Analisis: Bagaimana Kecederaan Pengaruhi Taktikal Liverpool & Replikasi DNA Yang Tidak Menjadi

Apakah punca Liverpool kelihatan tidak bermaya dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini? Di bawah kendalian Klopp, ia perkara yang janggal untuk melihat Liverpool tercicir mata dalam tiga perlawanan berturut-turut. Sebelum kita pergi lebih jauh, kita harus memahami terlebih dahulu bagaimana Liverpool bermain di bawah kendalian Klopp.

Liverpool sememangnya dikenali sebagai sebuah pasukan yang sinonim dengan formasi 4-3-3. Melalui forasi ini, Klopp membentuk sebuah pasukan yang memiliki seorang pemain bek tengah yang selesa dengan bola/ ball playing centre back (Virgil van Dijk) – kebiasaannya diapit bersama seorang lagi pemain pertahanan, dua pemain bek sayap yang aktif di sisi, tiga pemain tengah, dan trio penyerang yang kita tahu dikenali sebagai antara terbaik di dunia.

Perenggan pertama di atas adalah pandangan mata kasar bagaimana Liverpool tampil dalam setiap perlawanan. Namun sudah tentu bentuk ini akan berubah pada fasa-fasa permainan. Bola sepak yang ditampilkan oleh Liverpool di bawah kendalian Klopp bukanlah bola sepak yang statik/ structural atau tidak rigid dan membabitkan pertukaran posisi pemain dengan kerap. Berikut antara keperincian yang harus kita tahu.

Hubungan segitiga sisi Liverpool

Salah satu perkara menarik pada fasa serangan yang telah melemaskan banyak pasukan sebelum ini ialah gandingan segitiga membabitkan Trent Alexander-Arnold, Jordan Henderson dan Mohamed Salah pada bahagian kanan serangan pasukan.

Di dalam sistem Klopp, ketiga-tiga pemain ini  (yang) berada di dalam bentuk segitiga akan membenarkan setiap pemain memainkan peranan masing-masing untuk mengkoordinasi gerakan, selain dari mencipta peluang untuk menjaringkan gol.

Sering kali Henderson melakukan kerja-kerja yang kurang didendang, untuk Salah dan Alexander-Arnold. Misalnya pada ketika Alexander-Arnold melakukan tekanan atau larian ke hadapan dari sebelah sisi, Henderson akan mengisi ruang yang ditinggalkan.

Lihat kedudukan Henderson berfungsi sebagai cover-up atau mengeksploitasi ruang untuk Alexander-Arnold di sebelah sisi.

Henderson juga berfungsi sebagai pemain yang akan melakukan larian ke dalam bertujuan untuk mengalihkan perhatian pemain pertahanan lawan dari Salah atau Alexander-Arnold. Sebagai contoh, gerakan sebegini akan membenarkan Alexander-Arnold menggunakan ruang di bahagian tengah dengan melakukan bola terus kepada Salah dari bahagian belakang.

Kebolehan Alexander-Arnold melakukan hantaran berjarak jauh dari belakang untuk membenarkan Salah menyerang ruang yang ditinggalkan oleh pertahanan lawan juga adalah salah satu aset pemain ini.

Henderson ke tepi, buka ruang Alexander-Arnold hantar bola terus ke Salah.

Alexander-Arnold juga berkemampuan melakukan serangan yang lebih ortodoks dengan menuju ke garisan akhir sebelum melakukan hantaran, atau dengan melencongkan bola dari kawasan sisi – trademark yang sering kita lihat.

Kemampuan bek kanan itu membenarkan Salah bergerak secara agresif menyerang pertahanan lawan, kebiasaannya mewujudkan situasi satu lawan satu dengan pertahanan lawan, dan juga penjaga gol.

Mo Salah tidak terkecuali bertukar posisi pada ketika memerlukan. Namun tetap beroperasi secara segitiga.

Jika anda menyaksikan bagaimana Liverpool menewaskan Crystal Palace 4-0 (perlawanan musim lalu), ia adalah contoh terbaik bagaimana rotasi ketiga-tiga pemain dalam kedudukan segitiga beroperasi membuka ruang untuk menewaskan lawan.

Perkara sama dengan gandingan Andy Robertsin, Gini Wijnaldum dan Sadio Mane di sebelah kiri serangan. Kefahaman jitu ketiga-tiga pemain tersebut turut menyukarkan lawan menyekat mereka.

Kecederaan ganggu DNA

Apa yang diterangkan di atas merupakan DNA bola sepak yang dimainkan oleh Klopp. Mereka bermain dalam bentuk segitiga, kerap bertukar posisi, dan diadun dengan kepantasan larian serta kejituan hantaran yang sering kali memerangkap lawan.

Namun perkara ini berbeza sejak beberapa minggu yang lalu. Hubungan segi tiga itu seperti tidak wujud sekali gus menyebabkan Liverpool gagal bermain dalam sistem yang mereka biasa lakukan. Dalam erti kata lain Liverpool gagal menterjemah permainan menggunakan DNA yang mereka telah bina.

https://twitter.com/Nascelotti/status/1336031872699273219

Tidak boleh dinafikan kecederaan telah memberikan impak negatif kepada permainan Liverpool. Ketiadaan Virgil van Dijk, Joe Gomez dan sekarang Joel Matip disebabkan kecederaan telah melemahkan bahagian pertahanan tengah pasukan – aspek di mana Liverpool biasanya tidak mempynyai masalah.

Kecederaan mereka memaksa Klopp mengheret Fabinho ke posisi pertahanan tengah, melainkan ada pemain baharu di posisi tersebut tiba pada jendela perpindahan Januari ini.

Fabinho beraksi dengan baik di sebalik ketiadaan Van Dijk. Namun ini juga bermakna Klopp terpaksa mengorbankan pemain No.6 terbaik yang ada di dalam pasukan – posisi terpenting di dalam sistem 4-3-3 Liverpool. Dengan kata lain, tanpa kecederaan, Fabinho di posisi asalnya adalah penghubung utama kepada sistem 4-3-3 yang dimainkan oleh Liverpool.

Dan apabila Fabinho terpaksa bermain di bahagian pertahanan, Klopp juga terpaksa menggunakan Henderson untuk bermain di bahagian tengah dan mengawal permainan di hadapan empat pemain pertahanan. Henderson bukan pemain yang asing dengan watak sebagai pemain tengah bertahan. Namun ia menjadi masalah kerana ia tidak membenarkan Henderson untuk mara ke hadapan membantu serangan.

Southampton 1-0 Liverpool

Dalam perlawanan menentang Southampton, Henderson diberikan peranan bergandingan dengan Fabinho di posisi pertahanan tengah. Fabinho dan Henderson adalah dua pemain tengah paling efektif di dalam skuad Liverpool sejak dua musim lalu, namun disebabkan krisis kecederaan, ia membantutkan Klopp menggunakan potensi sepenuhnya kedua-dua pemain di posisi pilhan mereka.

Henderson digandingkan dengan Fabinho.

Lebih malang, tiga pemain di bahagian tengah untuk perlawanan tersebut – Thiago Alcântara, Wijnaldum dan Alex Oxlade-Chamberlain – dua daripada mereka tidak berada pada tahap terbaik. Ketiga-tiga mereka juga digandingkan buat kali pertama pada musim ini.

Ketiadaan Henderson di posisi kebiasaan jelas akan memberikan kesan secara langsung kepada Salah dan Alexander-Arnold. Ia dipercayai punca kepada permainan teruk yang ditampilkan oleh Alexander-Arnold khususnya.

Alexander-Arnold bermain tanpa sokongan sepatutnya.

Mudah untuk menyalahkan bek kanan itu. Dari segi positioning, membuat keputusan, dan pelaksanaan peranan Alexander-Arnold sememangnya mengecewakan dalam perlawanan ini. Ia adalah persembahan mengecewakan dari Alexander-Arnold mengambil kira tahap dan kualiti yang dimilikinya sebelum ini. Namun ia tidak dibantu dengan keadaan yang berlaku di sekelilingnya.

Jika dianalisis secara terperici, tiada laluan seperti yang biasa dilakukan oleh Alexander-Arnold kepada Henderson dan Salah. Oxlade-Chamberlain pula bergelut secara taktikal, dan bek kanan itu lebih kerap memperolehi bola di blok rendah berbanding ketika permainan normal ketika Liverpool tanpa kecederaan.

Maka tidak juga menghairankan dalam perlawanan ini, Salah hanya menyentuh bola sebanyak 34 kali, dan melengkapkan hanya 11 hantaran dalam tempoh 90 minit.

Sebagai perbandingan ketika Liverpool menewaskan Crystal Palace 7-0 sebelumnya, Salah turut menyentuh bola 34 kali, namun melakukan 29 hantaran dan menjaringkan 2 gol selain satu assist sebagai pemain gantian yang beraksi hanya 33 minit.

Bagaimana seterusnya?

Tiada bukti jelas bahagian kanan Liverpool akan berfungsi seperti biasa tanpa gandingan atau formula segitiga Alexander-Arnold/Henderson/Salah. Ia tidak berlaku dalam tiga perlawanan kebelakangan ini.

Namun jika Alexander-Arnold mampu menemui keyakinan dan momentum dikehendaki, dan Oxlade-Chamberlain sekurang-kurangnya boleh memainkan peranan seperti Henderson, keadaan mungkin akan berubah. Buat masa ini siapa tahu apa yang akan berlaku.

Baca juga artikel lain kami mengenai Liverpool:

Statistik: Merungkai Jumlah Penalti Kelab-Kelab Premier League Sejak 1992

5 Sebab Mohamed Salah Tidak Patut Rasa Bersalah Tinggalkan Liverpool

Falsafah Bola Sepak 4-2-2-2 Ralph Hasenhuttl & Pentstrukturan Semula Yang Kembalikan Wajah Southampton

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN