Atletico Madrid menjuarai UEL musim 2017/18 dengan kemenangan bergaya 3-0 ke atas Marseille di bumi Perancis.
Permulaan
Atletico Madrid bermain dengan sistem 4-4-2 dengan menggandingkan Griezmann dan Costa di serangan. Manakala Marseille bermula dengan sistem 4-2-3-1.
Marseille bermula baik dengan pengaruh Payet
Payet bermain dengan baik sebagai pemain no.10 dalam perlawanan ini. Beliau mencipta peluang gol terbuka kepada German, namun gagal disudahkan.
Atletico dalam fasa untuk mencari rentak dan Marseille mengenakan intensiti yang agak tinggi pada awal perlawanan.
Pada sepak mula mereka terus menendang bola keluar di kawasan Atleti untuk membolehkan mereka menekan terus lawan mereka.
Kesilapan individu yang menjadi titik tolak kekalahan
Atletico tiba-tiba mendapat peluang keemasan hasil daripada ‘pemberian’ oleh Marseille. Marseille cuba membentuk binaan serangan dengan bola rendah dalam sistem la salida valopiana dalam bola sepak moden.
Namun pivot mereka melakukan kesilapan ketika menerima bola. Itu adalah masalah yang sangat berisiko dalam struktur di mana 2 pemain bek tengah pergi ke kawasan lebih ‘wide’ dan 2 bek sisi sudah bergerak membentuk unit serangan.
Atletico hanya memerlukan 3 pemain untuk menekan struktur ini. Kesilapan individu (individual error) memang punca utama gol itu wujud.
Di bawah ini anda juga mendapati Atletico bertahan dengan sistem yang klasik 4-4-2.
Kenapa saya katakan ini menjadi titik tolak kepada kekalahan mereka? Salah satu daripada sebabnya adalah, Marseille mulai hilang keyakinan untuk bermain dalam struktur ini lagi.
Mereka mula bermain lebih selamat dengan penjaga gol melakukan sepakan bola panjang. Ini memberikan kelebihan kepada Atletico yang kita kenali dengan cara permainan mereka yang fizikal dan kuat ketika serangan balas.
Atletico memenangi 67% duel udara berbanding dengan 33% sahaja milik Marseille. Itu sudah cukup memberikan gambaran yang mereka sangat kuat secara duel. Jadi, Atletico bersedia diajak Marseille bermain begitu sepanjang 90 minit.
Lebih malang, mereka kehilangan Dmitri Payet pada minit ke-32. Jadi mereka sudah ada masalah keyakinan dengan sistem binaan daripada bola rendah dan keduanya, mereka hilang titik fokal serangan.
Ini adalah heatmap serangan mereka dengan Payet selama 32 minit. Anda saksikan mereka fokus kepada memecahkan kawasan padat di zon 14.
Ini adalah dengan Maxime Lopez anda melihat mereka lebih banyak bermain di kawasan sayap. Mereka hilang penetrasi di zon 14.
Atletico stabil dan efektif
Seperti yang saya nyatakan di atas, Atletico Madrid adalah pasukan yang lebih lewat untuk mendapat rentak (settle down) dalam perlawanan ini. Namun selepas mereka mendapat rentak, mereka sangat efektif.
Selepas menjaringkan gol pertama, mereka kelihatan lebih dominan dan mendapat gol kedua. Lihat ‘diverting run’ oleh Costa dalam membuka ruang di belakang beliau, dan Griezmann tidak mensia-siakan peluang.
Selepas itu Marseille hilang fokus dalam perlawanan ini. Pemain-pemain mereka buntu dan mulai melakukan banyak terjahan ke atas lawan.
Atletico membunuh perlawanan dengan gol ke-3. Penyudah yang tenang daripada Gabi.
Kenapa Atletico dikatakan efektif? Kedua-dua pasukan memiliki jumlah percubaan yang sama iaitu 12. Namun Marseille hanya 2 percubaan tepat. Atletico ada 4 percubaan tepat dan 3 daripadanya adalah gol.
Ini bermakna mereka memiliki peratusan ratio jaringan 75% daripada setiap percubaan tepat mereka. Atletico hanya memiliki 43% penguasaan bola dalam perlawanan ini.
Rumusan
Atletico menang kerana mereka efektif dan stabil dalam perlawanan ini. Marseille hilang keyakinan ke atas sistem mereka selepas kesilapan bolos pertama.
Mereka hilang Payet dan kelihatan melupakan satu lagi taktikal utama mereka untuk menyerang dan memecahkan zon 14. Ini yang membuatkan Marseille bermain lebih ‘direct’ selepas itu. Mereka memasukkan Mitroglu sebagai plan B.
Plan B ini adalah untuk memperbanyakkan hantaran lintang kepada pemain ‘target man’. Namun sebenarnya, pemain mereka sudah terpakai plan B lebih awal selepas Payet keluar.
Pemain terbaik pilihan semuanyaBOLA
Antoine Griezmann (Atletico Madrid)