalam perkembangan karier Lionel Messi. Beliau mula menunjukkan kebolehan dan prestasi yang menjadi petanda dirinya akan mengambil alih peranan Ronaldinho sebagai bintang utama di Nou Camp.
Musim yang sama juga, Messi mulai memperolehi keyakinan di hadapan gol, menjaringkan 17 gol daripada 36 penampilan dalam semua pertandingan.
Beliau mulai menguasai Kebolehan seperti seorang penyerang utama dan bijak melakukan larian ketika tidak memiliki bola, menjadi nilai tambah kepada aspek teknikal Messi ketika bola berada di kakinya.
Selepas tidak beraksi selama 3 bulan akibat kecederaan pada 2008, Messi terus dahagakan gol. 11 gol dari 13 perlawanan terakhir pada musim itu, termasuk hatrik ketika menentang Real Madrid adalah buktinya.
Kurang daripada 4 tahun bersama skuad utama Barcelona, Messi telah memperagakan corak permainan yang semakin bijak dan matang.
4 tahun tersebut turut menjadikan Messi daripada seorang pemain sayap lincah yang gemar menggelecek, kepada seorang pemain menyerang yang lengkap, berkeyakinan dan mulai berani memberi ancaman di bahagian tengah pertahanan lawan.
Lionel Messi sebagai No.9 jadian (2008-2014)
Selepas 2 musim yang mengecewakan, akhirnya Rijkaard digantikan dengan Pep Guardiola sebagai pengendali Barcelona.
Ketibaan Guardiola bukan sekadar permulaan kepada era tiki-taka dan kegemilangan gergasi Catalan tersebut. Ketibaan Guardiola turut sama pentingnya dengan perkembangan karier Lionel Messi di Nou Camp.
Idea untuk menjadikan Messi mengambil peranan sebagai No.9 jadian bukanlah ciptaan Guardiola semata-mata. Tetapi ia lebih kepada kebijaksanaan dan kesedaran Guardiola, bagaimana untuk memenuhi potensi pemain terbaik yang dimilikinya.
Setelah menyaksikan keupayaan Messi di posisi tengah menyerang pasukan pada awal musim, idea menjadikan Messi sebagai No.9 jadian direalisasikan ketika Barcelona membelasah Real Madrid 6-2 di Bernabeu pada Mei 2009.
Di bahagian serangan, Gurdiola memiliki Samuel Eto’o dan juga Thiery Henry. Messi diletakkan sedikit ke bawah di antara kedua-dua penyerang tersebut.
Posisi tersebut membenarkan Messi mengeksplotasi ruang di antara garisan pertahanan dan pemain tengah Real Madrid.
Posisi Messi menimbulkan keraguan pertahanan Los Blancos, untuk sama ada seorang pemain pertahanan tengah mereka patut atau tidak merantai pergerakan Messi. Atau adakah seorang pemain tengah mereka harus mengekori pergerakan beliau.
Melalui peranan barunya sebagai penyerang No.9 jadian, ia memberi ruang untuk Messi mempergunakan ketajaman visinya melakukan hantaran kepada Henry dan Eto’o, melakukan larian dang mengelecek pertahanan lawan secara terus.
Ia sekaligus turut memberi kebebasan kepada Eto’o dan Henry yang memiliki lebih ruang untuk melakukan penyudah. Taktikal yang sama dikekalkan oleh Guardiola ketika mereka menewaskan Manchester United di dalam perlawanan akhir UEFA Champions League pada 2009.
Messi mengkahiri musim tersebut dengan 38 gol dalam semua pertandingan. Untuk beberapa musim berikutnya, Messi terus beraksi sebagai penyerang No.9 jadian, walaupun sekali sekala akan beraksi di sebelah sayap kanan.
Pada 2011, sekali lagi Manchester United menjadi mangsa Messi dan Barcelona di perlawanan akhir UCL. Bezanya, kali ini beliau diapit oleh David Villa dan Pedro, dan menjaringkan 73 gol dalam semua pertandingan sepanjang musim 2011/12.
Lionel Messi sebagai sayap kanan (2014-2017)
Selepas semusim yang mengecewakan di bawah bimbingan Martino, Luis Enrique dipanggil untuk meneruskan kegemilangan Barcelona. Luis Suarez juga menyertai gergasi catalan itu daripada Liverpool pada musim panas yang sama.
Walaupun menjaringkan 41 gol pada musim 2013/14 ketika di bawah bimbingan Martino, ia adalah jumlah jaringan terendah dalam tempoh 5 musim buat Messi.
Enrique sedar beliau perlu melakukan sesuatu. Apabila Suarez kembali beraksi selepas pergantungan pada Oktober, Messi diarahkan kembali ke posisi sayap kanan- posisi asalnya ketika diserap ke skuad utama Barcelona.
Berbeza di era Guardiola, Enrique memiliki Suarez, seorang penyerang tengah yang sanggup bekerja keras dan mempunyai penyudah yang tajam. Di sebelah kiri, kepantasan dan skill yang dimiliki Neymar menjadi taruhan.
Ini menjadikan rangkaian serangan Barcelana sangat dinamik. Maka terbentuklah antara trio penyerang yang paling digeruni di dunia, Neymar-Suarez-Messi!
Kekuatan utama trio ini ialah ketika melakukan serangan balas pantas. Pergerakan Suarez sering menarik perhatian pemain pertahanan lawan. Ini membenarkan Messi untuk menggunakan ruang yang dibuka oleh Suarez, dengan larian ke dalam garisan akhir pertahanan lawan dari sebelah kanan serangan Barcelona.
Messi turut membina persefahaman yang jitu bersama Dani Alves untuk memberikan sokongan di bahagian width sebelah kanan. Kedua-dua pemain bersilih ganti untuk melakukan ‘link play’, mencipta peluang dan menghancurkan pertahanan lawan dari sebelah kanan.
Berbanding dengan karier awalnya di posisi yang sama, kali ini Messi lebih bertindak sebagai playmaker pasukan. Teknik hantaran dan juga visinya jauh lebih baik.
Messi turut membina persefahaman jitu dengan bek bek sayap kiri Barcelona, Jordi Alba dengan hantaran-hantaran ‘diagonal passes’ yang menakjubkan, sebelum bekas pemain Valencia itu membebaskan Neymar atau terus mencari Suarez untuk tujuan penyudah.
Disember 2014 sehingga Mei 2015, kita menyaksikan antara prestasi terbaik yang pernah dipamerkan oleh Messi bersama Barcelona sehingga berjaya memenangi satu lagi ‘treble’, menjaringkan keseluruhan 99 gol untuk 2 musim selepas itu.
Evolusi taktikal Messi di bawah Ernesto Valverde
Pada musim terakhir Enrique mengendalikan Barcelona, Messi tetap cemerlang secara individu, menjaringkan 54 gol daripada 52 perlawanan.
37 daripada gol tersebut terhasil melalui 34 penampilan La Liga, cukup untuk memenangi gelaran European Golden Shoe buat kali ke-4 sepanjang kariernya.
Dari segi pandangan taktikal, terdapat perubahan yang ketara untuk peranan Messi. Beliau beraksi lebih kerap di kawasan tengah garisan akhir pertahanan lawan.
Ini bertujuan untuk membenarkan Ivan Rakitic memainkan lebih peranan di sebelah kanan, manakala Neymar akan beraksi sedikit ke bawah di sebelah kiri serangan Barcelona.
Di atas kertas, Barcelona beraksi dengan formasi 4-3-3. Tetapi ketika melakukan serangan, ia akan menjadi 4-4-2 berintensiti tinggi dengan Messi menjadi fokal serangan.
Enrique turut menggunakan formasi 3-4-3 pada separuh musim kedua persaingan La Liga pada musim lalu. Di sini, Messi akan berperanan sebagai pemain No.10 di dalam formasi berbentuk berlian di bahagian tengah Barcelona.
Peranan baru ketika era Enrique ini memberi bayangan kepada evolusi taktikal Messi yang seterusnya.
Di bawah kendalian Ernesto Valverde pada musim ini, Messi terus diberikan peranan sebagai titik fokal serangan di bahagian tengah serangan Barcelona, sepertimana yang dilakukan Enrique.
Bezanya, Valverde memberi peranan sebagai No.9 jadian sebagaimana yang diterapkan oleh Guardiola untuk Messi. Tanpa Neymar, Suarez dipindahkan untuk beraksi di sebelah kiri.
Untuk ini Suarez tidak memainkan peranan yang dimainkan oleh Neymar sebelum ini. Tetapi Suarez lebih bertindak sepertimana David Villa lakukan, dengan beraksi lebih hampir ke kawasan gol.
Perubahan taktikal oleh Valverde ini, mengembalikan peranan Messi yang menyaksikan beliau menjaringkan banyak gol sekitar 2009 sehingga 2011 ketika di bawah bimbingan Guardiola.
Setakat ini, Valverde berjaya mengembalikan sentuhan Messi apabila bintang Argentina ini telah menghasilkan 15 gol daripada keseluruhan 13 perlawanan setakat ini dalam semua pertandingan.
Rumusan
Keupayaan Messi untuk kekal relevan sepanjang 13 tahun karier bersama skuad utama Barcelona setakat ini adalah sesuatu yang mengkagumkan.
Tidak ramai pemain yang boleh berbuat demikian; apatah beraksi di bawah beberapa jurulatih yang berbeza dalam tempoh itu.
Tetapi kesediaannya untuk menerima perubahan dan sentiasa ingin belajar demi menjadi yang terbaik adalah kunci utama yang menobatkan Lionel Messi sebagai antara nama yang akan bersaing untuk anugerah pemain terbaik dunia untuk beberapa tahun akan mendatang.