Analisis EPL: Serangan Dan Pertahanan Pasukan Manakah Paling Bagus?

Setakat ini sudah 8 perlawanan EPL berlangsung. Bagaimana prestasi jentera serangan dan pertahanan pasukan kegemaran anda?

Untuk menjawab soalan itu, penulis Experimental 3-6-1 menganalisis prestasi jentera serangan dan pertahanan setiap pasukan EPL dengan menggunakan scatter graph.

Kami akan menjelaskan bagaimana untuk anda menganalisis data daripada graf ini.

Keberkesanan serangan

Graf ini menjawab soalan:

i. Jentera serangan pasukan manakah yang paling berbahaya/tak berbahaya?

Dalam graf ini, pasukan berbahaya dikategorikan sebagai pasukan yang membuat purata lebih daripada 13 percubaan (tepat dan tak tepat) setiap perlawanan.

Semakin tinggi jumlah percubaan yang dibuat, semakin berbahaya jentera serangan pasukan tersebut.

ii. Jentera serangan pasukan manakah yang paling klinikal/tak klinikal?

Banyak buat serangan tapi tiada gol pun tak guna juga. Oleh itu, graf ini juga menganalisis ketajaman penyudah pasukan.

Dalam graf ini, pasukan klinikal dikategorikan sebagai pasukan yang memerlukan purata kurang 10 percubaan untuk menjaringkan 1 gol.

Semakin rendah jumlah percubaan untuk menjaringkan 1 gol, semakin klinikal jentera serangan pasukan tersebut.

EPLgraf1

Berdasarkan graf ini, Watford adalah pasukan yang paling tidak klinikal. Jentera serangan mereka memerlukan purata 17 percubaan untuk menjaringkan hanya 1 gol.

Jentera serangan paling klinikal setakat ini adalah West Ham. Mereka hanya memerlukan 6 percubaan untuk menjaringkan 1 gol.

Sebelum kemenangan 3-0 ke atas Man United, jentera serangan Arsenal sama bahayanya dengan Liverpool, yang membuat purata 14-15 percubaan.

Tetapi selepas kemenangan 3-0 tersebut, jentera serangan Arsenal adalah kedua paling berbahaya di liga selepas Man City.

Tetapi berbanding City yang klinikal, Arsenal masih belum cukup klinikal.

Arsenal memerlukan lebih 12 percubaan hanya untuk menjaringkan 1 gol, berbanding City yang hanya memerlukan 8-9 percubaan.

Di sini juga kita dapat lihat prestasi cemerlang West Ham dan Leicester ketika ini ada kaitannya dengan ketajaman penyudah mereka. Berbanding kekerapan serangan mereka terhadap pasukan lawan.

Tips Fantasy Premier League (FPL): Berdasarkan graf ini, pemain-pemain jentera serangan (strikers, midfielders) dari Man City, Arsenal, Southampton, Leicester dan West Ham patut menjadi pemain pilihan anda.

Keberkesanan pertahanan

Graf ini menjawab soalan:

i. Jentera pertahanan pasukan manakah yang paling sibuk/tak sibuk?

Dalam graf ini, pertahanan yang sibuk dikategorikan sebagai: pasukan yang membenarkan lawan membuat purata lebih 13-14 percubaan (tepat dan tak tepat) ke arah mereka pada setiap perlawanan.

Semakin tinggi jumlah percubaan yang mereka benarkan, semakin sibuk jentera pertahanan pasukan tersebut.

ii. Jentera pertahanan pasukan manakah yang paling kukuh/tak kukuh?

Kadang-kala, ada jentera pertahanan pasukan yang membenarkan banyak percubaan dibuat ke arah mereka.

Tetapi mereka masih mampu menyelamatkan banyak percubaan tersebut kerana kualiti penjaga gol dan pertahanan mereka (atau ketumpulan penyudah pasukan lawan).

Dalam graf ini, pertahanan kukuh dikategorikan sebagai pasukan yang perlu diserang lebih 10 kali untuk menjaringkan 1 gol.

Semakin tinggi jumlah percubaan yang diperlukan pasukan lawan untuk menjaringkan 1 gol, semakin kukuh jentera pertahanan pasukan tersebut.

EPLgraf2

Berdasarkan graf ini, jentera pertahanan Crystal Palace sedang melakukan satu keajaiban sebenarnya.

Secara purata, pasukan lawan berjaya membuat lebih daripada 17 percubaan ke arah mereka.

Tetapi pertahanan mereka sangat kukuh sehinggakan secara purata, pasukan lawan memerlukan hampir 20 percubaan – HANYA untuk menjaringkan 1 gol.

Penulis Experimental 3-6-1 ini bagaimanapun berpendapat prestasi cemerlang Palace di bahagian pertahanan ini akan berakhir. Beliau menulis:

“Saya sangat meragui mereka (Palace) boleh meneruskannya sehingga akhir musim.”

“Ini memandangkan jentera pertahanan yang paling kukuh di liga pada musim lepas hanya membenarkan purata 13 percubaan ke arah mereka.”

Pertahanan paling kukuh sekali lagi milik Man City, Arsenal, Tottenham dan… Watford?

Ya, Watford tergolong dalam kumpulan pertahanan yang kebal setakat 8 perlawanan ini.

Tips Fantasy Premier League (FPL): Elakkan mengambil pemain pertahanan Chelsea, Leicester, Sunderland, Newcastle dan Norwich dalam pasukan anda.

Kesimpulan

Jadi pasukan mana yang mempunyai jentera serangan dan pertahanan yang baik di liga setakat ini?

Berdasarkan 2 graf di atas: Man City, Arsenal, Tottenham, Southampton, Swansea dan Liverpool (era Brendan Rodgers).

Bagaimana dengan jentera serangan yang baik tetapi jentera pertahanan yang lemah? Chelsea, Norwich, Leicester dan Crystal Palace.

Pasukan yang mempunyai jentera serangan yang lemah tetapi jentera pertahanan yang baik adalah Man United, Bournemouth, Watford dan Aston Villa.

Manakala pasukan yang mempunyai jentera serangan dan pertahanan yang lemah kedua-duanya adalah Newcastle, Sunderland, West Ham, West Brom, Stoke City dan Everton.

EPLgraf3

Tetapi kelemahan ini tak semestinya menggambarkan prestasi semasa pasukan.

Dengan 1-2 pemain berkualiti, ada pasukan yang boleh menjaringkan gol walaupun jentera serangan pasukannya lemah.

Begitu juga dengan jentera pertahanan.

Dengan penjaga gol dan pertahanan yang berkualiti, mereka boleh menghalang pihak lawan menjaringkan gol walaupun diserang bertubi-tubi oleh pasukan lawan.

Baca: Mengapa Manchester United Tak Perlu Risau Bila Depay Hilang Bola 35 Kali

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN