Analisis: Aaron Wan-Bissaka Jadi Pemain Penting Solskjaer Bina Kembali Man Utd

Manchester United dikatakan bakal mengesahkan pembelian Aaron Wan-Bissaka dari Crystal Palace pada jendela perpindahan musim panas ini dengan tanda harga sekitar £50 juta. Pembelian tersebut menjadikan pemain skuad England B-21 itu sebagai pemain bek kanan termahal dunia pada hari ini.

Peringkat awal rundingan diantara Manchester United dan Crystal Palace sering kali menemui jalan buntu – menyaksikan bidaan awal turut ditolak oleh pihak pengurusan Palace.

Banyak perkara yang dituntut oleh Palace sebelum membenarkan Wan-Bissaka ke Old Trafford. Antaranya ialah klausa-klausa perpindahan, termasuk perjanjian terdahulu yang melibatkan Wilfired Zaha.

Persoalannya, mengapakah Ole Gunnar Solskjaer dan Manchester United begitu mahukan Aaron Wan-Bissaka? Apakah istimewanya pemain ini di dalam sistem Solskjaer di United?

Situasi di Manchester United

Sebelum pengumuman Wan-Bissaka, pemain berusia 20 tahun, Diogo Dalot dilihat sebagai pemain yang akan mengisi posisi bek kanan pada musim hadapan. Dalot turut berkemampuan beraksi sebagai pemain sayap, ataupun sebakai bek sayap kiri.

Antara pilihan lain yang dimiliki oleh Solskjaer di posisi tersebut ialah Ashley Young, yang kini mencecah usia 33. Antonio Valencia sah meninggalkan Old Trafford selepas tamat kempen musim lalu, manakala Matteo Darmian juga dilihat tidak berada di dalam perancangan pengendali dari Norway tersebut.

(Photo by Shaun Botterill/Getty Images)

Kemudian United turut memiliki Timothy Fonsu-Mensah, seorang pemain pertahanan tengah yang turut boleh beraksi di posisi bek kanan. Begitu juga Alex Tuanzebe yang dalam kebanyakkan perlawanan beraksi sebagai pemain pertahanan tengah bersama Aston Villa pada musim lalu.

Berbeza dengan profil pemain yang sudah dimiliki oleh United, Wan-Bissaka adalah seorang bek kanan tulen. Kali terakhir Manchester United memiliki pemain sebegini ialah 2010 – iaitu sebelum persaraan Gary Neville.

Mengapa Wan-Bissaka?

Semua sedia maklum bahawa Manchester United mempunyai rekod yang buruk di bahagian pertahanan. Musim lalu mereka dibolosi 54 gol – jumlah bolos tertinggi di era Premier League. Kali terakhir United dibolosi lebih daripada 50 gol semusim ialah pada musim 1978/79 iaitu sebanyak 63 gol.

Di kalangan empat posisi utama di bahagian pertahanan, bek kanan adalah posisi paling bermasalah buat United sejak beberapa musim yang lalu – atas faktor seperti yang dinyatakan di sub topik di atas. Pemain datang silih berganti. Selepas kecederaan Antonio Valencia, United seolah-olah tidak mempunyai pemain yang boleh disandarkan pada posisi tersebut.

(Photo by Robbie Jay Barratt – AMA/Getty Images)

Di sebelah kiri, United sudah mempunyai Luke Shaw. Pertahanan tengah – isu kualiti adalah subjektif – pemain-pemain seperti Eric Bailly, Victor Lindeloff, Chris Smalling dan Phil Jones masih dilihat mampu memberikan squad depth yang mampu bersaing sekurang-kurangnya di pertandingan domestik.

Dalot banyak diberikan peluang pada penghujung musim lalu. Walaupun ada ketikanya beliau menampilkan potensi yang membayangkan beliau mampu berjaya di masa hadapan, Solskjaer pula memerlukan seorang pemain yang boleh terus diberi kepercayaan sepenuhnya untuk menghadapi musim baharu.

Statistik Wan-Bissaka bersama Crystal Palace

Sebelum menyertai United, Wan-Bissaka dilaporkan menerima bayaran berjumlah £10,000 seminggu – terendah di kalangan pemain utama The Eagles. Perkara itu berubah apabila beliau tiba di Old Trafford dengan beberapa laporan di media British mengatakan beliau akan menerima £80,000 seminggu.

Secara keseluruhan, pemain ini hanya telah tampil dalam 42 perlawanan di saingan Liga Perdana Inggeris. Layakkah seorang pemain berusia 21 tahun menerima bayaran sebanyak itu – tatkala jumlah perlawanan dan pengalaman beliau mungkin menjadi antara persoalan utama?

Statistik di atas adalah gambaran penuh kualiti yang dimiliki oleh pemain ini. Walaupun hanya melalui musim penuh pertama beliau di Liga Perdana Inggeris pada musim lalu, Wan-Bissaka sudah pun tampil sebagai seorang bek kanan terbaik di dalam pelbagai aspek permainan jika dibandingkan dengan pemain-pemain lain yang lebih berpengalaman seperti Kyle Walker, Kieran Trippier dan Trent Alexander-Arnold.

Malah statistik daripada Whoscored membuktikan pemain ini mempunyai ratio tackle tertinggi di kalangan bek kanan utama lain di Eropah.


Di kalangan skuad Manchester United, Wan-Bissaka dilihat sebagai pesaing terus kepada Ashley Young dan Diogo Dalot pada musim hadapan. Perhatikan perbezaan kualiti pemain ini dengan Dalot dan juga Young seperti yang dikongsikan di atas oleh Rob Blanchette.

Modern fullback

Di dalam bola sepak moden, gelaran pemain di setiap posisi turut diperbaharui berdasarkan fungsi mereka di dalam sistem. Seorang pemain bek misalnya, tugas mereka bukan sekadar untuk bertahan, tetapi turut digunakan sebagai jentera serangan. Pemain bek seperti ini digelar sebagai bek sayap (attacking fullback) – sepertimana Andrew Robertson dan Tren Alexander-Arnold di Liverpool.

Di dalam sistem Pep Guardiola pula, seorang pemain bek akan dijadikan pemain hybrid iaitu akan berperanan seperti seorang pemain tengah di fasa serangan sepertimana yang dilakukan oleh Kyle Walker.


Wan-Bissaka pula sebaliknya. Beliau lebih dikenali sebagai seorang fullback kerana keberkesanan beliau dalam melakukan tugas-tugas bertahan – iaitu tugas hakiki dan klasik seorang pemain pertahanan. Adakah ini bermakna Manchester United mengambil langkah ke belakang dengan tidak mengamalkan taktikal moden apabila membeli seorang bek kanan yang lebih gemar bertahan.

Tidak. Ia tidak membawa maksud sedemikian. Musim lalu beliau menghasilkan tiga bantuan gol dari 35 perlawanan. Tetapi perhatikan jumlah peluang yang dicipta oleh pemain ini. Jumlah peluang yang dicipta sebanyak 14 peluang itu pasti boleh berubah menjadi bantuan gol sekiranya Bissaka beraksi dengan barisan serangan yang lebih berkualiti berbanding gandingan Christian Benteke atau Jordan Ayew di bahagian hadapan.

Persoalan seterusnya, mampukah Wan-Bissaka dibentuk sebagai seorang pemain bek sayap menyerang di dalam sistem United?


Untuk itu, kita harus mengetahui bahawa pemain ini sebenarnya adalah seorang pemain sayap ketika direkrut oleh Crystal Palace pada usia 16 tahun. Beliau kemudiannya dibentuk sebagai seorang bek kanan oleh jurulatih skuad remaja Palace, Richard Shaw pada ketika itu.

Sumber: Football Whispers

Berdasarkan touch map di atas, maka boleh juga kita simpulkan bahawa Wan-Bissaka juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk diberikan tugas sebagai seorang bek sayap menyerang. Namun ia terpulang kepada United dan bagaimana mereka mengendalikan pemain ini dalam beberapa tahun mendatang untuk memastikan beliau mencapai potensi yang sepatutnya.

Rumusan

Berdasarkan data dan statistik yang dimiliki dari musim lalu, kita boleh simpulkan Wan-Bissaka adalah pemain pilihan yang lebih baik berbanding Ashley Young dan Diogo Dalot untuk melakukan tugas bertahan. Soalan seterusnya pula ialah, adakah nilai £50 juta itu berbaloi untuk seorang pemain berusia 21 tahun dan hanya tampil dalam 42 perlawanan Premier League setakat ini?

Berbaloi atau tidak, hanya masa yang layak menentukannya. Jika Wan-Bissaka mampu membuktikan dirinya bersama United, nilai tersebut boleh naik sehingga tiga kali ganda pada masa hadapan – atau sebaliknya jika gagal.

Pembelian Wan-Bissaka juga dilihat sebagai satu usaha oleh United untuk membawa perkara positif di sebalik kekelaman terutama ketika era Jose Mourinho. United tidak perlu bersaing dengan kelab-kelab utama Eropah atau Inggeris untuk mendapatkan pemain ini. Kegagalan meyakinkan Wan-Bissaka untuk ke Old Trafford adalah satu bentuk tamparan untuk United.

Satu perkara yang pasti ialah Solskjaer dan United memerlukan seorang pemain yang boleh disandarkan kepercayaan sepenuhnya di posisi tersebut bermula dari perlawanan pertama musim hadapan. Aaron Wan-Bisaka memenuhi segala senarai semak yang diperlukan buat masa ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN