FPL: Tips Untuk Pasukan Anda Pada Minggu Ke-9 Saingan EPL!

Hujung minggu ini merupakan minggu ke-9 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan dilangsungkan. Sudahkah anda mengemaskini pasukan FPL anda untuk saingan pada minggu ini?

Di manakah kedudukan pasukan anda di dalam liga yang anda sertai? Adakah pasukan anda berada di kelompok atas liga, pertengahan liga, atau pun pasukan anda sedang bergelut untuk melakukan lonjakan mata untuk mengatasi mata pasukan-pasukan yang lain.

Kami ada sedikit tips. Beberapa pemain yang dianggap bintang sebelum ini, mungkin sudah tiba masanya untuk anda gugurkan. Sebagai contoh, Henrikh Mkhitaryan. Pemain Armenia ini hanya mengutip 3 mata sekali, dari 5 perlawanan terakhir setakat ini.

Begitu juga dengan penyerang West Ham, Javier Hernandez atau lebih dikenali sebagai Chicharito. Di atas kertas, beliau memiliki reputasi yang baik. Namun prestasi semasa di West Ham memberikan gambaran yang sebaliknya. Kecederaan harmstring yang dimilikinya turut sentiasa merencatkan prestasinya.

Seorang lagi pemain yang wajar dipertimbangkan untuk digugurkan ialah Thibaut Courtois. Courtois adalah salah seorang penjaga gol terbaik di dalam EPL. Namun ianya berbeza pada minggu ini, kerana Chelsea harus berhadapan dengan Watford.

Untuk rekod, Watford tidak tewas dalam tiga perlawanan terakhir, dan pasti akan mengharapkan kemenangan ke atas Chelsea yang tidak mempunyai sebarang ‘clean sheet’ pada bulan ini.

Lebih menggerunkan, 3 pertemuan terakhir membabitkan kedua-dua pasukan menyaksikan Chelsea dibolosi!

Namun kami tampil dengan senarai 5 pemain yang mungkin boleh membantu anda menambah mata untuk perlawanan EPL pada minggu ke-9 ini.

1. Anthony Martial (Manchester United)

Posisi: Pemain tengah
Nilai: £8.0 juta
Mata: 33

Kita semua tahu bahawa Jose Mourinho akan menggunakan Marcus Rashford dan juga Anthony Martial secara bergilir-gilir.

Memandangkan Rashford sudah beraksi ketika United berkunjung ke Lisbon untuk bertemu Benfica pada pertengahan minggu yang lalu, maka Martial hampir pasti akan berada di dalam kesebelasan utama United pada malam ini.

Martial disenaraikan sebagai seorang pemain tengah oleh FPL sejak sepak mula EPL musim ini. Itulah hakikatnya sejak Mourino tiba untuk mengendalikan skuad The Red Devils.

Namun ketajaman Martial di hadapan gol, akan memberi anda kelebihan dengan tambahan mata jika beliau menjaringkan gol dari posisi pemain tengah berbanding sebagai seorang penyerang.

Secara purata hanya 2.5% pemain di FPL memilih Martial. Pada harga £8.0 juta, anda bagaikan membeli seorang pemain tengah dengan kebolehan sebagai penyerang!

(Photo by Richard Heathcote/Getty Images)

2. Steve Mounie (Huddersfield)

Posisi: Penyerang
Nilai: £5.8 juta
Mata: 17

Penyerang Huddersfield dari Perancis ini mengumumkan ketibaannya dengan 2 gol pada minggu pertama EPL. Tidak banyak yang dilakukan oleh Mounie selepas itu sebelum mengalami kecederaan.

Namun kini Mounie telah cergas sepenuhnya, dan lawan pertama yang mungkin beliau hadapi jika diturunkan pada minggu ini ialah Manchester United!

Mounie mungkin menjadi pembelian yang berisiko. Namun selepas kecederaan yang menimpa Eric Bailly dan juga Phil Jones yang kurang cergas, Mounie berkemungkinan akan menjadi risiko yang memulangkan hasil.

Manchester United mungkin akan menang dalam perlawanan pada hujung minggu ini. Tetapi jangan terkejut jika Mounie berjaya mencuri gol sagu hati, dan ia pasti mata dan risiko yang berbaloi pada harga £5.8 juta.

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

3. Sergio Aguero (Manchester City)

Posisi: Penyerang
Nilai: £11.5 juta
Mata: 52

Jika cergas sepenuhnya, Sergio Aguero adalah pilihan ramai pengurus di FPL sebagai kapten pasukan masing-masing.

Sejak permulaan musim ini, Aguero telah membuktikan beliau boleh beraksi di dalam sistem yang diterapkan oleh pengendali dari Sepanyol, Pep Guardiola.

Beliau tidak beraksi pada perlawanan EPL minggu ke-8 akibat kecederaan yang dialaminya di dalam kemalangan jalan raya beberapa minggu yang lalu.

Namun Aguero sentiasa mengejutkan kita. Beliau disahkan telah pulih daripada kecederaan yang diramalkan sehingga 6 minggu pada mulanya, dan kini bersedia untuk diturunkan di dalam kesebelasan utama City menentang Burnley.

Nilai Aguero agak mahal. Namun siapa tahu. Mungkinkah Aguero akan mengejutkan kita dengan hatrik pada malam ini?\

(Photo by Manchester City FC/Manchester City FC via Getty Images)

4. Fabian Delph (Manchester City)

Posisi: Pemain tengah
Nilai: £4.5 juta
Mata: 14

Manchester City bukan sahaja berada di kemuncak prestasi. Mereka juga berada di kemuncak liga. Mana-mana pengurus akan mencari ruang untuk memasukkan 3 pemain maksimum dari City untuk pasukan FPL masing-masing.

Namun jika anda memiliki bajet yang rendah, maka Fabian Delph adalah pilihan yang wajar. Sejak kecederaan yang menimpa Benjamin Mendy, posisi bek kiri telah menjadi posisi Delph.

Sehingga kini, Delph tidak mengecewakan Guardiola dengan aksi konsisten di posisi tersebut.

Namun demikian, Delph disenaraikan sebagai pemain tengah di dalam FPL. Ini bermakna anda tidak akan mendapat mata bonus ‘clean sheet’ jika City tidak dibolosi.

Tetapi pada harga £4.5 juta, siapa peduli akan mata bonus?

(Photo by Mike Hewitt/Getty Images)

5. Wilfred Zaha (Crystal Palace)

Posisi: Pemain tengah
Nilai: £6.7 juta
Mata: 9

Ketika Frank de Boer tiba di Selhurst Park, pengendali dari Belanda itu menyamakan Wilfred Zaha dengan Neymar. Namun malang sekali buat De Boer, kerana Neymar yang diharapkannya tidak pernah hadir sehingga beliau dipecat, hanya selepas 4 perlawanan EPL!

Jika cergas sepenuhnya dan berada di tahap terbaiknya, Zaha adalah seorang pemain sayap yang dinamik dam menghiburkan. Musim lepas, Zaha bergelut dengan kecederaan.

Ketika menentang Chelsea, Roy Hodgson memberikan beliau peranan yang bebas (free role) untuk melakukan serangan. Hasilnya, Zaha menjaringkan gol kedua Palace untuk memberi kemenangan sulung kelab itu pada musim ini.

Minggu ini Palace akan berkunjung ke Newcastle. Berbekalkan kemenangan menentang Chelsea pada minggu lalu, Zaha pasti mahu meneruskan rentak kemenangan pada minggu ini.

(Photo by Catherine Ivill – AMA/Getty Images)

Rumusan

Bagaimana? Anda sudah menggunakan Free Hit atau pun Wild Card? Atau anda sekadar akan mengoptimumkan 1 free transfer yang diperuntukkan?

Pertimbangkan 5 pemain ini. Siapa tahu, pasukan FPL anda mampu menghasilkan mata yang lebih baik pada minggu ke-7 ini.

Jangan lupa kemaskini pasukan anda!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN