Quantcast

ANALISIS TAKTIKAL

Analisis: Coutinho Cemerlang Berhadapan Bolivia, Apa Yang Valverde Boleh Pelajari Daripada Tite

Coutinho memberikan aksi cemerlang ketika Brazil menang 3-0 ke atas Bolivia dalam perlawanan pembukaan Copa America 2019. Ianya bukan aksi terlalu cemerlang oleh Brazil secara keseluruhan, namun Brazil sepatutnya seperti ini.

Apabila pasukan bergelut secara sistem, ada pemain yang akan menonjol – dan itulah yang dilakukan Coutinho.

Coutinho vs Bolivia

Ianya adalah aksi yang terpuji dengan kejayaan beliau mengurangkan impak tiada Neymar dalam perlawanan ini.

Statistik menunjukkan Coutinho selayaknya menjadi pemain terbaik perlawanan.

Posisi no.10

Tite meletakkan Coutinho sebagai pemain no.10 dalam aksi Brazil menentang Bolivia. Manakala di Barcelona beliau banyak diletakkan sebagai pemain sayap kiri terutama sekali dalam sistem 4-4-1-1/4-4-2.

Pasti ramai akan bertanya, kenapa di Liverpool dahulu beliau boleh bermain di posisi lain selain no.10?

Di Liverpool beliau bermain sebagai pemain tengah ofensif sebelah kiri. Peranan itu tidak terlalu jauh ke kiri – ataupun jika anda peminat permainan video FIFA – posisi itu dikelaskan sebagai AML yang berbeza dengan LW ataupun ML.

Ini adalah contoh posisi Coutinho ketika di Liverpool, beliau diberikan peranan sebagai pemain no.8 dalam rantaian pemain tengah lebih ofensif yang tidak selari.

Ini adalah formasi 4-2-3-1 Brazil meletakkan Coutinho sebagai pemain no.10.

Coutinho menggemari ruang di antara garisan pertahanan dan pemain tengah lawan / ruang poket. Ini adalah peta haba Coutinho dalam perlawanan Brazil vs Bolivia.

Beliau akan lebih banyak berlegar di halfspace sebelah kiri kerana itu akan membolehkan beliau memintas masuk ke dalam (cut inside) untuk melakukan percubaan lencong.

Gandingan dengan Firmino membolehkan sistem serangan Brazil sangat fleksibel di mana mereka kerap membentuk 2 pemain no.10 dan memberikan ‘lesen’ kepada pemain sayap masuk daripada tepi untuk menjadi peyerang.

Keupayaan Firmino sebagai no.9 ataupun peranan false 9 membolehkan Brazil memiliki variasi taktikal yang banyak di serangan. Neres dan Richarlison boleh dilepaskan ke atas pada bila-bila masa.

Coutinho dalam pada masa yang sama boleh menyusup masuk daripada zon 14 ke dalam kotak penalti – sebagai 3rd man runner.

Ini antara contoh:

Sebagai perbandingan, musim ini – terutamanya di Barcelona, Coutinho 26 kali bermain sebagai pemain sayap kiri.

13 kali beliau bermain di tengah. Daripada 13 aksi di tengah, beliau dipecahkan kepada 9 peranan tengah sebenar (pure central), 4 kali sebagai pemain tengah sebelah kiri, dan sekali sahaja sebagai no.10.

Agak menarik apabila kami mendapati 1 aksi beliau sebagai no.10 (AMC) menyaksikan beliau menjaringkan  gol. Ianya 1/3 daripada gol yang beliau lakukan sebagai pemain sayap kiri – yang mana beliau beraksi 26 kali di peranan itu.

Begitu juga dengan peranan sebagai pemain tengah (no.4) di mana beliau memberikan impak lebih baik di Barcelona.

Rumusan

Maka tidak hairanlah ramai penyokong Barcelona merasakan salah satu sebab Coutinho sukar menunjukkan prestasi terbaik beliau di Barcelona adalah kerana diberikan peranan yang beliau kurang gemari.

Mungkin Ernesto Valverde harus memikirkan cara untuk menjadikan Coutinho sebagai pemain no.10 ataupun pemain AML secara tetap di dalam sistem beliau selepas ini.

Mungkin akan ada yang akan bertanya, bagaimana dengan Lionel Messi? Kerana biasanya peranan no.10 akan diberikan kepada Messi jika Valverde menggunakan sistem bernombor 10.

Pada pandangan kami ianya bukan masalah besar, kerana Messi sangat efektif dengan peranan 9 jadian dan juga pemain sayap kanan.

Dan harus diingat, Valverde sendiri yang sangat mengidamkan Coutinho satu ketika dahulu. Beliau pastinya sedar pemain ini gemarkan peranan lebih bebas di atas padang.

Jika isu ini gagal diselesaikan Valverde beliau bakal menjadikan Coutinho pembaziran bernilai ratusan juta euro.