Analisis: Alexis Sanchez ‘El Nino Maravilla’ Moden Buruan Manchester United

El Nino Maravilla. Terjemahan secara terus kepada Bahasa Melayu daripada Bahasa Latin ini membawa maksud ‘Budak Ajaib’. Demikianlah nama gelaran yang pernah dibawa oleh Alexis Sanchez ketika bakatnya mulai dikesan di bandar Tocopilla, Chile.

Sanchez membesar tanpa mengenal siapa ayahnya, dan dibesarkan oleh ibunya yang bekerja dengan sebuah syarikat pembersihan. Satu masa dahulu ibu kepada Alexis, Martina adalah seorang pekerja pembersihan di sekolah tempat Alexis bersekolah.

Pernah berasa malu apabila melihat kelibat ibunya melakukan kerja-kerja pembersihan di sekolah, bagi Alexis Sanchez, ibunya adalah idola dan juga tunjang kejayaan beliau di arena bola sepak pada hari ini.

Daripada C.D Cobreloa di Chile ke Udinese di Serie A Itali, Sanchez kemudiannya ke Barcelona sebelum menyertai Arsenal.

Sehingga artikel ini ditulis, media di UK melaporkan pemain antarabangsa Chile ini berada di ambang perpindahan ke Old Trafford, setelah kelab Manchester tersebut dikatakan berjaya menafikan tawaran Manchester City.

Persoalannya ialah, bagaimanakah Alexis Sanchez bakal bermain di dalam sistem Jose Mourinho di Manchester United? Mampukah Sanchez bergandingan dengan Romelu Lukaku?

Artikel kali ini akan menjelaskan kepada anda mengapakah Mourinho tidak teragak-agak melakukan bidaan bernilai £30 juta untuk mendapatkan Sanchez.

Di manakah posisi Sanchez?

Sebelum kita pergi lebih jauh, mari kita kenali jenis pemain yang kita perbincangkan. Alexis Sanchez adalah pemain jenis ‘all rounder’ yang mampu beraksi di mana-mana posisi di bahagian serangan.

Dalam erti kata lain, Sanchez adalah salah seorang pemain penyerang moden yang versatil.

(Photo by Julian Finney/Getty Images)

 

Tetapi di dalam skuad Manchester United yang sering tampil dengan formasi 4-2-3-1, posisi yang logik untuk Sanchez ialah di sebelah kiri, iaitu posisi yang sering diisi oleh Anthony Martial dan Marcus Rashford secara bersilih ganti.

Posisi menyerang di sebelah kiri adalah posisi yang sinonim dengan Sanchez hampir keseluruhan kariernya.

Ia membenarkan pemain ini untuk menarik pemain pertahanan ke arahnya, sebelum menewaskan mereka dengan melakukan ‘cut inside’ menggunakan kelebihan kaki kanan, persis seorang ‘inverted winger’.

Sumber: Sky Sport

Kehadiran Sanchez turut boleh mengubah taktikal Mourinho, jika pengendali berbangsa Portugal tersebut memilih untuk menurunkan Sanchez sebagai alternatif kepada Romelu Lukaku atau pun Zlatan Ibrahimovic.

Musim lalu, Sanchez menjaringkan 24 gol untuk Arsenal sebagai pemain penyerang tengah (centre forward). Di United, Mourinho boleh memilih untuk menjadikan Sanchez sebagai ‘pemain fokal’ jika memilih untuk beraksi menggunakan sistem No.9 jadian.

Selain daripada itu, Sanchez juga akan memberikan alternatif lain untuk Mourinho, sebagai pemain No.10, beraksi di belakang seorang penyerang utama.

Adakah Sanchez menepati falsafah taktikal Mourinho?

Perenggan di atas membicarakan posisi kemungkinan untuk Sanchez jika benar beliau akan melengkapkan perpindahan ke Manchester United. Soalan seterusnya ialah: adakah Sanchez jenis pemain yang menepati corak permainan Mourinho?

Dengan kehadiran Lukaku dan Ibrahimovic, kita boleh simpulkan selama ini Mourinho mengandalkan corak menyerang berpaksikan sistem ‘target man’. Kehadiran Sanchez pasti akan memberi variasi kepada pilihan dan corak permainan United.

(Photo by Catherine Ivill/Getty Images)

Formasi 4-2-3-1 adalah pilihan utama Mourinho. Namun demikian, kaedah yang diguna pakai oleh pengurus berusia 54 tahun ini bergantung kepada lawan yang bakal mereka temui.

Walaupun demikian, asas taktikal Mourinho adalah sama iaitu bertahan secara kompak, dan melakukan serangan balas pantas untuk memusnahkan lawan.

Jika aspek pertahanan diambil kira, Sanchez bukanlah seorang pemain yang berupaya membantu pertahanan sebagaimana yang sering dituntut oleh Mourinho, terutama dari pemain sayap.

(Photo by Stuart MacFarlane/Arsenal FC via Getty Images)

Namun berdasarkan komitmen dan ‘work-rate’ yang kerap ditampilkan oleh Sanchez, Mourinho boleh merasa yakin pemain antarabangsa Chile itu boleh memenuhi kriteria yang beliau ingin terapkan.

Salah satu perkara yang sering mengecewakan United pada musim ini ialah corak serangan yang kurang kemas terutama ketika melakukan serangan balas pantas. Ada kalanya, mereka gagal menyempurnakan ruang, dan mudah kehilangan bola di bahagian akhir serangan.

(Photo by David Price/Arsenal FC via Getty Images)

Mentaliti dan kualiti yang dimiliki oleh pemain seperti Sanchez adalah sesuatu yang diperlukan oleh Mourinho. Pantas, tajam, dan kesungguhan adalah salah satu aspek penting ketika pasukan melakukan serangan balas pantas.

Sanchez juga memiliki kebolehan teknikal untuk memecahkan pertahanan lawan yang gemar bertahan di garis rendah, mempunyai penyudah yang baik, dan mampu turun sedikit ke bawah untuk mendapatkan bola, sebelum membantu mencipta peluang untuk pasukan.

Prestasi semasa

Kita inginkan komentar yang jujur. Musim ini prestasi Sanchez menjadi persoalan jika dibandingkan dengan apa yang kita saksikan pada pemain ini pada musim lalu.

Musim ini di EPL, Sanchez kurang menjaringkan gol dan gagal menghasilkan bantuan gol yang sewajarnya. 7 gol dan 3 bantuan gol setakat ini adalah jumlah yang sama dicapai oleh Anthony Martial.

Rumusan prestasi semasa 2017-18. Sumber: WhoScored.com

Hakikatnya, Martial beraksi kurang minit jika dibandingkan dengan Sanchez? Apa rasionalnya pembelian Sanchez?

Pada musim lalu, Sanchez menjaringkan 24 gol dan menyumbang 10 bantuan gol di saingan EPL. Ini menjadikan Sanchez sebagai penjaring ketiga tertinggi, di belakang Harry Kane dan juga Romelu Lukaku.

Buat masa ini, Rashford dan Martial tidak menampakkan kemungkinan mampu menghasilkan produktiviti sedemikian.

Rumusan prestasi 2016-17. Sumber: WhoScored.com

Maka kami berpendapat, Mourinho yakin mampu untuk mengembalikan ketajaman Sanchez. Bukan sahaja Mourinho yang sedar akan keadaan semasa Sanchez di Emirates.

Malah Pep Guardiola juga turut yakin, City mampu mengembalikan prestasi Sanchez di persekitaran yang lebih kompetitif. Jika tidak, City dan United tidak akan membida untuk pemain yang sudah mencapai usia 29 tahun.

Bolehkah kehadiran Sanchez pulihkan sentuhan Lukaku?

Pada awal musim, Romelu Lukaku menjadi pujaan kebanyakkan penyokong Manchester United kerana ketajaman penyudahnya menjaringkan 11 gol, daripada 10 penampilan pertama beliau.

Namun selepas itu, Lukaku hanya menjaringkan 5 gol dalam 21 penampilan seterusnya dalam semua pertandingan. Salah satu punca kemerosotan jumlah jaringan Lukaku turut dikaitkan dengan prestasi semasa Henrikh Mkhitaryan yang merudum.

Selain daripada kebolehan menjaringkan gol yang lebih baik daripada pemain antarabangsa Armenia itu, kehadiran Sanchez turut ditagih untuk menghasilkan peluang jaringan buat Lukaku, jika Mourinho memilih untuk Sanchez beraksi di posisi No.10.

Sumber: Squawka

Untuk tiga musim sebelum ini, data daripada Opta menunjukkan Sanchez telah mencipta 190 peluang jaringan daripada permainan terbuka. Secara statistik, hanya Mesut Ozil dan Christian Eriksen telah mencipta lebih banyak peluang daripada Sanchez.

Untuk pemain dengan kualiti seperti Lukaku, pemain seperti Sanchez, adalah gandingan rangkaian serangan yang diharapkan mampu membantu.

Rumusan

Apa pendapat penyokong Manchester United? Adakah pembelian Alexis Sanchez adalah pembelian yang berbaloi jika ia direalisasikan?

Mampukah pembelian Alexis Sanchez membangkitkan kembali saingan Manchester United di saingan pentas EPL? Adakah akhirnya Manchester United telah menemui pemain yang selayaknya untuk menyarung jersi No.7 keramat mereka?

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN