Analisis: Dianggap Pembaziran Terbesar, Kenapa Maguire Cemerlang Main England Tetapi Tidak Bersama Man United?

Harry Maguire Manchester United England

Sejumlah wang yang cukup besar diletakkan di atas bahu Harry Maguire apabila melengkapkan perpindahannya dari Leicester City ke Manchester United pada musim panas 2019.

Dengan tag harga bernilai £78.3 juta (RM444.6 juta) beliau menjadi pemain pertahanan paling mahal dalam sejarah. Jumlah itu mengatasi harga yang dibayar Liverpool untuk mendapatkan Virgil van Dijk.

Ia turut menjadikannya sebagai rekod pembelian kedua tertinggi Manchester United dalam sejarah kelab selepas Paul Pogba yang dibawa ke Old Trafford dari Juventus pada 2016 pada harga £94.5 juta.

Apabila ada pemain yang dibeli dengan nilai setinggi itu, tentunya apa yang diharapkan adalah aksi di tahap tertinggi dan berkelas dunia. Malangnya ia tidak berlaku kepada Maguire sepanjang lebih dua tahun menyarung jersi United.

Persembahannya ketika United seri 1-1 berdepan Southampton sekali lagi menimbulkan kritikan dan lebih teruk lagi ada yang menjadikannya sebagai modal bahan jenaka.

‘Badut’ yang menghampakan

Keputusan Manchester United untuk membayar yuran perpindahan yang tinggi untuk bakat England di Liga Perdana Inggeris (EPL) bukanlah perkara yang ganjil dan asing. Mereka pernah melakukan perkara serupa ketika mendapatkan Rio Ferdinand dari Leeds United satu masa dahulu.

Maguire merupakan pemain pertahanan yang cukup ampuh ketika beraksi untuk bekas kelabnya Leicester City, di mana beliau telah menampilkan aksi yang cukup mengujakan.

Dengan susuk tubuh yang tegap, gerakan fizikalnya yang baik, teknik hantaran yang tepat serta kekuatannya di udara menjadikan beliau cukup dominan ketika bertahan.

Namun kekurangannya dari segi kelajuan telah menjadi liabiliti di United. Ia mendedahkan kepincangan pasukan apabila bermain di garisan yang tinggi ketika berdepan dengan pasukan yang mengamalkan corak serangan balas pantas.

Dengan tubuhnya yang besar itu, sudah beberapa pemain berjaya membuatkan Maguire tidak ubah seperti ‘badut’ apabila mudah untuk mengatasi kawalannya.

Tembok kebal di King Power

Untuk lebih adil, mungkin kita boleh imbas semula bagaimana pemain kelahiran Sheffield ini mencipta namanya di Liga Perdana Inggeris apabila mula menyertai Leicester City dari Hull City. Individu yang bertanggungjawab untuk menghidu bakatnya adalah bekas pengurus The Foxes, Craig Shakespeare.

Apa yang membuatkan Shakespeare tertarik dengan Maguire ialah personaliti pemain tersebut yang sentiasa merendahkan diri, namun memiliki tahap keyakinan tinggi untuk memajukan diri, berdisiplin, dan juga sentiasa memastikan diri berpijak di bumi nyata.

Shakespeare menyedari potensi yang dimiliki pemain ini dan percaya beliau boleh pergi jauh dalam kariernya, lalu dibawa masuk ke Stadium King Power dengan tanda harga £17 juta.

Maguire merupakan Pemain Terbaik Tahunan di musim pertama di Leicester. Seperti Jamie Vardy yang juga pemain kelahiran Sheffield, Maguire adalah watak yang amat disenangi di kalangan pemain di bilik persalinan sehingga turut memenangi anugerah Players’ Player.

Watak utama kejayaan England

Ironinya prestasi menghampakan Maguire di United tidak berlaku apabila beliau beraksi untuk skuad kebangsaan England di bawah kendalian Gareth Southgate. Daripada 41 perlawanan di pentas antarabangsa setakat ini, beliau telah pun menjaringkan 6 gol. Statistik yang cukup cemerlang untuk seorang pemain pertahanan.

Ketika Euro 2016 berlangsung, mungkin tiada peminat England yang mengendahkan namanya. Malah Maguire ketika itu berada di Perancis bersama rakan-rakan untuk menyaksikan aksi pasukan negaranya sebagai penonton.

Tetapi untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2018, beliau menjadi antara pemain terbaik England dengan menjadi tunjang utama di bahagian pertahanan untuk membantu negaranya layak ke pusingan akhir di Rusia.

Harry Maguire: Si Kepala Lebar Dengan Personaliti Menarik, Tunjang Benteng The Three Lions

Malah tidak mungkin kita dapat menafikan sumbangan besar Maguire dalam memastikan England mara sehingga ke perlawanan akhir Euro 2020 pada tahun lalu. Berdasarkan statistik beliau merupakan salah seorang pemain terbaik dalam skuad Three Lions dalam kejohanan tersebut.

Southgate kebiasaannya akan meletakkan dua pemain tengah bertahan untuk melindungi barisan pertahanan. Sama ada menggunakan formasi bek bertiga atau berempat, Maguire tidak perlu naik terlalu tinggi sehingga ke kawasan tengah untuk berdepan dengan pemain lawan.

Ini bermaksud taktikal itu dapat menutup kekurangan Maguire dari segi kelajuan dan mengecilkan peluang untuk pemain lawan mengeksploitasi ruang di belakangnya.

Kecenderungan Southgate untuk menggunakan beberapa taktikal berbeza pada setiap perlawanan bergantung kepada kekuatan lawan juga banyak membantu. Ia membuatkan pihak lawan sukar untuk menjadikan Maguire sebagai sasaran atau ‘lubuk’ dalam permainan mereka.

Pada hari ini, England berada di tangga kelima dalam ranking dunia FIFA dan mana mungkin kita dapat menidakkan sumbangan besar Maguire untuk meletakkan negaranya berada pada kedudukan tersebut.

Penutup

Dalam keadaan ini, menjadi tugas Ralf Rangnick bagaimana untuk memanfaatkan pemain seperti Maguire yang sepatutnya menjadi aset terpenting buat pasukan.

Ketika ini tidak keterlaluan untuk mengatakan Manchester United tiada pemain tengah bertahan yang cukup berkualiti seperti mana Declan Rice dan Kalvin Philips yang banyak membantu Maguire di skuad kebangsaan England.

Sekiranya United berjaya mendapatkan dua pemain ini atau mana-mana pemain yang menyamai kualiti mereka, tidak mustahil harga tinggi yang dibayar untuk mendapatkan Maguire akan mendapat balasan yang setimpal dan sekaligus mengembalikan kegemilangan di Old Trafford.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN