Dalam sidang media sejurus melakar kemenangan 2-1 ke atas Penang FC, Aidil Sharin Sahak telah diajukan soalan tentang formasi taktikal Kedah Darul Aman iaitu mengapa ‘back three’ menjadi pilihannya sebelum ini.
Katanya, Kedah bermain dengan ‘back four’ menentang Penang walaupun terdapat tiga bek tengah di dalam kesebelasan utama – berlainan dengan formasi ketika ditundukkan 1-4 Selangor FC pada minggu lalu.
“Saya tak tahu anda tengok perlawanan tadi atau tidak. Kami tidak bermain ‘back three’ tetapi ‘back four’. Inilah yang semua perlu lebih memahami bola sepak. Ini kerana terlalu banyak komen negatif sebelum ini. Saya rasa ini bukanlah suasana bola sepak di Malaysia. Saya harap anda akan lebih memahami.
“Hari ini kami bermain dengan ‘back four’. Kami telah mengubah taktikal sebelum ini. Saya membuat kesilapan dan bertanggungjawab atas kekalahan sebelum ini. Kali ini kami ubah dan dapat tiga mata jadi, kami harus terus membuat pembetulan agar tidak melakukan kesilapan dalam perlawanan seterusnya.”
Aidil Sharin Sahak
Berdasarkan formasi yang dikongsikan, Kedah bermain dengan formasi 4-4-2 dengan Marc Vales diletak di posisi bek kanan, bukan bek tengah – posisi premiernya. Di tengah benteng, gandingan Jang Suk-won dan Rodney Calvin diletakkan, sementara Ariff Farhan berada di posisi bek kiri. Kedua-duanya bukan bek sayap.
Walaupun ia posisi sekunder, beliau diperlukan untuk menampung kelemahan di posisi itu selepas ketiadaan Amirul Azhan. Formasi ‘back three’ sebelum ini diubah dengan menolak Marc Vales ke sisi kanan. Pastinya sedikit kekok kerana sepanjang kariernya beliau lebih banyak bermain di bek tengah dan tengah bertahan.
Selepas kehilangan Rizal Ghazali, Kedah masih bergelut mendapat pemain setara dengannya. Ini pilihan yang ada selepas Amirul Azhan pula mengalami kecederaan. Aidil Sharin telah belajar daripada kesilapannya kerana terlalu mendedahkan bentengnya ketika dimamah ‘sakan’ Selangor dan kali ini, Kedah nampak seimbang.
Posisi tengah Sang Kenari di gerakan oleh dua jeneral. Dechi Marcel dan bekas jeneral Harimau Kumbang musim lalu, Khairu Azrin Khazali – kali pertama diturunkan dalam skuad utama selepas berehat dua bulan.
Kedua-duanya bermain dengan baik, mengatur asakan dan bertahan. Namun, nasib kurang menyebelahi apabila kesilapan Marc Vales yang terlepas larian T Saravanan menyumbang kepada jaringan pertama tuan rumah.
Penang bukan skuad yang berbahaya pada musim ini. Mereka tampak belum lagi mendapat kualiti permainan sebagaimana musim lalu. Bukan itu sahaja, benteng mereka juga bergelut apabila bek tengah, Christian Rontini terpaksa bermain di bek kanan, posisi yang ditinggalkan pemain yang cemerlang musim lalu, Quentin Cheng.
Sebagaimana Kedah yang ‘terpaksa’ meletakkan bek tengah import di bek kanan, Penang juga terdesak untuk kukuhkan posisi itu. Kedua-dua musuh utara ini bermasalah di posisi sama pada awal musim ini kerana tiada pemain yang boleh beraksi baik di posisi itu. Berbanding Marc Vales, Rontini tiada pengalaman di posisi itu.
Pelawat mencipta 10 percubaan dengan enam daripadanya adalah cubaan tepat ke gawang di babak pertama. Kecemerlangan Khatul Anuar menyukarkan mereka untuk memecah kebuntuan sepanjang aksi babak pertama.
Khatul Anuar adalah kubu kebal Penang dengan kerap kali menyelamatkan aksi sumbang benteng. Berdasarkan statistik, dalam empat aksi sebelum ini, gawang Penang diuji dengan 24 percubaan tepat, namun mereka hanya dibolosi empat gol. Dalam aksi ini beliau juga membuat kurang lebih 10 ‘saves’ – enam di babak pertama.
Di jentera sayap, Aidil Sharin telah mempertaruhkan Fayadh Zulkifli dan Al-Hafiz Harun – dua pemain licik dan berbahaya. Kedua-dua pemain ini sentiasa mengeksploitasi kelemahan kawasan defensive third tuan rumah. Begitu juga dengan Syafiq Ahmad yang menjadikan kawasan itu ‘taman permainannya’ sepanjang beraksi.
Aidil Sharin mungkin mengesan masalah utama pasukannya adalah hantaran ke depan selain masalah kecergasan Khairu Azrin yang baru pulih. Fadzrul Danel mengambil alih tempatnya pada awal babak kedua untuk menyuntik tenaga. Ini komen beliau tentang percaturannya untuk mengeluarkan awal Khairu Azrin.
Ditanya Semuanya BOLA tentang pertukaran yang memberi impak itu di sidang media, pengendali kelahiran Singapura itu berkata, “Anda perlu faham mengapa setiap pertukaran itu dibuat. Khairu Azrin tidak beraksi selama dua bulan akibat masalah kecederaan. Dia masih memerlukan match fitness sedikit demi sedikit.”
“Kami perlu berlaku adil terhadap situasinya [Khairu Azrin]. Untuk babak kedua, saya nampak kami perlukan perubahan taktikal. Kami perlukan seseorang di tengah yang bertenaga untuk merantai nombor 14 (Endrick dos Santos). Ia berkesan. Kredit kepada para pemain kerana berjaya mengikut perancangan pasukan.”
Aidil Sharin Sahak
“Untuk Rantai Pemain Nombor 14” – Aidil Sharin Rungkai Kemasukkan Fadzrul Danel
Minit ke-65, Fadzrul Danel mempamerkan betapa beliau pernah digelar ‘The Next Baddrol Bakhtiar’ di usia remaja dahulu. Hantaran lolosnya dari tengah berhasil menemui Ngah Wanja yang membuat larian deras membelah pertahanan sebelum melepaskan rembatan ke sudut bertentangan untuk jaringan keduanya.
Ngah Wanja sebenarnya dahagakan hantaran sebegini sepanjang lima perlawanan – ini kekuatannya.
Fadzrul Danel adalah pemain yang boleh beraksi dengan peranan ‘box-to-box’ di jentera tengah. Di usia 24 tahun kini, mungkin beliau sudah semakin matang dalam permainannya dan tampak ketenangannya bergandingan bersama Dechi Marcel. Ini tunjang utama perubahan permainan Kedah di babak kedua mengatasi Penang.
Gandingan mereka hanya digunakan dalam dua aksi awal liga berdepan Sarawak United dan KL City FC.
Formasi 4-4-2 memberi keseimbangan kepada Kedah berbanding formasi 3-4-3 sebelum ini. Peranan Fullback digunakan kerana wingback boleh mengundang risiko jika bek sayap gagal turun segera dalam fasa bertahan – seperti berdepan Selangor. Dua pemain tengah menjadi fokal kekuatan ketika bertahan dan menyerang.
Fadzrul Danel memberi dimensi baharu dan juga tenaga tambahan untuk mengawal bahagian tengah bersama Dechi Marcel di babak kedua. Aidil Sharin menyuntik masuk tepat pada masanya pemain tengah itu untuk menggantikan Khairu Azrin. Hasilnya Kedah berjaya membocori gawang Harimau Kumbang akhirnya.